08 Ogos 2012

Program "Bicara Fiqh Kontemporari"

Persatuan Kakitangan Akademik USIM (PKAUSIM) akan menganjurkan program "Bicara Fiqh Kontemporari Siri 1" seperti berikut:


Tarikh: 14 Ogos 2012
Hari: Selasa
Masa: 10.00 pagi - 12.30 t/hari
Tempat: Bilik Mesyuarat Utama Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM, Aras 4
Tajuk: Garis Panduan Ibadat Atlit Sukan Olimpik London 2012: Satu Penjelasan (isu atlit tidak berpuasa)
Pembentang: Dr. Irwan Mohd Subri (Pengerusi Panel Garis Panduan Ibadat Atlit)

Penyertaan adalah percuma dan tempat terhad. Semua al-asatizah wa al-ulama' dijemput hadir! Untuk keterangan lanjut boleh hubungi 013-3543594 (usulifaqih).

Nota: Kehadiran para alim ulama amat-amat dialukan untuk memantapkan lagi garis panduan ini untuk dibentangkan kepada Panel Kajian Syariah JAKIM lepas raya ini.

Sebarkan!!!

06 Ogos 2012

Fiqh Asas (13)

BAB SEMBAHYANG

Waktu-Waktu Sembahyang

Sembahyang fardu (wajib) ada 5:

1) Zuhur: Awal waktunya bermula apabila gelincir matahari. Ia berakhir apabila bayang setiap benda menjadi sama panjang dengan benda itu selepas bayang gelincir.

2) Asar: Awal waktunya bermula apabila bayang sesuatu benda menjadi lebih daripada benda itu. Berakhirnya waktu pilihan apabila bayang sesuatu benda menjadi 2 kali ganda. Berakhirnya waktu harus sehingga terbenam matahari.

3) Maghrib: Waktunya hanya satu  iaitu dengan terbenamnya matahari dan dengan sekadar seseorang azan. Kemudian dia berwuduk, menutupi aurat lalu dia bersembahyang fardu maghrib dan dia menambahkan lagi 5 rakaat.

4) Isyak: Awal waktunya bermula apabila warna kemerahan di langit telah hilang. Berakhirnya waktu pilihan ialah 1/3 dari malam dan berakhirnya waktu harus ialah sehingga terbit fajar kedua (fajar sadiq).

5) Subuh: Awal waktunya bermula apabila terbit fajar kedua (fajar sadiq). Berakhirnya waktu pilihan ketika waktu subuh kelihatan terang dan berakhir waktu harus apabila terbit matahari.

Syarat-Syarat Wajib Sembahyang

Syarat-syarat wajib sembahyang ada 3 perkara:

1) Islam.
2) Baligh.
3) Berakal.

Syarat-syarat ini ialah definisi orang mukallaf.

(Sumber: Kitab “Matan al-Ghayah Wa al-Taqrib” - Abu Shuja’).

03 Ogos 2012

Dimashqu (25)

Di samping berbual taaruf dengan Dr. Tawfiq, aku tidak membuang masa begitu sahaja. Aku terus berbincang dengan beliau tentang tajuk yang akan aku tulis untuk Ph.D aku. Tajuk yang aku cadang untuk menulis tentangnya ialah "Perubahan Hukum Syarak Disebabkan Perubahan Zaman dan Tempat".

Bagi aku, cita-cita dan impian aku untuk sambung belajar di Universiti Damascus sudah tercapai. Jadi aku tidak akan alpa dengan keghairahan belajar di sini. Fokus aku hanya satu iaitu mendapat Ph.D di sini dan menjadi orang Malaysia pertama yang bergraduan Doktor Falsafah daripada Universiti Damascus.

Selesai berbincang dengan Dr. Tawfiq, aku meminta izin untuk pulang ke rumah. Hati aku cukup puas walaupun perbincangan itu ringkas. Beliau bersetuju dengan tajuk cadangan yang aku berikan. Sebenarnya aku bertambah gembira bila Dr. Tawfiq memberitahu aku yang beliau sendiri telah dilantik sebagai penyelia tesisku. Beliau banyak membantu aku semasa di awal permohonan untuk masuk ke universiti ini.

Selepas itu aku pulang ke rumah. Tidak lama kemudian, pintu rumah aku diketuk. Bila aku buka pintu, aku dapati seorang arab lelaki. Rupanya dia adalah tuan rumah yang aku duduki itu. Beliau bertanya, sampai bila aku nak duduk di rumah itu. Aku yang terpinga-pinga, menjawab nanti aku bagi jawapan.

Sangka aku, rumah itulah yang akan menjadi tempat tinggal aku selama aku belajar di Syria. Rupanya itu hanya rumah tumpangan sementara. Rumah itu dijadikan rumah transit untuk rombongan Malaysia yang datang ke Syria. Ia dikendalikan oleh seorang pelajar Malaysia yang lama tinggal di Syria dan menjalankan bisnes pelancongan.

Bersambung....

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage