Dapatkan kupasan mengenai bughah dalam majalah I Mac 2014.
21 Februari 2014
Bicara Bahasa
Februari 21, 2014
Bila orang bicara tentang Syariat Islam tanpa ilmu, banyak yang akan
menyimpang. Anda kelihatan seakan "hebat" bila mampu berbicara pasal
maslahah, hadis dan istilah-istilah lain yang menjadi tunjang
perbincangan Usul Fiqh. Maaflah dan terima hakikat, anda bukan ustaz
ataupun ulama. Dalam ilmu Usul Fiqh terlalu banyak perbincangan dan
pecahannya yang hanya boleh difahami oleh mereka yang mempelajari ilmu
ini.
Jadi kalau anda berbicara tentang ilmu ini dan anda tidak menngunakan kaedah yang betul, maka anda ibarat burung kakak tua yang pandai berbicara tetapi tak faham apa yang anda katakan. Kalau nak berbicara, belajar dahulu daripada sumbernya yang asli. Jangan hanya membaca terjemahan...
Anda adalah doktor, engineer, peguam, akauntan, bukannya ustaz Syariah... Kami berbicara bahasa dalil, kaedah dan dawabit. Anda berbicara bahasa apa? Bahasa akal?
Jadi kalau anda berbicara tentang ilmu ini dan anda tidak menngunakan kaedah yang betul, maka anda ibarat burung kakak tua yang pandai berbicara tetapi tak faham apa yang anda katakan. Kalau nak berbicara, belajar dahulu daripada sumbernya yang asli. Jangan hanya membaca terjemahan...
Anda adalah doktor, engineer, peguam, akauntan, bukannya ustaz Syariah... Kami berbicara bahasa dalil, kaedah dan dawabit. Anda berbicara bahasa apa? Bahasa akal?
16 Februari 2014
Aku Tak Tahu Pun...
Februari 16, 2014
Aku tak tahu pun benda ni kena buat…
Aku tak tahu pun ada peraturan macam ni…
Aku tak tahu pun ia salah…
Aku tak tahu pun ada peraturan macam ni…
Aku tak tahu pun ia salah…
Itu adalah kita selama ini, sering memberi alasan bila sesuatu
tindakan dikenakan ke atas kita. Alasan ini baik dari segi agama mahupun
undang-undang tidak terpakai. Dalam erti kata lain, jika kita berhujah
sebegini dengan harapan untuk terlepas daripada hukuman, sia-sialah
harapan. UF nak kaitkan perkara ni dalam dunia pelajar dan ahli akademik
khususnya di USIM dengan tujuan untuk kita sama-sama muhasabah. Saling
nasihat menasihati antara satu sama lain untuk kebaikan bersama.
Sepanjang 13 tahun lebih UF mengajar di USIM, berapa ramai pelajar
yang memberi alasan seperti di atas. Yang paling ketara bila UF pegang
Ketua Program FIFA sebab banyak terlibat dengan pelajar secara langsung.
Sebagai contoh peraturan pengajian Sarjana Muda yang merangkumi
pelbagai aspek seperti pendaftaran kursus, peperiksaan, pengijzahan dan
lain-lain. Ia telah diberikan pada hari pertama pelajar mendaftar di
USIM lagi. Namun bila berlaku apa-apa masalah, pelajar ambil jalan mudah
dengan menyatakan “aku tak tahu pun” kena buat macam tu… “takda siapa
pun bagitau aku” dan macam-macam lagi.
Sedarkah anda wahai pelajar sekelian,
bila anda berkata begitu, ia sebenarnya mencerminkan karektor dan
peribadi anda. Ia mencerminkan bahawa anda tidak prihatin dan tidak
cakna langsung dengan peraturan sedia ada. Pada peringkat permulaan kita
harapkan yang pentadbiran akan “kena” dengan kita tetapi akhirnya kita
yang akan malu sendiri kerana peraturan telah sedia ada sejak dahulu
lagi. UF akui dan kita semua harus akui, kelemahan pelaksanaan dan
penyampaian akan berlaku dan akan terus berlaku, namun sikap “aku tak
tahu pun” sewajibnya kita elakkan. Sebelum mahu mengambil apa-apa
tindakan, baca dan rujuk dahulu peraturan sedia ada. Jika kita mahu
“bertempur” bersedialah dengan segala “senjata” bukannya dengan tangan
kosong.
Sikap ini lebih bahaya jika diamalkan oleh ahli akademik USIM. UF
pegang Presiden Persatuan Kakitangan Akademik USIM berapa kali malu
sendiri bila bermesyuarat dengan NC atau TNCAA atau pengurusan USIM.
Malu kerana apa? Malu bila ada ahli akademik berkata “aku tak tahu pun”
peraturan ni ada, “bila ia berkuatkuasa?” dan macam-macam lagi yang
seumpamanya. Lebih teruk lagi bila kita bermatian-matian kata pengurusan
USIM tak sampaikan maklumat, tapi rupanya kita seorang ja yang
tertinggal keretapi. UF tak nafikan terkadang berlaku juga “terlepas
pandang” dalam kaedah penyampaian, tetapi kebanyakkannya semua peraturan
atau polisi akan dihebahkan melalui Info Pro. Setiap emel Info Pro tu
jangan cepat sangat delete, selalulah datang mesyuarat pentadbiran dan
mesyuarat fakulti. Jangan hidup dalam dunia anda sendiri. Sama seperti
kes pelajar, ia sebenarnya mencerminkan karektor anda.
Post ini memang nak bagi kita semua terasa hati termasuk UF sendiri…
01 Februari 2014
PELAJAR BIDANG SYARIAH DI IPT PERLUKAN KEMAHIRAN
Februari 01, 2014
Pengajian Syariah merupakan salah satu cabang bidang pengajian Islam yang terdapat di Institusi Pengajian Tinggi Negara. Di negara kita terdapat beberapa universiti yang mempunyai fakulti atau jabatan Syariah/Fiqh dan Usul seperti UKM, UM, UIAM, USIM dan UDM. Ini bererti pihak kerajaan memberi ruang kepada pengajian Islam umumnya dan pengajian Syariah khususnya untuk dipelajari oleh mereka yang berminat memilih bidang ini.
Memandangkan pengajian Syariah ini mempunyai kaitan yang amat rapat dengan hukum hakam Islam, maka ia perlu diambil berat oleh mereka yang terlibat dalam bidang ini. Ini untuk memastikan legasi ulung para mujtahid mazhab-mazhab fiqh tidak hanya tinggal dalam lipatan sejarah tetapi dilestarikan secara berterusan. Ini bererti perlu ada usaha untuk meningkatkan kemahiran dan nilai tambah para pelajar dalam bidang pengajian ini.
Kebiasaannya pembelajaran dan pengajaran subjek Syariah di semua institusi pengajian Islam berbentuk sehala iaitu guru mengajar dan pelajar mendengar. Cara ini dilihat kurang efektif untuk menghasilkan generasi pelapis mujtahid kerana tiada komunikasi aktif sama ada antara guru dan pelajar ataupun antara pelajar sesama mereka. Kekurangan sistem pembelajaran dan pengajaran seperti ini seolah-olah melahirkan pelajar yang pasif dalam dan luar kelas.
Malah terkadang pelajar yang mengambil jurusan Syariah tidak tahu untuk apa mereka memilih bidang ini dan tidak berminat dengannya. Lebih teruk lagi mereka tidak tahu apakah fungsi subjek-subjek yang mereka belajar dalam pengajian Syariah seperti subjek Usul Fiqh, Fiqh, Kaedah Fiqh, Siyasah Syariyyah dan lain-lain. Sedangkan untuk menjadi mujtahid yang diiktiraf, mereka hendaklah mengetahui, memahami dan mampu mengaplikasi teori-teori yang dipelajari menerusi subjek-subjek tersebut.
Maka perlu ada satu mekanisme untuk meningkatkan minat dan kemahiran para pelajar pengajian Syariah di Malaysia. Rentetan daripada itu, untuk meningkatkan keupayaan dan profesionalisme para pelajar pengajian bidang ini, adalah dicadangkan satu subjek "Mut Ijtihad" diperkenalkan kepada semua pelajar yang mengambil jurusan ini.
Subjek "Mut Ijtihad" adalah adaptasi daripada subjek "Mahkamah Mut" dalam pengajian undang-undang. Dalam pengajian bidang undang-undang, terdapat satu subjek yang perlu diikuti oleh para pelajar iaitu "Mahkamah Mut" ( Moot Court ). Dalam subjek ini para pelajar akan melakonkan sesuatu perbicaraan olok-olok seolah-olah mereka berada dalam perbicaraan mahkamah sebenar. Pembelajaran subjek ini juga diadakan dalam bilik yang diubahsuai seperti keadaan dalam kamar mahkamah sebenar.
Mahkamah Mut adalah perbicaraan olok-olok yang berkaitan dengan pemakaian akta dan enakmen sama ada Mahkamah Mut sivil atau Syariah terhadap isu-isu tertentu. Manakala Mut Ijtihad pula adalah “perbicaraan” dan perbincangan isu yang berkaitan dengan pemakaian dalil-dalil, ijmak, qiyas, pendapat ulama dan sebagainya sama ada dalam satu mazhab fiqh atau pun dalam beberapa mazhab berasaskan Fiqh al-Muqaran (fiqh perbandingan). Begitu juga ia meliputi isu-isu yang bersandarkan kepada nas-nas al-Quran dan sunnah ataupun isu-isu baru serta semasa yang ketiadaan dalil.
Jika subjek “Mahkamah Mut” membantu para pelajar undang-undang berlatih dan mengalami pengalaman “perbicaraan”, maka begitulah juga “Mut Ijtihad” juga bertujuan melatih pelajar pengajian Syariah di IPT supaya mahir berijtihad dalam memahami nas-nas al-Quran dan Sunnah. Seterusnya ia dapat membantu keupayaan dan kebolehan para pelajar Syariah dalam membina hukum terutamanya terhadap isu-isu baru yang ketiadaan dalil yang timbul pada setiap zaman.
Dengan adanya subjek “Mut Ijtihad” ia dapat membantu pelajar dalam bidang Syariah secara teori dan praktikalnya supaya mahir dalam pengajian Syariah. Subjek Mut Ijtihad tidak hanya meliputi satu subjek seperti Usul Fiqh sahaja, bahkan ia boleh meliputi semua subjek-subjek lain yang terdapat dalam pengajian Syariah. Ia mungkin sesuai dilaksanakan di tahun akhir pengajian setelah pelajar mempelajari dan mengetahui asas-asas subjek yang disebutkan sebelum ini.
Ia bukanlah adaptasi sepenuhnya daripada subjek Mahkamah Mut tetapi hanya mengambil konsep subjek tersebut. Subjek Mut Ijtihad bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk berijtihad seolah-olah mereka adalah mujtahid yang mewakili mazhab-mazhab fiqh. Ia juga melatih mereka supaya mampu mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam kehidupan sebenar atau dalam alam pekerjaan sama seperti pelajar bidang undang-undang mengaplikasikan pengalaman perbicaran “Mahkamah Mut” dalam perbicaraan sebenar dalam mahkamah bila mereka berkerja nanti.
Ini adalah lontaran idea awal dan UF membuka ruang seluas-luasnya untuk sebarang komentar dan perbincangan untuk memantapkan kemahiran pelajar pengajian Syariah di IPT Malaysia. Cadangan ini tidak bererti bahawa ia adalah satu-satunya cara untuk meningkatkan kemahiran pelajar pengajian Syariah, bahkan ia adalah salah satu cadangan ke arah itu.
Langgan:
Catatan
(Atom)
Ikuti saya!