Status Surau: Adakah Ia Musalla Atau Masjid?


13 Julai 2014

Status Surau: Adakah Ia Musalla Atau Masjid?

Oleh: Dr. Irwan bin Mohd Subri 

Pendahuluan 

 Terdapat beberapa istilah yang digunapakai untuk tempat solat bagi orang Islam. Istilah-istilah arab yang mayshur ialah al-jamic, al-masjid dan al-musalla. Manakala istilah tempat solat orang Islam di Malaysia yang mayshur ialah masjid dan surau. Berikut dijelaskan definisi beberapa istilah yang diguna pakai untuk tempat solat orang Islam. Hal ini untuk menjelaskan perbezaan setiap tempat yang disebutkan itu walaupun kesemuanya digunakan sebagai tempat solat umat Islam. Jamik (al-Jamic) 

 Perkataan jamik dari segi bahasa bermaksud “tempat yang menghimpunkan orang ramai” (Ibnu Manzur 1999: 2/355 & Ibnu Sayyidah 2000: 1/347), yakni menghimpunkan orang untuk solat Jumaat. Dari segi istilah pula, jamik bererti “masjid yang didirikan solat Jumaat dalamnya” (Sacdiyy Abu Jayb 1998: 167). 

al-Baghdadiyy (t.th: 435) berkata, “Jamik ialah tempat yang didirikan solat Jumaat, manakala selainnya tidak didirikan solat Jumaat”. Pendapat yang sama juga dikatakan oleh al-Sharqawiyy (1997: 2/371), “Jamik ataupun masjid jamik ialah tempat yang kebiasaannya didirikan solat Jumaat. Jamik lebih khusus daripada masjid kerana setiap jamik adalah masjid dan tidak sebaliknya kerana masjid boleh dibina di bilik-bilik (seperti ruang binaan, sudut atau penjuru tertentu), kerana ia adalah tempat sujud dan bukan untuk didirikan solat Jumaat”. 

 Dapat difahami di sini, jamik ialah tempat masyarakat muslim mendirikan solat berjemaah lima waktu dan juga solat Jumaat. Pada kebiasaannya juga, jamik lebih besar daripada masjid kerana ia menghimpunkan lebih ramai umat Islam untuk solat Jumaat. Manakala masjid lebih kecil daripada jamik kerana ia hanya menghimpunkan umat Islam untuk solat berjemaah yang bilangannya lebih sedikit daripada bilangan orang yang bersolat Jumaat. 

 Terdapat beberapa jamik yang terkenal di seluruh dunia. Antaranya Jamik al-Azhar di Mesir yang terkenal dengan kelainan menaranya dan Jamik Umawiyy di Syria. Manakala di Malaysia istilah jamik yang dipakai untuk tempat solat sama ada untuk solat jamaah atau solat Jumaat agak jarang digunakan. Namun terdapat juga beberapa masjid digelar sebagai masjid jamik dan yang termasyhurnya ialah “Masjid Jamek”, Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Tun Perak, di belakang bangunan Sultan Abdul Samad (Dataran Merdeka). 

Masjid (al-Masjid) 

Masjid dari segi bahasa ialah “tempat sujud” (Ibnu Sayyidah 2000: 7/261 & al-Zarkashiyy 1989: 26). Manakala dari segi istilah, menurut al-Zarkashiyy (1989: 27), “Pada kebiasaannya masjid dikhususkan untuk tempat yang disediakan untuk solat lima waktu”. Begitu juga Syeikh cAliyy Muhy al-Din al-Qurrah (1975: 107) berkata: “Apabila disebut masjid, maka akan terlintas di fikiran bahawa ia adalah tempat yang disediakan untuk solat secara berjemaah”. 

 Syeikh Taha al-Waliyy (1988: 145) menyebut kaitan jamik dan masjid, “Dua perkataan iaitu jamik dan masjid telah menjadi makna yang serupa. Kedua-duanya dalam pemikiran orang ramai memberi makna yang sama. Namun pada hakikatnya yang pertama (jamik) lebih umum maknanya dan yang ke dua (masjid) lebih khusus. Ini kerana setiap jamik pada masa yang sama ia adalah masjid dan bukan semua masjid itu adalah jamik”. 

 Daripada definisi terhadap masjid di atas, dapat difahami bahawa kebiasaannya masjid disediakan untuk solat berjemaah lima waktu. Ia tidak didirikan solat Jumaat dalamnya. Musalla (al-Musalla) Perkataan musalla memberi maksud “tempat bersembahyang atau berdoa” (al-Fayyumiyy: 208 & al-Mucjam al-cArabiyy al-Asasiyy: 746). 

 Syeikh Taha al-Waliyy (1988 : 79-80) berkata, “Musalla adalah perkataan khusus untuk tempat yang didirikan solat dalamnya untuk tujuan-tujun tertentu. Contohnya seperti solat dua hari raya (Aidilfitri dan Adha), solat jenazah, solat istisqa’ dan solat syukur. Ia selalunya di kawasan lapang yang tiada sekatan (seperti dinding), tiada bumbung yang menutupinya dan kebiasaannya di tempat yang tiada penempatan rumah atau pasar-pasar”. 

 Makna musalla ini difahami daripada beberapa hadis Nabi S.A.W yang bermaksud, “Bahawa Rasulullah S.A.W keluar ke musalla untuk solat istisqa’. Apabila ingin berdoa, baginda akan mengadap kiblat dan membalik-balikkan selendangnya”. (Hadis. Muslim. Kitab Salat al-Istisqa’. #894. ms346). 

 Dalam hadis yang lain, Abu Hurayrah berkata: Maksudnya, “Daripada Abu Hurayrah, bahawa Rasulullah S.A.W mengumumkan kematian al-Najashiyy pada hari kematiannya, lalu baginda keluar ke musalla dan menyusun saf bersama mereka (sahabat) dan baginda bertakbir empat kali (solat jenazah)”. (Hadis. al-Bukhariyy. Kitab al-Jana’iz: Bab al-Rajul Yanca Ila Ahl al-Mayyyit Binafsih. #1245. ms244). 

 Begitu juga dalam sebuah hadis yang lain: Maksudnya, “Rasulullah S.A.W keluar ke musalla pada Hari Raya Aidilfitri dan Adha. Perkara pertama yang dimulakan baginda ialah solat (sunat Hari Raya), kemudian baginda selesai. Lalu baginda bangun mengadap orang ramai dalam keadaan mereka duduk dalam saf masing-masing. Maka baginda pun (berkhutbah) memberi peringatan, memberi nasihat dan memerintahkan mereka. Sekiranya baginda ingin mengutus utusan, maka baginda akan mengutuskannya, atau baginda ingin menyuruh sesuatu, maka baginda akan menyuruhnya dan kemudian baginda bersurai ”. (Hadis. al-Bukhariyy. Kitab al-cAydayn: Bab al-Khuruj Ila al-Musalla Bi Ghayr Minbar. #956. ms959). 

 Daripada hadis-hadis di atas dapat difahami bahawa Rasulullah S.A.W tidak menunaikan semua jenis solat di masjid. Sebaliknya ada beberapa jenis solat terutamanya solat-solat sunat yang disebutkan di atas, baginda keluar ke musalla untuk menunaikannya. Musalla ini pula bukanlah tempat rasmi yang digunakan oleh Nabi S.A.W setiap hari untuk solat seperti masjid. Ia hanya untuk majlis atau acara tertentu atau sekali sekala sahaja. 

 Sunnah ini diteruskan oleh para sahabat seperti yang diriwayatkan dalam sebuah athar oleh cUthman bin cAbd al-Rahman al-Taymiyy: Maksudnya, “Hujan lebat telah menimpa kami ketika pemerintahan Aban bin cUthman di Madinah pada malam Hari Raya. Lalu beliau menghimpunkan orang ramai di masjid dan tidak keluar ke musalla tempat selalunya didirikan solat sunat Aidilfitri dan Adha. Kemudian beliau berkata kepada Abdullah bin cAmir bin Rabicah, “bangun! Dan beritahulah orang ramai apa yang kamu beritahu padaku”. Maka Abdullah bin cAmir berkata, “orang ramai telah ditimpa hujan pada zaman cUmar bin al-Khattab R.A menyebabkan mereka terhalang daripada (mendirikan solat sunat Hari Raya di) musalla. Lalu cUmar memghimpunkan orang ramai di masjid dan melakukan solat (Hari Raya) di situ. Kemudian beliau berdiri di atas minbar dan berkata, “Wahai orang ramai! Sesungguhnya Rasulullah S.A.W keluar ke musalla bersama orang ramai dan bersolat bersama mereka di situ kerana ia lebih sesuai dan luas untuk mereka dan masjid tidak muat untuk mereka”. Beliau berkata lagi, “Jika hujan, maka masjid lebih sesuai””. (Athar. al-Bayhaqiyy dalam al-Sunan al-Kubra. Bab Salat al-cAyd Fi al-Masjid Iza Kana cUzrun Min Matar Aw Ghayrih. #6258. jil. 3. ms433). 

 Ia menunjukkan bahawa solat sunat Hari Raya pada zaman sahabat dan zaman selepas itu juga dilakukan di musalla melainkan berlaku perkara-perkara yang menghalang seperti hujan lebat. Sebab dilakukan solat Hari Raya di musalla ialah kehadiran ramai orang yang tidak dapat ditampung oleh masjid yang kecil. Maka tempat yang sesuai untuk menampung orang yang ramai ialah di kawasan lapang seperti padang. Apabila dilakukan apa-apa solat di situ ia dipanggil “musalla” kerana ia bererti tempat orang menunaikan solat. 

STATUS MUSALLA: ADAKAH IA MASJID ATAU TIDAK? 

 Melalui definisi musalla sebelum ini, dapat difahami bahawa ia adalah tempat solat sempena acara tertentu. Kebiasaannya musalla yang menjadi tempat solat Rasulullah S.A.W untuk hari raya atau solat istisqa’ ialah di kawasan lapang atau padang. Ia bukanlah tempat solat lima waktu atau solat Jumaat yang tetap seperti masjid. Jika begitu, adakah musalla sama statusnya dengan masjid yang boleh dibuat iktikaf dalamnya. Terdapat beberapa pandangan para ulama mazhab mengenai status musalla: 

 Mazhab Shaficiyy 

 Para ulama Shaficiyy berpendapat bahawa musalla bukanlah masjid, yakni hukumnya tidak sama dengan masjid. Sebabnya ialah masjid ialah tempat solat lima waktu, manakala musalla pula ialah tempat solat untuk acara tertentu sahaja. Imam al-Ghazaliyy ketika ditanya tentang status musalla yang dilakukan solat hari raya di luar bandar berkata: Maksudnya, “Tidak ada baginya (musalla) hukum masjid dari segi iktikaf, hukum orang berjunub duduk dalam masjid dan hukum hakam yang lain. Ini kerana masjid ialah tempat yang disediakan untuk solat lima waktu. Masjid telah ditentukan khusus untuknya (solat lima waktu) sehinggakan masjid tidak boleh dimanfaat tanpanya. Tempat untuk solat hari raya pula disediakan untuk perjumpaan-perjumpaan, tempat berhentinya rombongan-rombongan, tempat untuk menaiki binatang ternakan dan tempat mainan kanak-kanak. 

Ulama terdahulu tidak pernah menghalang perkara-perkara tersebut pada tempat terebut (musalla). Jikalaulah mereka menganggap ia sebagai masjid, sudah pasti mereka akan menjaganya daripada perkara-perkara tersebut. Begitu juga -mereka akan menjaganya- atas sebab mendirikan solat-solat lain. Solat hari raya adalah sunat, ia tidak berulang banyak kali. Ia dilakukan di musalla untuk tujuan perhimpunan. Solat hari raya di situ (musalla) kerana mengikut perbuatan Nabi ” (al-Zarkashiyy 1989: 386). 

 Imam al-Nawawiyy (2001: 3/163) berkata dalam kitab al-Majmuc: Maksudnya, “Musalla yang dijadikan tempat solat hari raya dan lain-lainnya yang bukan dianggap masjid, tidak haram padanya bagi orang berjunub, wanita haid atas pandangan mazhab. Pendapat ini dipegang oleh jumhur ulama”. Manakala dalam kitab al-Rawdah, imam al-Nawawiyy (2000: 1/403) berkata: Maksudnya, “Musalla tidak dianggap masjid sehingga menyebabkan diharamkan padanya apa yang diharamkan pada masjid -seperti haram orang berjunub, wanita haid dan lain-lain duduk dalamnya-. Tidak berlaku hukum bagi musalla seperti hukum bagi masjid”. 

 Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Ummu cAtiyyah: Maksudnya, “Bahawa Nabi S.A.W memerintahkan agar wanita-wanita haid untuk hadir pada hari raya dan mestilah menjauhi musalla”. (Hadis. al-Bukhariyy. Kitab al-cAydayn: Bab Zikr Ibahah Khuruj al-Nisa’ Fi al-cAydayn Ila al-Musalla Wa Shuhud al-Khutbah Mufariqatin Li al-Rijal. #890. ms342-343). 

 Apa yang difahami daripada hadis ini ialah jikalau musalla tidak mengambil hukum masjid, kenapa Nabi S.A.W mengarahkan agar wanita haid menjauhi musalla? Hadis ini dita’wil bahawa arahan Nabi itu ialah supaya memberi ruang kepada orang yang boleh bersolat untuk memenuhi saf-saf solat. Arahan ini juga supaya wanita haid berbeza dengan orang lain (al-Nawawiyy 2001: 3/163). 

 Mazhab Hanbaliyy 

 Ulama mazhab Hanbaliyy membezakan antara musalla hari raya dan musalla solat jenazah. Mereka menyatakan bahawa yang pertama (musalla hari raya) adalah masjid. Ia mempunyai hukum sama seperti hukum masjid. Manakala musalla jenazah tidak dianggap masjid. Ibnu Muflih al-Maqdisiyy (2002: 1/122) menyebut: Maksudnya, “Pendapat yang sahih ialah musalla hari raya adalah masjid kerana ia disediakan untuk solat pada hakikatnya. Adapun musalla jenazah, tidak. 

Begitulah disebutkan oleh Abu al-Macaliyy”. Al-Bahutiyy (1982: 1/174-175) pula menyebut: Maksudnya, “Diharamkan ke atas orang berjunub, wanita haid dan nifas yang telah berhenti darah mereka untuk duduk dalam masjid dan musalla hari raya. Ini kerana ia adalah masjid berdasarkan sabda Nabi S.A.W yang bermaksud, “hendaklah wanita haid menjauhi musalla” (Hadis. al-Nasa’iyy. Kitab Salat al-cAydayn: Bab Khuruj al-cAwatiq Wa Dhawat al-Khudur Fi al-cAydayn. #1558. ms184). Adapun musalla jenazah, ia bukanlah masjid kerana zolat jenazah bukanlah solat yang mempunyai rukuk dan sujud. Ia tidak sama dengan solat hari raya”. 

 Mazhab Hanafiyy 

 Ulama mazhab Hanafiyy berpendapat bahawa musalla-musalla ini (hari raya dan jenazah) bukanlah masjid. Namun mereka memberi sesetengah hukum masjid kepada musalla. al-Kalibuliyy (1998: 1/191) berkata: Maksudnya, “Pendapat yang sahih ialah musalla jenazah bukanlah masjid kerana ia bukanlah disediakan untuk solat pada hakikatnya. Ulama berselisih pendapat tentang musalla hari raya. Pendapat yang sahih ialah ia dianggap masjid dari segi hukum mengikut imam sekalipun saf-safnya terputus kerana ia disediakan untuk solat pada hakikatnya”. 

 Ibnu cAbidin (1998: 2/430) pula berkata: Maksudnya, “Adapun tempat (musalla) untuk solat jenazah atau hari raya, ia dianggap masjid dari segi hukum mengikut imam sekalipun saf-safnya terputus sebagai keringanan kepada orang ramai. Ia tidak dianggap masjid pada selain daripada itu dan inilah pendapat yang difatwakan. Maka orang berjunub dan wanita haid boleh memasukinya seperti halaman masjid, ribat (tempat solat), sekolah, masjid-masjid (tempat solat) bersebelahan tandas dan pasar-pasar (iaitu bilik-bilik kecil tidak bertingkap). Namun tidak boleh memasuki masjid yang bersambung dengan kaki lima jalan”. 

 Ulasan 

 Dr. Mahmud al-Haririyy (1990: 24) telah memilih pendapat mazhab Hanbali yang mengatakan bahawa musalla hari raya adalah masjid. Ia mempunyai hukum yang sama dengan masjid. Ini kerana ia diwakafkan untuk solat kerana Allah. Oleh itu tidak ada perbezaan sama ada ia untuk solat hari raya atau solat wajib. Sebab itulah ia perlu kepada penjagaan daripada perkara yang mengotorkannya kerana umat Islam bersolat di situ dengan solat yang ada rukuk dan sujud. Ia berbeza dengan solat jenazah yang boleh dilakukan di jalan kerana ia tidak mempunyai sujud dan rukuk. 

 Namun kajian ini lebih cenderung kepada pendapat mazhab Shaficiyy. Musalla atau tempat yang dijadikan tempat solat sempena acara tertentu seperti padang, stadium, dewan dan lain-lain tidak dianggap masjid. Ini kerana ia dijadikan tempat solat sementara dan bukannya tempat solat yang tetap. Terkadang tempat seperti padang atau stadium hanya dilakukan solat di situ sekali dua sahaja sempena program tertentu. 

Itulah keadaan dan penggunaan musalla di zaman Nabi S.A.W Keperluan menjaga kebersihan musalla hari raya, istisqa’ dan jenazah memang perlu dijaga. Ini kerana antara syarat sahnya solat ialah bersih tubuh badan dan tempat solat. Adapun arahan Nabi S.A.W kepada wanita haid agar menjauhi musalla kerana dibimbangi mereka akan mengotorkan musalla dengan darah mereka Ia juga bagi memberi laluan kepada orang lelaki dan wanita yang boleh bersolat yang turut hadir ke musalla. 

Adalah tidak logik jika wanita haid berada di tengah-tengah saf orang yang menunaikan solat. Sebab itulah mereka diarahkan agar menjauhi musalla, namun mereka boleh duduk di bahagian belakang untuk sama-sama mendengar khutbah selepas solat hari raya. Mereka datang ke musalla hari raya bukan untuk bersolat tetapi untuk mendengar nasihat-nasihat agama melalui khutbah yang disampaikan oleh khatib. Jadi walaupun mereka dalam haid, ia tidak menghalang mereka untuk turut serta di kawasan musalla hari raya. 

 Kesimpulan 

 Istilah surau di Malaysia, ia adalah tempat orang Islam mendirikan solat lima waktu secara berjemaah. Dapat difahami di sini, surau dari segi realitinya sama status dengan istilah masjid seperti yang didefinisikan oleh para ulama. Malah surau yang didirikan solat jemaah lima waktu dan solat Jumaat sama statusnya dengan istilah jamik menurut takrifan kamus dan amalan orang Arab. 

 Menurut kaedah ilmu Usul Fiqh: Maksudnya, "Yang diambil kira ialah maksud bukannya perkataan (istilah)" (Ibnu al-Qayyim 1993). Kajian ini berpendapat, memandangkan surau ialah tempat solat lima waktu secara jemaah, maka ia sama statusnya dengan masjid walaupun ia tidak dinamakan sebagai masjid. Begitu juga sesuatu tempat yang dinamakan atau dipanggil masjid tetapi tidak didirikan solat lima waktu di situ kecuali kerana perkara-perkara tertentu maka ia tidak boleh dianggap masjid. Ia bukanlah masjid sebenar yang boleh dilakukan iktikaf walaupun ia dinamakan "masjid". 

 Bibliografi 

 Abu Dawud, Sulayman bin al-Ashcath al-Sajistaniyy. 2004. Sunan Abi Dawud. cAmman: Bayt al-Afkar al-Dawliyyah. 
 cAliyy Muhy al-Din al-Qurrah. 1975. Mafhum al-Masjid Fi al-Islam Wa Madha Yutatallabu Minna Fi al-Waqt al-Hadir. Buhuth Mu’tamar Risalat al-Masjid. t.tp: t.pt. 
al-Baghdadiyy, Shihab al-Din cAbd al-Rahman bin Muhammad bin cAskar. t.th. Irshad al-Salik Fi Fiqh Imam al-A’immah Malik. Bayrut: Dar al-Fikr. 
 al-Bahutiyy, Mansur bin Yunus bin Idris al-Hanbaliyy. 1982. Kashshaf al-Qinac cAn Matn al-Iqnac. jil. 1. Bayrut: Dar al-Fikr. 
 al-Bahutiyy, Mansur bin Yunus bin Idris al-Hanbaliyy. 1999. al-Rawd al-Murbic Bi Sharh Dhad al-Mustaqnic. Bayrut: al-Maktabat al-cAsriyyah. 
 al-Bayhaqiyy, Abu Bakr Ahmad bin al-Husayn bin cAliyy. 1999. al-Sunan al-Kubra. Bayrut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 
 al-Bukhariyy, Abu cAbdillah Muhammad bin Ismacil. 2001. Sahih al-Bukhariyy. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-cArabiyy. 
 al-Fayyumiyy, Ahmad bin Muhammad bin cAliyy al-Muqri’. 1987. Al-Misbah al-Munir Mucjam cArabiyy cArabiyy. Bayrut: Maktabah Lubnan. 
al-Haririyy, Mahmud bin Husayn. 1990. Ahkam al-Masajid Fi al-Islam. Riyad: Dar al-Rifaciyy. 
 Ibnu cAbidin, Muhammad Amin bin cUmar bin cAbd al-cAziz al-Dimashqiyy. 1998. Radd al-Muhtar cAla al-Durr al-Mukhtar. jil. 2. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-cArabiyy. 
 Ibnu Manzur. 1999. Lisan al-cArab. jil. 2. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath. 
 Ibnu Mawdud al-Musiliyy, cAbdullah bin Mahmud al-Hanafiyy. t.th. al-Ikhtiyar Li Taclil al-Mukhtar. Bayrut: Dar al-Arqam bin Abi al-Arqam. 
 Ibnu Muflih al-Maqdisiyy, Shams al-Din Abu cAbdillah Muhammad al-Hanbaliyy. 2002. Kitab al-Furuc Fi Fiqh al-Imam Ahmad bin Hanbal. jil. 1 & 3. Bayrut: Dar al-Kitab al-cArabiyy. 
Ibnu al-Qayyim al-Jawziyyah, Shams al-Din Abu cAbdillah Muhammad bin Abi Bakr. 1993. Iclam al-Muwaqqicin cAn Rabb al-cAlamin. Al-Qahirah: Dar al-Hadith. 
 Ibnu Sayyidah, Abu al-Hasan cAliyy bin Ismacil al-Mursiyy. 2000. Al-Muhkam Wa al-Muhit a-Aczam. jil. 1. Bayrut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 
 al-Kalibuliyy, cAbd al-Rahman bin Muhammad bin Sulayman. 1998. Majmac al-Anhur Fi Sharh Multaqa al-Abhur. jil. 1. Bayrut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 
 Kertas Cadangan Menimbang Semula Keputusan Fatwa Berhubung Dengan Solat Tahiyatul Masjid di Surau Jumaat.
al-Mucjam al-cArabiyy al-Asasiyy. t.tp: al-Munazzamat al-cArabiyyah Li al-Tarbiyyah Wa al-Thaqafah Wa al-cUlum. 
 Muslim bin al-Hajjaj bin Muslim, Abu al-Husayn al-Qushayriyy al-Naysaburiyy. 2000. Sahih Muslim. Riyad: Dar al-Salam. 
 al-Nafrawiyy, Ahmad bin Ghunaym bin Salim bin Muhanna al-Azhariyy al-Malikiyy. 1997. Al-Fawakih al-Dawaniyy cAla Risalat Ibn Abi Zayd al-Qayrawaniyy. Bayrut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 
 al-Nasa’iyy, Abu cAbd al-Rahman Ahmad bin Shucayb bin cAliyy. 2004. Sunan al-Nasa’iyy. cAmman: Bayt al-Afkar al-Dawliyyah. 
 al-Nawawiyy, Abu Zakariyya Yahya bin Sharaf al-Dimashqiyy. 2000. Rawdat al-Talibin. jil. 1. Bayrut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 
al-Nawawiyy, Abu Zakariyya Yahya bin Sharaf al-Dimashqiyy. 2001. Kitab al-Majmuc Sharh al-Muhazzab Li al-Shiraziyy. jil. 3. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-cArabiyy. 
 al-Nawawiyy, Abu Zakariyya Yahya bin Sharaf al-Dimashqiyy. 2003. Minhaj al-Talibin. jil. 2. Bayrut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 
 Sacdiyy Abu Jayb. 1998. Al-Qamus al-Fiqhiyy Lugahtan Wa Istilahan. Dimashq: Dar al-Fikr. 
al-Sharbiniyy, Shams al-Din Muhammad bin Muhammad al-Khatib. 1998. Mughni al-Muhtaj Ila Macrifat Macani Alfaz al-Minhaj. jil. 1. Bayrut: Dar al-Fikr. 
al-Sharqawiyy, cAbdullah bin Hijaziyy bin Ibrahim al-Shaficiyy al-Azhariyy. 1997. Hashiyat al-Sharqawiyy cAla Tuhfat al-Tullab Bi Sharh Tanqih al-Lubab. Bayrut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 
 Taha al-Waliyy. 1988. al-Masajid Fi al-Islam. Bayrut: Dar al-cIlm Li al-Malayin. al-Tirmidhiyy, 
Abu cIsa Muhammad bin cIsa bin Sawrah. 2004. Jamic al-Tirmidhiyy. Lubnan: Bayt al-Afkar al-Dawliyyah. 
Undang-Undang Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan 1993. 
 Zakariyya al-Ansariyy, Abu Yahya. 1997. Tuhfat al-Tullab Bi Sharh Tahrir Tanqih al-Lubab. jil. 2. Bayrut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah. 
 al-Zarkashiyy, Badr al-Din Muhammad bin Bahadur bin cAbdillah al-Shaficiyy. 1989. Iclam al-Sajid Bi Ahkam al-Masajid. Al-Qahirah: t.pt.

3 ulasan

  1. Salam.

    Terima kasih Dr UF atas penerangan masalah ini. dah lama saya mencari.

    Cuma ada sedikit penjelasan diperlukan dari Sidi Dr.

    Saya pernah bertanya kepada seorang Ust tentang masalah I'tikaf adakah boleh di surau?

    Maka beliau menyebut bahawa hukum i'tikaf hanya boleh pada kawasan yang telah diWAQAFkan sebagai masjid walaupun sekecil mana. Selagi ia diwaqafkan sebai tempat didirikan slat, maka ia dikira masjid. Maka surau tidak masuk kategori itu jika tidak diniatkan WAQAF tersebut.

    Jadi persoalan saya, adakah dikira juga surau itu sebagai MASJID (kerana menurut kajian diatas ianya dikira masjid kerana illahnya dipanggil masjid kerana didirikan solat jemaah lima waktu) jika tidak diniatkan WAQAF oleh tuan Tanah/kawasan/binaan?

    Mohon pencerahan tuan Dr.

    Syukran.

    Dari Insan Jahil,
    Hazim Haznan
    Bangi

    BalasPadam
  2. Artikel ini asalnya memang bincang isu iktikaf dalam surau. Saya buang part iktikaf tu dan hanya sentuh status surau sahaja. Untuk maklumat lanjut boleh beli jurnal tersebut (lihat post terdahulu).

    Namun kesimpulannya, jika kita memilih pandangan yang mengatakan surau adalah masjid, maka dibolehkan untuk iktikaf dalamnya. Wallahu A'lam.

    BalasPadam

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage