Pengajian Syariah merupakan salah satu cabang bidang pengajian Islam yang terdapat di Institusi Pengajian Tinggi Negara. Di negara kita terdapat beberapa universiti yang mempunyai fakulti atau jabatan Syariah/Fiqh dan Usul seperti UKM, UM, UIAM, USIM dan UDM. Ini bererti pihak kerajaan memberi ruang kepada pengajian Islam umumnya dan pengajian Syariah khususnya untuk dipelajari oleh mereka yang berminat memilih bidang ini.
Memandangkan pengajian Syariah ini mempunyai kaitan yang amat rapat dengan hukum hakam Islam, maka ia perlu diambil berat oleh mereka yang terlibat dalam bidang ini. Ini untuk memastikan legasi ulung para mujtahid mazhab-mazhab fiqh tidak hanya tinggal dalam lipatan sejarah tetapi dilestarikan secara berterusan. Ini bererti perlu ada usaha untuk meningkatkan kemahiran dan nilai tambah para pelajar dalam bidang pengajian ini.
Kebiasaannya pembelajaran dan pengajaran subjek Syariah di semua institusi pengajian Islam berbentuk sehala iaitu guru mengajar dan pelajar mendengar. Cara ini dilihat kurang efektif untuk menghasilkan generasi pelapis mujtahid kerana tiada komunikasi aktif sama ada antara guru dan pelajar ataupun antara pelajar sesama mereka. Kekurangan sistem pembelajaran dan pengajaran seperti ini seolah-olah melahirkan pelajar yang pasif dalam dan luar kelas.
Malah terkadang pelajar yang mengambil jurusan Syariah tidak tahu untuk apa mereka memilih bidang ini dan tidak berminat dengannya. Lebih teruk lagi mereka tidak tahu apakah fungsi subjek-subjek yang mereka belajar dalam pengajian Syariah seperti subjek Usul Fiqh, Fiqh, Kaedah Fiqh, Siyasah Syariyyah dan lain-lain. Sedangkan untuk menjadi mujtahid yang diiktiraf, mereka hendaklah mengetahui, memahami dan mampu mengaplikasi teori-teori yang dipelajari menerusi subjek-subjek tersebut.
Maka perlu ada satu mekanisme untuk meningkatkan minat dan kemahiran para pelajar pengajian Syariah di Malaysia. Rentetan daripada itu, untuk meningkatkan keupayaan dan profesionalisme para pelajar pengajian bidang ini, adalah dicadangkan satu subjek "Mut Ijtihad" diperkenalkan kepada semua pelajar yang mengambil jurusan ini.
Subjek "Mut Ijtihad" adalah adaptasi daripada subjek "Mahkamah Mut" dalam pengajian undang-undang. Dalam pengajian bidang undang-undang, terdapat satu subjek yang perlu diikuti oleh para pelajar iaitu "Mahkamah Mut" ( Moot Court ). Dalam subjek ini para pelajar akan melakonkan sesuatu perbicaraan olok-olok seolah-olah mereka berada dalam perbicaraan mahkamah sebenar. Pembelajaran subjek ini juga diadakan dalam bilik yang diubahsuai seperti keadaan dalam kamar mahkamah sebenar.
Mahkamah Mut adalah perbicaraan olok-olok yang berkaitan dengan pemakaian akta dan enakmen sama ada Mahkamah Mut sivil atau Syariah terhadap isu-isu tertentu. Manakala Mut Ijtihad pula adalah “perbicaraan” dan perbincangan isu yang berkaitan dengan pemakaian dalil-dalil, ijmak, qiyas, pendapat ulama dan sebagainya sama ada dalam satu mazhab fiqh atau pun dalam beberapa mazhab berasaskan Fiqh al-Muqaran (fiqh perbandingan). Begitu juga ia meliputi isu-isu yang bersandarkan kepada nas-nas al-Quran dan sunnah ataupun isu-isu baru serta semasa yang ketiadaan dalil.
Jika subjek “Mahkamah Mut” membantu para pelajar undang-undang berlatih dan mengalami pengalaman “perbicaraan”, maka begitulah juga “Mut Ijtihad” juga bertujuan melatih pelajar pengajian Syariah di IPT supaya mahir berijtihad dalam memahami nas-nas al-Quran dan Sunnah. Seterusnya ia dapat membantu keupayaan dan kebolehan para pelajar Syariah dalam membina hukum terutamanya terhadap isu-isu baru yang ketiadaan dalil yang timbul pada setiap zaman.
Dengan adanya subjek “Mut Ijtihad” ia dapat membantu pelajar dalam bidang Syariah secara teori dan praktikalnya supaya mahir dalam pengajian Syariah. Subjek Mut Ijtihad tidak hanya meliputi satu subjek seperti Usul Fiqh sahaja, bahkan ia boleh meliputi semua subjek-subjek lain yang terdapat dalam pengajian Syariah. Ia mungkin sesuai dilaksanakan di tahun akhir pengajian setelah pelajar mempelajari dan mengetahui asas-asas subjek yang disebutkan sebelum ini.
Ia bukanlah adaptasi sepenuhnya daripada subjek Mahkamah Mut tetapi hanya mengambil konsep subjek tersebut. Subjek Mut Ijtihad bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk berijtihad seolah-olah mereka adalah mujtahid yang mewakili mazhab-mazhab fiqh. Ia juga melatih mereka supaya mampu mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam kehidupan sebenar atau dalam alam pekerjaan sama seperti pelajar bidang undang-undang mengaplikasikan pengalaman perbicaran “Mahkamah Mut” dalam perbicaraan sebenar dalam mahkamah bila mereka berkerja nanti.
Ini adalah lontaran idea awal dan UF membuka ruang seluas-luasnya untuk sebarang komentar dan perbincangan untuk memantapkan kemahiran pelajar pengajian Syariah di IPT Malaysia. Cadangan ini tidak bererti bahawa ia adalah satu-satunya cara untuk meningkatkan kemahiran pelajar pengajian Syariah, bahkan ia adalah salah satu cadangan ke arah itu.
Tiada ulasan
Catat Ulasan