Revolusi Industri 4.0 dan Tanggungjawab Kita


21 Julai 2017

Revolusi Industri 4.0 dan Tanggungjawab Kita

(Nota: "Kita" dalam post ini merujuk kepada para ulama, asatizah dan agamawan)

Fourth Industry Revolution atau Revolusi Industri Keempat mungkin begitu asing kepada kita. Mungkin ada di kalangan kita yang tidak pernah mendengar istilah ini atau pernah mendengarnya tetapi tidak tahu apa maksudnya. Tidak dinafikan mungkin segelintir kecil yang tahu dan pernah membincangkannya. Tahu atau tidak, suka atau tidak, ia telah bermula dan jika ia tidak dicakna oleh kita, pasti kita akan diibaratkan sebagai katak di bawah tempurung. Malah lebih teruk lagi kalau kita ibarat katak di bawah mangkuk gelas.

Apa kaitan Revolusi Industri Keempat dengan kita? Ahhh ia pasal industri, bukan ada kena mengena pun. Kita baca Quran, baca hadis, baca kitab cukuplah!!! 

Tahukah kita Revolusi Industri telah masuk ke fasa empat? Revolusi Industri pertama tertumpu pada penggunaan mesin berkuasa wap, kedua pada elektrik untuk mengubah barisan pemasangan dan ketiga berkisar kepada penggunaan teknologi maklumat (IT) untuk terus mengautomasikan lagi barisan pengeluaran.

Revolusi Industri keempat pula akan menyaksikan Internet of Things (IoT) membaik pulih bukan sahaja perniagaan, tetapi hampir semua aspek kehidupan seharian. Ia adalah trend semasa automasi dan pertukaran data dalam teknologi pembuatan yang mewujudkan "kilang pintar", di mana mesin disambungkan dengan web dan kepada satu sistem yang boleh menggambarkan keseluruhan rantaian pengeluaran dan membuat keputusan dengan sendiri.

Revolusi Industri 4.0 akan berdasarkan kepada sembilan tonggak; robot automasi, simulasi, integrasi sistem, IoT, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, realiti diperkukuhkan, analisis data besar, serta integrasi sistem menegak dan melintang.

Revolusi Industri keempat dilihat akan dapat meningkatkan pendapatan global dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di seluruh dunia. Impak Revolusi Industri 4.0 sama ada positif atau negatif tehadap bisnes, kerajaan mahupun masyarakat dan kemanusiaan telah dibincangkan dalam beberapa medium perbincangan. 

Sebenarnya Revolusi Industri keempat sedikit sebanyak memang ada kaitan dengan kita. Mengabaikannya bererti kita mengabaikan "kehidupan" ataupun "keperluan hidup". Jika dalam kerangka maqasid syariah, Revolusi Industri keempat boleh menjadi daruriyyat atau hajiyyat atau tahsiniyyat, bergantung kepada situasi sama ada untuk individu mahupun institusi agama.

Ledakan ataupun henjutan revolusi ini akan turut membawa isu-isu fiqh kontemporari. Apakah tindakan kita? Terkejut dan terus menjadi kaku, tidak tahu melakukan respon? Ataupun, bingkas bangun menanganinya dengan pantas dan komprehensif. Kita akan menjadi kaku jika kita masih dalam keranga mentraditionalkan fiqh. Tambahan pula tenaga kita hanya digunakan untuk berlawan secara negatif mengenai isu-isu khilafiyyah yang diulang-ulang. Bukan tidak bagus latihan minda fiqh dengan menjadikan furuk fiqh sebagai medan latihan. Tapi persoalannya, adakah kita hanya setakat itu sahaja? Kita perlu lebih daripada itu.

Kita akan responsif andai kita memodenkan dan membumikan fiqh. Cabaran fiqh pada zaman sekarang amat maha hebat apatah lagi dengan Revolusi Industri 4.0. Siapa di kalangan kita yang mengkaji "big data" atau data besar dan kesannya kepada pembinaan hukum fiqh. Adakah ia setaraf dengan dalil-dalil tambahan seperti maslahah mursalah, istihsan dan lain-lain. Atau sekurang-kurangnya adakah big data itu adalah jelmaan maslahah mursalah zaman sekarang?

Apa??? Big data??? Ini apa pula??? Tak pernah dengar bukan? Tak tahu bukan? Tak faham bukan? Ya, itulah kita. Jarang-jarang sangat di kalangan kita yang mentadabbur "al-ayat al-tiknologiyyah". Sedang ummah masa kini perlukan Syafie baharu, kita masih terlena. 

Oleh:

Prof. Madya Dr. Irwan bin Mohd Subri
Pengarah
Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD)
dan Profesor Madya
Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Rujukan Awal

Malaysia akan ketinggalan jika abaikan industri 4.0. http://www.astroawani.com/berita-malaysia/malaysia-akan-ketinggalan-jika-abaikan-industri-4-0-128119.
The Fourth Industrial Revolution: what it means, how to respond. https://www.weforum.org/agenda/2016/01/the-fourth-industrial-revolution-what-it-means-and-how-to-respond/.

Tiada ulasan

Catat Ulasan

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage