2018


25 Disember 2018

Bengkel Asas Faraid 1.0


Tarikh: 26 Januari 2019
Hari: Sabtu
Anjuran: Usuli Faqih Research Centre PLT
Tempat: Dewan Usuli, Nilai Negeri Sembilan (Atas Syarikat Air Negeri Sembilan – SAINS)
(Waze/Google Maps: UFRC – Usuli Faqih Research Centre)

Hubungi kami di: 019-6440815 (UFRC) 019-6254001 (En. Nasiruddin)
Emel: usulifaqih@gmail.com
Facebook: https://www.facebook.com/UsuliFaqihResearchCentre/

Tempat adalah terhad! Untuk mendaftar “Bengkel Asas Faraid 1.0” ini sila klik link berikut:
https://goo.gl/forms/eEFDs1AG56XEmzCt2

Bengkel Asas Bagaimana Menulis Proposal Tesis 3.0


Tarikh: 19 Januari 2019
Hari: Sabtu
Anjuran: Usuli Faqih Research Centre PLT
Tempat: Dewan Usuli, Nilai Negeri Sembilan (Atas Syarikat Air Negeri Sembilan – SAINS)
(Waze/Google Maps: UFRC – Usuli Faqih Research Centre)

Hubungi kami di: 019-6440815 (UFRC) 019-6254001 (En. Nasiruddin)
Emel: usulifaqih@gmail.com
Facebook: https://www.facebook.com/UsuliFaqihResearchCentre/

Tempat adalah terhad! Untuk mendaftar “Bengkel Asas Bagaimana Menulis Proposal Tesis” ini sila klik link berikut:

07 Oktober 2018

Dosa Peribadi

Ramai dah dok bagi ulasan pasal khalwat. Boleh baca atau dengar sama ada yang menyokong atau yang membangkang. Saya sehari dua ni memencilkan diri di atas bukit untuk menyiapkan tulisan untuk rujukan ummah pada masa hadapan.

Saya hanya nak cerita. Saya mantan pengerusi KRT di taman saya. Pernah beberapa kali mendapat aduan penyewa wanita bawa lelaki asing masuk ke rumah. Saya walaupun pengerusi penduduk, tapi saya tiada kuasa untuk masuk ke rumah tu. Saya tahu sedikit sebanyak prosedur tangkapan khalwat sebab pernah terlibat dalam operasi ketika belajar Master dulu.

Saya hanya boleh menulis surat warning atau berjumpa dengan pihak yang terlibat serta nasihat supaya mereka tidak ulang perbuatan itu. Ada yang terima nasihat, ada yang tidak terima. Itulah had kuasa saya.

Kita bercakap pasal dosa peribadi? Itu hanya urusan dia dengan Tuhan, dia tak kacau orang pun. Itu yang kita selalu sebut.


Tahukah kita, dosa peribadi seperti khalwat akan memberi kesan kepada masyarakat secara langsung atau tidak. Penduduk yang buat aduan kepada saya ada anak kecil, saya pun ada anak. Jika kita biarkan "dosa peribadi" berlaku di kawasan taman kita tanpa kita menegur atau mengambil tindakan, ia akan memberi signal kepada anak-anak kita bahawa "dosa peribadi" itu tidak mengapa untuk dilakukan. Ia akan membentuk pemikiran normalisasi terhadap maksiat.


Ketika saya membentangkan kertas kerja di Universiti Muhammadiyyah Yogjakarta beberapa tahun lepas, ada kajian dari universiti tersebut mendedahkan lebih 50% pelajar mereka menerima perlakuan LGBT dah menganggap ia adalah normal.


Kita tidak mahu dosa peribadi yang dianggap dosa individu, tetapi rupanya ia adalah api sekam yang pada mulanya tidak ternampak. Namun akhirnya ia boleh membakar masyarakat dan sayangnya ketika itu sudah terlambat.


Siapa kata dosa peribadi tiada masalah? 
Siapa kata dosa peribadi tidak memberi kesan kepada masyarakat?

05 September 2018

SEBAT (2)

Beberapa tahun lalu, saya di jemput oleh kerajaan negeri Kelantan untuk membentangkan kertas kerja dalam bengkel teknikal kanun jenayah syariah Kelantan. Ada beberapa pembentangan teknikal yang menarik dalam bengkel ini.

Antaranya ialah pembentangan wakil Jabatan Penjara Malaysia (JPM) berkenaan kaedah sebatan sivil dan syariah di Malaysia. JPM memaklumkan bahawa penyebat sivil dan syariah adalah orang yang sama. Penyebat-penyebat JPM akan dilatih dengan dua kaedah sebatan; sivil dan syariah.
Maksudnya, seseorang penyebat jenayah sivil akan mengikut SOP sebatan sivil yang mencederakan. Manakala sekiranya penyebat tersebut bertugas pula untuk menyebat bagi kesalahan syariah, dia juga akan mengikuti SOP sebatan syariah, iaitu tidak mencederakan.

JPM juga memaklumkan bahawa sebatan syariah telah lama dilaksanakan di Malaysia. Johor mencatatkan kes sebatan syariah paling banyak, diikuti oleh Selangor.

Orang yang paling "gembira" bila sebatan sama ada sivil atau syariah dilaksanakan ialah golongan penyebat. Ini kerana, setiap sebatan mereka akan mendapat elaun. Semakin banyak pesalah yang perlu disebat, akan menambah pendapatan dan menjana ekonomi sebahagian rakyat Malaysia.

SOAL JAWAB HUKUM BERSAMA PENDUDUK ISLAM COCOS (KEELING) ISLAND, AUSTRALIA (SIRI 2)

SOALAN:

Bolehkah Non Muslim Masuk Ke Masjid?

JAWAPAN:

Mengikut mazhab Syafie, orang bukan Islam dibolehkan memasuki masjid selain daripada masjid Haram dengan izin orang Islam (pengurus masjid). Ini dapat dilihat melalui kenyataan imam al-Nawawiyy yang menyebut:
أَمَّا الْكَافِرُ فَلَا يُمَكَّنُ مِنْ دُخُولِ حَرَمِ مَكَّةَ بِحَالٍ، سَوَاءٌ مَسَاجِدُهُ وَغَيْرُهَا. وَلَهُ دُخُولُ مَسَاجِدِ غَيْرِ الْحَرَمِ بِإِذْنِ مُسْلِمٍ. وَلَيْسَ لَهُ دُخُولُهَا بِغَيْرِ إِذْنٍ عَلَى الصَّحِيحِ. فَإِنْ فَعَلَهُ عُزِّرَ.
Maksudnya, “Adapun orang bukan Islam, maka mereka tidak dibolehkan untuk memasuki tanah haram Mekah atas apa alasan sekalipun, sama ada masjid atau bukan. Sebaliknya mereka dibolehkan memasuki masjid-masjid yang bukan di tanah Haram dengan izin orang Islam, dan tidak boleh memasukinya tanpa izin, mengikut pendapat yang sahih (dalam mazhab Syafie). Sekiranya mereka berbuat demikian (memasuki masjid tanpa kebenaran orang Islam), maka mereka boleh ditakzir” (Rujukan: Kitab Rawdat al-Talibin wa cUmdat al-Muftin).
Imam Khatib al-Sharbiniyy pula menyebut:
وَلَيْسَ لِلْكَافِرِ، وَلَوْ غَيْرَ جُنُبٍ دُخُولُ الْمَسْجِدِ إلَّا أَنْ يَكُونَ لِحَاجَةٍ كَإِسْلَامٍ، وَسَمَاعِ قُرْآنٍ، لَا كَأَكْلٍ وَشُرْبٍ، وَأَنْ يَأْذَنَ لَهُ مُسْلِمٌ فِي الدُّخُولِ إلَّا أَنْ تَكُونَ لَهُ خُصُومَةٌ
Maksudnya: “Dan tidak dibolehkan bagi orang bukan Islam memasuki masjid sekalipun dalam keadaan tidak berjunub, melainkan kerana wujudnya keperluan seperti ingin masuk Islam dan mendengar bacaan al-Quran, dan bukanlah (keperluan yang tidak mendesak) seperti makan dan minum. Dan orang-orang Islam mengizinkan mereka memasuki masjid kecuali boleh menyebabkan perbalahan (maka non Muslim tidak boleh masuk masjid)” (Rujukan: Kitab Mughniyy al-Muhtaj Ila Macrifat Macani Alfaz al-Minhaj).
            Keharusan ini merujuk kepada hadis berikut:
بَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ، فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ مِنْ بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ لَهُ: ثُمَامَةُ بْنُ أُثَالٍ، سَيِّدُ أَهْلِ اليَمَامَةِ، فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي المَسْجِدِ، فَخَرَجَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «أَطْلِقُوا ثُمَامَةَ»، فَانْطَلَقَ إِلَى نَخْلٍ قَرِيبٍ مِنَ المَسْجِدِ، فَاغْتَسَلَ، ثُمَّ دَخَلَ المَسْجِدَ، فَقَالَ: أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ
Maksudnya, “Nabi SAW pernah mengutus beberapa penunggang kuda ke arah Najd. Lalu utusan itu kembali dengan membawa tawanan daripada Bani Hanifah yang bernama Thumamah bin Uthal, pemimpin suku al-Yamamah. Mereka pun mengikatnya di salah satu tembok Masjid Nabawi. Kemudian Nabi SAW  mendekatinya dan berkata, “Lepaskan Thumamah”. Kemudian Thumamah menuju ke pohon kurma yang berdekatan dengan masjid, beliau mandi lalu masuk ke masjid, dan mengucapkan, “aku bersaksi tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah” (Hadis. Al-Bukhariyy. No. 462).
            Hadis ini menjelaskan bahawa para sahabat mengikat Thumamah di salah satu tembok dalam masjid Nabi SAW. Ini mununjukkan tentang keharusan bagi non Muslim untuk masuk ke masjid atas sesuatu keperluan.
            Inilah yang dinyatakan oleh imam Al-Sharbiniyy:
وثبت أنه صلى الله عليه وسلم أدخل الكفار مسجده، وكان ذلك بعد نزول ”براءة“، فإنها نزلت سنة تسع، وقدم الوفد عليه سنة عشر وفيهم وفد نصارى نجران، وهم أول من ضرب عليهم الجزية فأنزلهم مسجده وناظرهم في أمر المسيح وغيره
Maksudnya, “Terdapat riwayat bahwa Nabi SAW memasukkan orang kafir ke dalam masjid baginda. Ia terjadi setelah turunnya surah al-Tawbah yang turun pada tahun 9 hijriyah. Banyak delegasi berjumpa dengan Nabi SAW pada tahun 10 hijriyah, dan antara mereka ialah delegasi nasrani Najran. Mereka suku pertama yang dikenakan jizyah. Nabi SAW menyuruh mereka masuk ke dalam masjid baginda dan baginda juga berdebat dengan mereka tentang nabi Isa Al-Masih dan lain-kain” (Rujukan: Kitab Mughniyy al-Muhtaj Ila Macrifat Macani Alfaz al-Minhaj).

Kesimpulan
Daripada penjelasan hadis dan pandangan ulama Syafie di atas, dapat disimpulkan bahawa individu non Muslim dibolehkan masuk ke dalam masjid selain Masjidil Haram. Namun ia tertakluk kepada beberapa syarat antaranya dengan keizinan pihak pengurusan masjid, menjaga adab, menjaga kesucian dan kebersihan masjid, memakai pakaian yang sopan dan lain-lain peraturan yang munasabah.
            Membenarkan non Muslim juga boleh bertujuan untuk menyampaikan dakwah Islam kepada mereka. Ini menyerlahkan keindahan Islam yang menyeru kepada berbuat baik kepada sesama manusia. Pihak pengurusan masjid Cocos (Keeling) Island boleh memainkan peranan ini supaya institusi masjid dapat menjadi platform dakwah kepada non Muslim.
            Namun sekiranya didapati ada agenda tertentu atau boleh menyebabkan fitnah berlaku, maka pihak pengursan masjid boleh tidak membenarkan non Muslim masuk ke masjid. Ia tertakluk kepada kebijaksanaan atau budi bicara pihak pengurusan masjid.

Wallahu aclam bi al-sawab.

RUJUKAN:
Al-Bukhariyy, Muhammad bin Ismacil. 1422H. Sahih Al-Bukhariyy. T.tp: Dar Tawq al-Najah.
al-Nawawiyy, Abu Zakariyya Muhy al-Din bin Sharaf. 1991. Rawdat al-Talibin wa cUmdat al-Muftin . Jil. 5. Beirut: al-Maktab al-Islamiyy.
Al-Sharbiniyy, Shams al-Din Muhammad bin Muhammad al-Khatib. 2000. Mughniyy al-Muhtaj Ila Macrifat Macani Alfaz al-Minhaj. Jil. 1. Beirut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah.

Disediakan Oleh:

Prof. Madya Dr. Irwan bin Mohd Subri
Pengarah,
Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Nota Penting:

Tulisan ini adalah pandangan hukum awal Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada penduduk Islam Cocos (Keeling) Island, Australia dan bukanlah fatwa rasmi. Pandangan hukum ini diberikan berdasarkan suasana dan keadaan serta pengalaman penulis di Cocos (Keeling) Island, Australia.

SEBAT (1)

Tauliah Selangor

Lama dulu bila saya mohon tauliah di negeri Selangor, saya ditanya oleh panel dalam temuduga. Ketika itu panas isu seorang wanita Islam di Pahang disebat kerana kesalahan minum arak. Soalan panel, dalam fiqh kita nak sebat orang dengan apa?

Dengan yakin, saya jawab, "dengan rotan". Panel tanya, "ya ka"?. Baru saya terfikir balik, ya tak ya juga. Dalam hadis dan athar, sebatan kepada pesalah tertentu seperti minum arak dan lain-lain sama ada dengan pelepah tamar, ranting atau kasut.

Jawapan saya pada mulanya respon automatik berdasarkan realiti di Malaysia di mana alatan sebatan kepada pesalah ialah dengan rotan. Cuma kaedah sebatan kepada pesalah kesalahan sivil dan pesalah jenayah syariah amat berbeza.

Dalam sivil, pesalah akan dibogelkan dan diikat di para, lalu disebat dibahagian punggung dengan sekuat daya sehingga menyebabkan kecederaan teruk. Manakala sebatan syariah, pesalah dalam keadaan menutup aurat dan disebat di bahagian belakang badan dengan sebatan ringan yang tidak mencederakan.

Yang menariknya, penyebat sivil dan syariah adalah orang yang sama. Ini saya akan kupas dalam post berikutnya.

04 Ogos 2018

SOAL JAWAB HUKUM BERSAMA PENDUDUK ISLAM COCOS (KEELING) ISLAND, AUSTRALIA (SIRI 1)

SOALAN:
Solat Jumaat Di Pulau Cocos Dengan Berapa Jumlah Bilangan Makmum?
JAWAPAN:
Kewajipan menunaikan solat Jumaat adalah berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya, "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)" (al-Quran. Surah Al-Jumu'ah: 9).
Rasulullah SAW juga bersabda:
{الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً: عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ}
Maksudnya, "Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak atau orang yang sakit" (Riwayat Abu Dawud).
Mengikut mazhab Syafie, syarat wajib solat Jumaat adalah seperti berikut:
1. Islam.
2. Baligh.
3. Berakal.
4. Merdeka.
5. Lelaki.
6. Sihat.
7. Bermastautin atau bermukim (Rujukan: Kitab Matn Abi Shuja' al-Musamma Bi al-Ghayah Wa al-Taqrib).
Manakala syarat sah solat Jumaat mengikut mazhab Syafie adalah seperti berikut:
1. Didirikan dalam waktu Zuhur.
2. Tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu tempat yang telah ditetapkan seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.
3. Tidak dilakukan dua jumaat dalam satu kariah kecuali tempat itu besar dan sukar berkumpul di satu tempat.
4. Mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang tinggal tetap di kawasan itu.
5. Didahului dengan dua khutbah (Rujukan: Kitab Minhaj al-Talibin Wa Umdat al-Muftin Fi al-Fiqh & Mughniyy al-Muhtaj Ila Ma'rifat Ma'ani Alfaz al-Minhaj).
Solat Jumaat Di Cocos (Keeling) Island
Berdasarkan keadaan di Cocos (Keeling) Island, Australia, solat Jumaat diadakan di dua tempat iaitu di Home Island dan Main Island. Solat Jumaat di Home Island tidak menimbulkan masalah dari segi bilangan jemaah kerana jumlah yang ramai yang dapat hadir solat Jumaat tersebut.
Manakala solat Jumaat di Main Island dihadiri lebih kurang 40 orang yang bekerja di situ. Yang menimbulkan sedikit persoalan ialah jumlah ini boleh jadi mencukupi bilangan 40 orang yang disyaratkan mengikut mazhab Syafie dan boleh jadi tidak mencukupi sekiranya ada antara mereka yang bercuti atau sakit atau lain-lain faktor.
Oleh itu, sekiranya bilangan jemaah tidak mencukupi 40 orang di Main Island atas apa faktor sekalipun, solat Jumaat boleh didirikan dengan jemaah yang kurang daripada 40 orang dengan mengambil pendapat mazhab Maliki iaitu sekurang-kurangnya 12 orang termasuk imam (rujukan: Kitab al-Taj Wa al-Iklil Li Mukhtasar Khalil) atau berdasarkan pendapat mazhab Hanafi iaitu sekurang-kurangnya 4 orang termasuk imam (Rujukan: Kitab Tabyin al-Haqa’iq Sharh Kanz al-Daqa’iq & al-Inayah Sharh al-Hidayah).
Dalam hal ini, mendirikan solat Jumaat di Main Island, Cocos (Keeling) Island, Australia walaupun tidak cukup bilangan jemaah 40 orang (mengikut mazhab Syafie) adalah dibolehkan supaya lelaki muslim di situ dapat mendengar pesanan-pesanan agama melalui khutbah Jumaat.
Wallahu a'lam bi al-sawab.
RUJUKAN:
Abu Shuja', Shihab al-Din Ahmad bin al-Husayn bin Ahmad. Matn Abi Shuja' al-Musamma Bi al-Ghayah Wa al-Taqrib. T.tp: Alam al-Kutub.
Al-Babartiyy, Akmal al-Din Muhammad bin Muhammad bin Mahmud. T.th. al-Inayah Sharh al-Hidayah. T.tp: Dar al-Fikr.
Al-Mawwaq, Abu Abdillah Muhammad bin Yusuf bin Abi al-Qasim bin Yusuf. 1994. al-Taj Wa al-Iklil Li Mukhtasar Khalil. T.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Nawawiyy, Abu Zakariyya Muhy al-Din Yahya bin Sharaf. 2005. Minhaj al-Talibin Wa Umdat al-Muftin Fi al-Fiqh. T.tp: Dar al-Fikr.
Al-Sharbiniyy, Shams al-Din Muhammad bin Ahmad al-Khatib. 1994. Mughniyy al-Muhtaj Ila Ma'rifat Ma'ani Alfaz al-Minhaj. T.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Zayla'iyy, Fakhr al-Din Uthman bin Aliyy bin Mahjin al-Bari'iyy. 1313H. Tabyin al-Haqa’iq Sharh Kanz al-Daqa’iq. Al-Qahirah: al-Matba'at al-Kubra al-Amiriyyah
DISEDIAKAN OLEH:
Prof. Madya Dr. Irwan bin Mohd Subri
Pengarah,
Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Nota Penting:
Tulisan ini adalah pandangan hukum awal Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada penduduk Islam Cocos (Keeling) Island, Australia dan bukanlah fatwa rasmi. Pandangan hukum ini diberikan berdasarkan suasana dan keadaan serta pengalaman penulis di Cocos (Keeling) Island, Australia.

Hifz al-Din Adalah Menjaga Semua Agama? (Bahagian 3)

Bacalah dengan hati yang tenang....

Saya tidak mahu panjangkan ulasan lagi isu ini, cuma saya minta anda baca artikel berikut yang bertajuk
مقصد حفظ الدين رؤية مقاصدية معاصرة yang ditulis oleh Husam al-Isawi Ibrahim seorang graduan dari Universiti al-Azhar. Artikel yang cukup panjang lebar menjelaskan tentang maqasid penjagaan agama.

Ada 1 point beliau yang hampir sama dengan pandangan Dr. M ketika beliau menjelaskan tentang wasilah (cara) penjagaan agama menurut pandangan maqasid kontemporari.

Point yang disebut oleh Husam sebagai wasilah menjaga agama ialah menghidupkan sesi dialog antara agama. Bagi beliau dialog sebegitu dapat menjaga "agama-agama samawi" dalam mewujudkan satu kesepakatan dalam khidmat insani dan menjauhkan peperangan, keganasan dan kemusnahan kerana jauh daripada panduan samawi.

Kedengaran pointnya sama sepeti Dr. M sebut, namun jika dibaca keseluruhan artikel ini (baca daripada awal hingga habis), Husam hanya meletakkan point tersebut dalam wasilah sahaja bukannya dalam maqasid.

Jangan ambil point yang saya sebut kesimpulannya itu sahaja, tapi wajib baca keseluruhan artikel beliau. Moga ada ilmu baharu yang kita dapat.

Boleh baca artikel beliau di link berikut:

15 Julai 2018

Hifz al-Din Adalah Menjaga Semua Agama? (Bahagian 2)


Bacalah dengan hati yang tenang....

Perkara yang menarik perhatian perbincangan ramai asatizah apabila Dr. M membawa tafsiran baharu kepada maksud hifz al-din. Katanya, ia bermaksud menjaga "semua" agama dan bukan menjaga Islam sahaja, maka itulah sisi rahmatan lil alamin. Dalam posting FB beliau selepas itu, beliau ada menjustifikasikan kenyataannya itu terutama maksud penggunaan alif lam (ال) dalam bahasa arab.

Berikut ialah tulisan beliau: "Ada yang berhujahkan pengunaan ال sebagai makna ditakrifkan khusus perkataan Ad din الدين dengan makna hanya agama Islam. Bagaimana pula ال dalam Al Mal, Al Nafs, Al Aql dan Al i'rd, adakah kesemua itu hanya untuk menjaga harta orang Islam, akal orang Islam ataukah hanya jiwa orang Islam kerana maslahat paling atas hanya untuk jaga agama Islam sahaja? Ini pastinya tidak konsisten dengan prinsip Insaniah yang dijamin oleh Islam" (Mujahid Yusof Rawa, 14 Julai 2018).

Sesiapa yang belajar ilmu bahasa arab, pasti tahu alif lam (ال) ada peranan tertentu dalam sesuatu perkataan. Ia bukan saja-saja kita nak guna atau tidak. Perkataan yang ada alif lam (ال) boleh membawa maksud lain berbanding perkataan yang sama yang tidak mempunyai alif lam (ال). Secara ringkasnya peranan alif lam (ال) dalam bahasa arab boleh dikategorikan kepada:
1. Alif lam (ال) li al-'ahd (menjelaskan masa).
2. Alif lam (ال) li al-jins (menjelaskan hakikat sesuatu).
3. Alif lam (ال) li al-istighraq (mencangkupi semua perkara yang sesuai masuk di bawah perkataan tersebut).
(Nota: pembahagian alif lam (ال) berbeza antara pakar bahasa arab, ada yang mengkategorikan 2 bahagian dan ada yang mengkategorikannya kepada 3 bahagian).

Bagaimanakah dan siapakah yang akan menentukan maksud sebenar alif lam (ال) yang digunakan oleh seseorang penutur atau penulis. Pada asasnya, maksud alif lam (ال) boleh difahami sama ada melalui penjelasan oleh si penutur/penulis atau melalui konteks ayat yang digunakan. Jadi penggunaan alif lam (ال) agak unik kerana ia boleh berubah peranan atau maksudnya dan ia tidak statik dalam semua keadaan dengan satu maksud sahaja.

Apabila Dr. M cuba menjustifikasikan maksud hifz al-Din ialah menjaga semua agama dengan beralasankan atau berhujahkan penggunaan alif lam (ال) dalam al-'aql, al-nasal, al-nafs dan al-mal, jelas beliau terkhilaf dalam memahami fungsi alif lam (ال).

Sebagai contoh, apabila Allah berfirman dalam al-Quran: (وأقيموا الصلاة) (surah al-Baqarah, ayat 43), adakah difahami bahawa Allah memerintahkan umat Islam untuk menunaikan semua solat atau sembahyang semua agama? Jika digunakan justifikasi Dr. M, maka kita sepatutnya berkata ya. Kerana apa? Kerana adanya alim lam (ال) dalam perkataan الصلاة. Namun hakikatnya bukan itu maksudnya. Solat dalam arahan tersebut ialah solat orang Islam dan bukannya semua jenis solat dalam semua agama yang ada di dunia ini.

Alif lam (ال) dalam ayat 43 surah al-Baqarah itu bukan bermaksud alif lam (ال) li al-istighraq dalam erti kata semua jenis solat agama yang ada. Kalau kita beranggapan bahawa alif lam (ال) dalam ayat tersebut adalah alif lam (ال) li al-istighraq dalam erti kata semua solat fardu, ia masih boleh diterima. Ini yang dijelaskan oleh imam al-Baghawi dalam tafsirnya tentang ayat tersebut:
 {وأقيموا الصلاة} يعني الصلوات الخمس بمواقيتها وحدودها

Apabila Dr. M mentafsirkan hifz al-din dengan maksud menjaga "semua" agama kerana adanya alif lam (ال) dalam perkataan "al-din", maka ia amat janggal. Alif lam (ال) dalam perkataan hifz al-din memang boleh ditafsirkan dengan alif lam (ال) li al-istighraq. Dalam perbahasan lafaz al-'am ilmu Usul Fiqh, antara indikator asas sesuatu lafaz itu bermaksud 'am ((mencangkupi SEMUA perkara yang sesuai masuk di bawah perkataan tersebut) ialah lafaz mufrad (singular) yang ada alif lam (ال). Contohnya surah al-'asr ayat 2 (إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ). Ayat ini bermaksud SEMUA manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal salih. Namun tidak semua perkataan mufrad yang ada alif lam (ال) akan bermaksud 'am (rujuk perbahasan 'am dan khas dalam ilmu usul fiqh untuk maklumat lanjut).

Kenapa saya kata kata tafsiran Dr. M janggal. Ini kerana dalam perbahasan maqasid syariah, hifz al-din bermaksud menjaga "agama Islam" dan bukannya "semua agama". Dr. M perlu bezakan antara perbahasan maqasid syariah dan perlembagaan persekutuan Malaysia. Perbahasan maqasid syariah perlu dibincangkan mengikut displin ilmu syariah dan jika dilihat nas-nas Syarak, tafsiran al-din bermaksud agama Islam dan bukannya semua agama. Allah berfirman dalam surah Al Imran ayat 19 (إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ). Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini berkata:
وقوله : ( إن الدين عند الله الإسلام ) إخبار من الله تعالى بأنه لا دين عنده يقبله من أحد سوى الإسلام ، وهو اتباع الرسل فيما بعثهم الله به في كل حين ، حتى ختموا بمحمد صلى الله عليه وسلم ، الذي سد جميع الطرق إليه إلا من جهة محمد صلى الله عليه وسلم ، فمن لقي الله بعد بعثته محمدا صلى الله عليه وسلم بدين على غير شريعته ، فليس بمتقبل .

Jika hifz al-din dibincangkan dari kaca mata perlembagaan persekutuan, mungkin bolehlah dikatakan bahawa fungsi kerajaan ialah menjaga "semua" agama yang ada di negara ini. Perlembagaan persekutuan (Kebebasan beragama) perkara 11 memperuntukkan:
(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Namun, walaupun perbahasan maqasid syariah mengatakan bahawa hifz al-din ialah menjaga agama Islam, tidak terdapat satu nas Syarak pun yang mengatakan bahawa agama lain perlu dihancurkan, diperangi dan tidak dihormati. Kalau Dr. M inginkan penganut agama lain dihormati hak mereka dan sebagainya, ia memang telah ditekankan oleh Nabi Muhammad SAW sejak Islam diturunkan pun. Banyak nas al-Quran dan hadis yang meminta umat Islam menghormati dan memberikan hak termasuk kepada orang bukan Islam. Antaranya firman Allah surah al-An'am ayat 108 (وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ). Ini adalah perbahasan lain bukannya perbahasan maqasid syariah walaupun tidak dinafikan bahawa ia ada kaitan dengannya.

Kesimpulannya, penggunaan alif lam (ال) memang mempunyai pelbagai maksud dalam konteks yang berbeza. Namun dalam perbahasan maqasid syariah, hifz al-din adalah penjagaan agama Islam dan bukannya semua agama. Penganut agama lain boleh meminta pakar agama mereka agar membuat maqasid agama mereka sendiri. Peranan kita sebagai kerajaan untuk menjaga semua rakyat berbilang agama adalah isu dan perbahasan yang lain.

Hifz al-Din Adalah Menjaga Semua Agama? (Bahagian 1)

Bacalah dengan hati yang tenang....

Pada mulanya saya mendengar sedutan ucapan Yb Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. 
Mujahid (selepas ini akan disebut Dr. M) berkenaan hifz al-Din. Saya agak tersentak dengan
huraian beliau. Katanya selama ini kita tersalah faham tentang terjemahan hifz al-din. Kita
memahaminya sebagai menjaga agama Islam sahaja. "Tak betul" kata Dr. M, yang sebetulnya ialah
menjaga semua agama.

Sebolehnya saya tidak mahu memberi sebarang komen bersetuju atau tidak selagi saya tidak
mendengar ucapan Dr. M keseluruhannya (الحكم على الشيء فرع عن تصوره). Pagi tadi saya meluangkan masa untuk mendengar ucapan beliau yang mengambil masa lebih kurang 55 minit. Ringkasan intipati ucapan
Dr. M telah pun saya tulis dalam post saya sebelum ini.

Setelah mendengar keseluruhan ucapan beliau, dapat saya simpulkan ia terbahagi kepada 2 tema
utama yang ingin disampaikan kepada warga agensi agama Islam di bawah beliau. Tema-tema
tersebut ialah:
1. Pentadbiran dan rasuah.Semua pihak diminta untuk menunjukkan contoh pentadbiran Islam yang
baik kerana ia mencerminkan agama Islam itu sendiri dengan menjauhi rasuah. Ini disebutkan
oleh Dr. M sebagai mukaddimah ucapannya.
2. Visi dan aspirasi beliau sebagai seorang menteri yang menjaga portfolio agama Islam. Visi
ini diperincikan kepada 3 point iaitu:
a. Konsep rahmatan lil alamin.
b. Pemikiran maqasidik.
c. Acuan pentadbiran Islam mengikut acuan Malaysia (fiqh manhaj Malaysia).

Saya sebagai pendengar ucapan ini pada dasarnya memahami dengan jelas apa yang hendak dibawa
oleh Dr. M sebagai seorang menteri agama (Islam). Bagi saya, ucapan sebegini sebagai "pembuka
selera" kepada orang bawahan beliau untuk memahami visi ketua mereka. Saya pasti, Dr. M akan
susuli dengan pelan tindakan untuk merealisasikan visinya itu.

Konsep-konsep yang Dr. M ucapkan itu tidaklah asing sangat kerana ia telah pun dijelaskan dan
dibahaskan oleh para ulama silam dan kontemporari termasuklah ilmuan Malaysia. Beliau hanya
menyusun konsep-konsep tersebut dan menjadikannya kerangka gerak kerja yang bakal beliau
laksanakan di bawah kementerian dan agensi yang berkaitan.

Ucapan beliau pada umumnya (mungkin) boleh diterima sehinggalah beliau menyebut dan
menjelaskan tentang point "Hifz al-Din Adalah Menjaga Semua Agama". Saya yang tersentak ketika
mendengar sedutan ucapan beliau sebelum itu, terus tersentak juga apabila mendengar
keseluruhan ucapannya pada point yang dijelaskannya itu.

Bersambung...

29 Jun 2018

Denda RM25 Berbaloi dan Memadai?

Isu denda Dua Puluh Lima Ringgit terhadap 2 pelancong China kerana berkelakuan tidak sopan di atas tembok Masjid Bandaraya Kota Kinabalu menjadi hangat seketika. Walaupun isu ini tidak sehangat komentar-komentar politik harapan atau tiada harapan, namun ia tetap menarik minat sebahagian netizen untuk mengulas mengenainya. Ramai yang mempertikai kewajaran "jumlah" denda tersebut kerana ia dilihat terlalu sedikit dan terlalu "lawak" untuk dikenakan sebagai hukuman kepada sesuatu "kesalahan". Mari kita belajar sedikit mengenai undang-undang di Malaysia. Memandangkan kejadian tersebut berlaku di Sabah, maka kita akan merujuk kepada undang-undang yang berkuatkuasa di negeri Sabah. Dua guru tari warga China tersebut telah ditahan oleh pihak polis kerana memperagakan tarian di atas tembok Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Majistret Cindy Balitus menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua wanita berumur 25 dan 37 berkenaan mengaku bersalah berkelakuan tidak sopan di atas tembok masjid Sabtu lalu ()23 Julai 2018, kira-kira jam 4 petang. Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah kerana berkelakuan tidak sopan di kawasan awam. Seksyen 15, Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah atau Minor Offences Ordinance, State of Sabah memperuntukkan:
"Any person who is found drunk and incapable of taking care of himself, or is guilty of any riotous, disorderly or indecent behaviour, or of persistently soliciting or importuning for immoral purposes in any public road or in any public place or place of public resort, or in the immediate vicinity of any court or of any public office or police station or place of worship, or in any coffee shop, eating house or other place to which the public has or may have access shall be liable to a fine of twenty-five ringgit, and to imprisonment for fourteen days, and on a second or subsequent conviction to a fine of fifty ringgit and to imprisonment for three months". Memandangkan kedua-duanya ditahan oleh pihak polis, tambahan pula kedua-duanya bukan Islam, maka hukuman yang sesuai dijatuhkan ialah mengikut undang-undang yang berkuatkuasa di negeri Sabah iaitu Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah. Hakim majistret telah mengikut undang-undang dan beliau tidak mempunyai pilihan lain kerana jumlah denda berkelakuan tidak senonoh di tempat awam yang termaktub dalam undang-undang tersebut aadalah RM25.00. Ya, dari segi logiknya, jumlah itu pada zaman sekarang amat tidak logik atau tidak wajar, namun itulah undang-undang yang berkuatkuasa di negeri Sabah. Jumlah itu (RM25.00) sebenarnya adalah jumlah sama yang dikenakan dalam Akta Kesalahan Kecil atau Minor Offences Act 1955 (Seksyen 21) yang berkuatkuasa di Semananjung Tanah Melayu seperti berikut:
"Any person who is found drunk and incapable of taking care of himself, or is guilty of any riotous, disorderly or indecent behaviour, or of persistently soliciting or importuning for immoral purposes in any public road or in any public place or place of public amusement or resort, or in the immediate vicinity of any Court or of any public office or police station or place of worship, shall be liable to a fine not exceeding twenty-five ringgit or to imprisonment for a term not exceeding fourteen days, and on a second or subsequent conviction to a fine not exceeding one hundred ringgit or to imprisonment for a term not exceeding three months or to both". Sekarang mari kita lihat undang-undang Islam yang berkuatkuasa di negeri Sabah berkaitan kelakuan tidak senonoh. Seksyen 83. Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 Sabah (Perbuatan tidak sopan dikhalayak ramai) memperuntukkan:
"(1) Seseorang yang dengan sengaja melakukan perbuatan atau berkelakuan tidak sopan yang bertentangan dengan Hukum Syarak di mana-mana tempat awam adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali". Jumlah denda yang sama (seribu ringgit) juga disebut dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dalam seksyen 31. Jumlah denda dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 Sabah berkaitan Perbuatan tidak sopan dikhalayak ramai jauh lebih tinggi berbanding jumlah denda dalam Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah bagi kesalahan yang sama. Namun kedua-dua pelancong China tersebut tidak boleh didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 Sabah kerana mereka bukan Islam. Jika pesalah muslim yang berkelakuan tidak senonoh, untuk mendendanya bergantung kepada undang-undang mana mereka akan didakwa. Sekiranya di bawah Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah, maka denda maksimumnya ialah RM25.00 dan sudah pasti pesalah tidak berasa gusar kerana jumlahnya amat rendah. Namun sekiranya beliau didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 Sabah, maka beliau akan didenda maksimum seribu ringgit dan pasti jumlah itu agak memeritkan.

05 Mei 2018

Dawabit Pilihanraya (Dabit Ke-4)

"Kepentingan parti didahulukan berbanding calon"

Ia berdasarkan kaedah:

المصلحة العامة تقدم على المصلحة الخاصة
Maksudnya, "Kepentingan awam (parti) diutamakan ke atas kepentingan khusus (calon)".

Dalam mencapai kemenangan dalam pilihanraya, setiap parti akan meletakkan calon-calonnya di kerusi yang ditandingi. Kemenangan calon parti yang ramai amat penting untuk membolehkan partinya membentuk kerajaan.

Tidak dinafikan semua calon ada kekurangan tertentu. Namun kekurangan ini boleh di"abaikan" demi untuk kepentingan yang lebih besar iatu kemenangan bilangan kerusi parti calon tersebut.

Kaedah fiqh ada menyebut:
ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
Maksudnya, "Sesuatu perkara yang tidak akan tercapai perkara wajib melainkan dengannya, maka perkara itu menjadi wajib".

Walaupun secara individu, calon itu dilihat kurang berwibawa, namun demi untuk memastikan partinya membentuk kerajaan, diwajibkan mengundi calon tersebut. Ini kerana, jika tidak mengundi calon tersebut, parti yang didokong dan diminati tidak akan dapat membentuk kerajaan jika kalah kerusi.

Dawabit Pilihanraya (Dabit Ke 3)

"Jika calon-calon yang bertanding diketahui kurang baik, maka hendaklah mengundi calon yang paling kurang mudaratnya".

Dabit ini didasari oleh kaedah fiqh yang berbunyi :

إذا تعارضت مفسدتان روعي أعظمهما ضررا بارتكاب أخفهما
Maksudnya, "Apabila bertembung dua mafsadah (keburukan), hendaklah menolak mudarat yang paling besar dengan memilih mudarat yang paling ringan".

Situasinya berlaku apabila dua calon Non Muslim bertanding atau dua calon Muslim yang kurang baik bertanding atau calon Muslim yang kurang baik dan calon Non Muslim yang baik bertanding.

Dawabit Pilihanraya (Dabit Ke 2)


"Pengundian sebaiknya dilakukan pada hari cuti Sabtu"

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebaiknya patut mengadakan hari pengundian pada hari cuti seperti Sabtu. Ini bagi memudahkan pengundi supaya turun mengundi dengan peratus yang lebih ramai.

Jika dibuat pada hari bekerja, ia akan menyukarkan ramai pekerja sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta. Hal ini kerana mereka terpaksa memohon cuti yang sepatutnya boleh dielakkan.

Seramai 14,940,627 pemilih berdaftar berdasarkan daftar pemilih Suku Tahun Keempat 2017 yang layak mengundi pada Pilihanraya Umum Ke 14.

Renungilah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:
يسِّروا ولا تعسِّروا
Maksudnya, "Permudahkanlah dan jangan kamu menyusahkan" (Muttafaq Alayh).

Allah juga berfirman:
 يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya, "Allah menyukai perkara yang mudah untuk kamu dan tidak menyukai perkara yang payah untuk kamu" (Surah al-Baqarah, 185).

Dawabit Pilihanraya

Dawabit fiqh ialah satu kaedah induk yang menghimpunkan isu-isu fiqh yang pelbagai dalam satu-satu bab fiqh. Ia (dawabit) berbeza dengan Qawaid Fiqh kerana, Qawaid Fiqh walaupun ia juga kaedah induk yang menghimpunkan isu-isu fiqh yang pelbagai tetapi Qawaid Fiqh bersifat merentasi bab fiqh yang pelbagai (bukan satu bab sahaja).

Saya cuba berkongsi beberapa dawabit fiqh berkaitan pilihanraya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Dabit 1

"Pengundi hendaklah memangkah calon muslim yang berwibawa"

Situasinya berlaku apabila kerusi yang ditandingi oleh 2 calon muslim. Pengundi muslim berperanan untuk memilih calon yang berkebolehan untuk mewakili mereka.

Wibawa yang dimaksudkan, calon tersebut adalah orang yang amanah dalam tugasnya. Beliau juga boleh membawa aspirasi rakyat di kawasan yang diwakilinya sama di peringkat DUN mahupun Parlimen.

Bagaimana hendak mengetahui kewibawaan calon tersebut?

Ia boleh diketahui melalui beberapa cara. antaranya:
a. Jika calon itu pernah menang dalam pilihanraya sebelum ini, pengundi boleh mengetahui track record beliau sebagai YB di sesuatu kawasan yang diwakili.
b. Jika calon itu belum pernah bertanding dalam pilihanraya sebelum ini, pengundi boleh mengetahui latarbelakang calon melalui pengalaman kerjanya (sebagai contoh) dan lain-lain.

Minda Undi (2)

Bahang pilihanraya semakin menghangatkan suasana. Bahang ini dipanaskan lagi dengan ramalan, bacaan mahupun kajian soal selidik tentang peluang parti-parti bertanding untuk meang. Kita dapat membaca hasil kajian/survey yang dilakukan oleh pelbagai pihak sama ada individu atau pusat penyelidikan dan sebagainya.

Dapatan survey tersebut jika meramalkan kemenangan parti yang disokong pasti akan menggembirakan mereka. Sebaliknya jika ia meramalkan kekalahan parti yang disokong, ia sedikit sebanyak menggusarkan mereka.

Survey melalui Facebook juga banyak kali dibuat sama ada oleh individu ataupun page tertentu. Namun sejauh mana hasil dapatan kajian melalui media sosial ini benar-benar akan diterjemahkan dalam dunia realiti pada 9 Mei 2018 nanti?

Pendokong mana-mana parti mahupun parti itu sendiri jika berpuas hati dengan hasil survey media sosial, maka ia amat malang. Parti anda boleh menang survey yang anda jalankan dalam media sosial tetapi ia tidak mencerminkan hakikat sebenar.

Hakikatnya masih ramai yang tidak "mengundi" dalam surrvey tersebut. Bahkan yang "mengundi" survey tersebut adalah bukan pengundi sebenar sesuatu kawasan pilihanraya. Yang kelihatan galak membuat survey terdiri daripada penyokong Gagasan Sejahtera (PAS) dan Pakatan Harapan (PKR, AMANAH & DAP). Penyokong Barisan Nasional juga ada membuat survey tersebut tetapi agak kurang berbanding lawannya.

Seringkali survey yang dilakukan oleh 2 kelompok di atas memihak kepada 2 golongan tersebut. Seringkali juga dapatan survey menunjukkan BN (UMNO) asyik "kalah". Benarkah UMNO semakin lemah dan penyokong realiti dan mayanya tidak ramai?

Jika anda kata ya, perhatikan sebagai contoh keputusan dalam PRU 13 yang lepas di Parlimen Bachok dan Parlimen Ketereh di Kelantan. Keputusannya adalah seperti berikut:

P025 Bachok
Awang Adek Hussin (BN): 35,218
Ahmad Marzuk Shaary (Pas): 35, 419
Pas menang, majoriti: 201

P026 Ketereh
Annuar Musa (BN): 26,912
Ab. Aziz Ab. Kadir (PKR): 25,938
BN Menang, Majoriti: 974

Hakikatnya, PAS menang di Bachok dan BN menang di Ketereh dengan majoriti di bawah 1000. Lihat jumlah pengundi kedua-dua parti di kedua-dua parlimen tersebut. Ia hampir sama banyak. Ini sebagai contoh dan tidak dinafikan dalam PRU ke 13 yang lepas, terkadang BN atau Pakatan Rakyat menang majoriti hingga berpuluh ribu.

Tapi adakah pihak lawan yang kalah itu langsung tidak mendapat undi atau hilang wang pertaruhan? Tidak! Mereka tetap mendapat undi (malah calon bebas pun tetap mendapat undi tetapi hilang wang pertaruhan).

Penyokong Gagasan Sejahtera (PAS) dan Pakatan Harapan (PKR, AMANAH & DAP) yang ingin menang dalam pilihanraya umum ke 14 ini jangan asyik dibuai dengan survey media sosial.

Minda Undi (1)

Semua parti politik (pendokong dan penyokong) di Malaysia sama ada yang lama atau yang baru mengamalkan budaya aneh dan pelik. Apa yang anehnya? Apa yang peliknya?

Mereka suka kondem parti lain. Apa saja parti lawan buat, ada saja yang tak kena. Mereka menunggu2 bola tanggung untuk smash atau merejam, biar parti lawan terduduk.

Mereka lupa kewajaran dan awlawiyyat yang lebih utama iaitu menonjolkan kelebihan dan keupayaan parti mereka sendiri. Bukan kata tiada, tetapi nisbahnya terlalu sedikit. Tidak seronok barangkali bercerita tentang kewangian diri sendiri. Yang seronok ialah bercerita tentang "hapak" orang.

Saya pernah menyebut dulu, dalam pertandingan debat, markah tinggi datangnya daripada hujah dan point2 yang dikemukakan pendebat. Markah bidasan walaupun diambil kira tetapi kalau team pendebat hanya membidas hujah pihak lawan sahaja tanpa ada hujah sendiri, mereka akan kalah.

Namun sayang, parti politik bukan team pendebat. Apakan daya mereka lebih suka membidas pihak lawan.

Saya fikir trend ini akan berterusan sebegini sepanjang musim kempen ini. Malah beginilah sampai bila2 agaknya.

Oh parti politik.

Aku dan Usrah

Aku mula ikut usrah bila di Ma'hadul Azhar. Tak tahu pun usrah tu apa. Mudir aku Us. Yusuf Uthman atau kadang2 Us. Soid Mad Amin membawa aku dan rakan ke usrah Abim. Yang aku tahu bila pi usrah tu, duduk dalam bulatan sambil seorang dua "berceramah" dan yang lain mendengar. Kerap juga aku lena diulit usrah kerana mengantuk.

Bila aku ke al-Azhar, aku mengikuti usrah jemaah sebagai amilin. Dalam usrah tu, kami ditarbiah agar menjaga waktu, menjaga kerahsiaan dan lain2. Kami dibimbing oleh naqib yang walaupun mereka satu batch dengan kami, tapi kami menghormati mereka sebagai naqib.

Apa yang kami usrahkan? Disamping menjaga waktu, kami berbincang tentang fiqh, tafsir, hadis, tarbiah dan tidak lupa isu2 semasa. Usrah kami TIDAK PERNAH memaki hamun orang/pihak lain (walaupun aku baca tulisan beberapa anak usrah jemaah yang usrah mereka tidak patuh syariah). Kami berusrah untuk memahami Islam terlebih dahulu di samping mengenali jemaah.

Apa yang aku kagum ialah uslub yang difikirkan oleh nuqaba untuk menyampaikan mesej usrah kepada sahabat yang hoha. Mereka bukan amilin, jadi mereka tidak akan datang usrah. Jadi apa yang kami lakukan ialah membawa usrah kepada mereka. Bagaimana kami buat?

Berusrah ketika main bola. Kami sampaikan mesej kebaikan sebelum start main bola. Yang paling bagusnya ialah sebelum main bola, seorang dua (yang bukan ahli usrah) diminta untuk beri nasihat aka tazkirah kepada semua yang hadir. Alhamdulillah kaedah ini berjaya. Kami tidak namakan usrah ketika itu tapi mesej usrah sampai kepada yang bukan ahli usrah.

Satu lagi manfaat usrah yang memberi kesan baik pada aku ialah kemahiran bercakap. Pernah aku cerita yang aku ni tidak petah bercakap. Melalui usrah, di mana kami diberi tugasan oleh naqib untuk mensyarahkan silibus tertentu, ia sedikit sebanyak melatih kemahiran bercakap aku.

Usrah kami usrah Sakinah dan Hasanah yang menenangkan jiwa. Kami menghormati antara satu sama lain, memberi teguran antara satu sama lain.

Daripada anak usrah sekian lama, aku menjadi naqib dan seterusnya naqib nuqaba'. Antara anak usrah aku ialah Us. Ahmad Dasuki Abdul Rani (entahlah dia masih ingat aku atau tidak kerana seingat aku hanya sempat dua kali aku kendalikan usrah bersamanya).

Jika ada yang mengatakan usrah sebagai medan merosakkan fikrah individu, bagi aku ia keterlaluan. Boleh jadi usrah yang diikutinya penuh dengan maki hamun atau kebencian, tapi untuk digeneralisasikan semua usrah begitu, ia amat tidak adil.

Bukan salah usrah! Ia jelas masalah individu usrah sama ada naqibnya atau anak buahnya. Ibarat termakan mempelam yang buruk, terus dikatakan semua mempelam adalah buruk dan jangan dimakan semua mempelam.

Alhamdulillah aku bersyukur, kerana usrahlah aku menjadi "manusia". Aku bersama jemaah dan ahli yang mentarbiahku. Jika tidak, aku mungkin adalah syaitanirrajim.

Seminar Fatwa, Pengajian, Pendidikan dan Inovasi Islam Antarabangsa (SeFPIA) 2018

Panggilan Kerta Kerja
Seminar Fatwa, Pengajian, Pendidikan dan Inovasi Islam Antarabangsa (SeFPIA) 2018

Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berbesar hati menjemput ahli akademik serta pelajar siswazah untuk membentangkan kertas kerja dalam “Seminar Fatwa, Pengajian, Pendidikan dan Inovasi Islam Antarabangsa (SeFPIA) 2018” yang akan berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tarikh-Tarikh Penting
Tarikh akhir penghantaran abstrak : 30 Mei 2018
Tarikh akhir pemakluman penerimaan abstrak : 5 Jun 2018
Tarikh akhir penghantaran kertas kerja penuh : 30 Jun 2018
Tarikh akhir pembayaran yuran : 15 Ogos 2018
Tarikh seminar : 28-29 Ogos 2018

Tema Pembentangan
- Fatwa.
- Pengajian Islam.
- Pendidikan Islam.
- Inovasi Islam.

Yuran Seminar
Pembentang Luar RM 600.00
Pembentang USIM RM 500.00
Pembentang Pascasiswazah RM 300.00
Peserta Individu RM 100.00
Peserta Institusi RM 200.00
Yuran merangkumi makan/minum, beg seminar dan penerbitan kertas kerja dalam jurnal berwasit.

Penerbitan Kertas Kerja Seminar
Semua kertas kerja yang diterima untuk dibentangkan dalam SeFPIA 2018 akan diterbitkan dalam salah satu jurnal berwasit berikut (mengikut tema kertas kerja):
1. Journal of Fatwa Management and Research (INFAD, USIM)
http://jfatwa.usim.edu.my/
2. Journal of Ulum Islamiyyah (USIM)
http://uijournal.usim.edu.my
3. Journal of Hadith Studies (FPQS, USIM)
http://journalofhadith.com
4. Journal of al-Abaqari (FKP, USIM)
http://abqarijournal.usim.edu.my
5. The Journal of Muamalat and Islamic Finance Research (JMIFR) (FEM, USIM)
http://jmifr.usim.edu.my
6. Journal of Ma'alim Al-Quran Wa Al-Sunnah (FPQS, USIM)
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/MAALIM
7. Journal of Sains Insani (PPT, USIM)
http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jsi

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web berikut:

MAKNYAH: HUKUM ATAU DAKWAH?


















ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage