Bismillahirrahmannirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu, saya mewakili seluruh barisan kepimpinan Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) ingin mengucapkan Selamat Hari Akademia 2026 kepada seluruh warga dan ahli akademik di seluruh universiti dan institusi pendidikan tinggi di Malaysia. Hari ini, 5 Oktober, adalah hari khas bagi meraikan pengorbanan, iltizam, dan sumbangan luar biasa para ilmuwan yang tidak pernah jemu mencurah bakti dalam memperkasa minda bangsa dan membina tamadun ilmu.
Dunia akademia bukan sekadar kerjaya, melainkan satu amanah dan risalah perjuangan yang sangat mulia. Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada semua warga akademik untuk terus bersemangat menyalakan obor ilmu, menghasilkan penyelidikan berkualiti, serta menyumbang kepakaran demi kemajuan dan kebajikan agama, bangsa, dan negara. Setiap lembaran ilmu dan bimbingan yang ditinggalkan hari ini bakal menjadi landasan kukuh buat generasi pewaris masa hadapan dan menjadi legasi warisan ilmu buat generasi mendatang.
Dalam keghairahan kita mengejar kecemerlangan, penarafan dan pencapaian penyelidikan, ingin MAAC tegaskan bahawa integriti akademik adalah teras utama yang perlu dipelihara pada setiap masa. Etika, ketelusan dan kejujuran ilmiah tidak boleh dikompromi sama sekali. Warga akademik mestilah sentiasa menjadi penanda aras akhlak dan tempat rujukan intelek yang dipercayai oleh masyarakat serta negara.
Pemilihan tema Hari Akademia 2026, “Sinergi Ilmu, Teknologi dan Inovasi Dalam Akademia”, amat bertepatan dengan keperluan lanskap pendidikan tinggi yang semakin dinamik dan berasaskan era digital. Sinergi ini menegaskan bahawa ilmu kekal sebagai asas kebenaran ilmiah, manakala teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan pengkomputeran berasaskan data bertindak sebagai pemangkin untuk mempercepat serta memperluas capaian pembelajaran, penyelidikan dan lain-lain. Seterusnya, integrasi ilmu dan teknologi ini menterjemahkan inovasi berimpak tinggi yang mampu memberikan penyelesaian konkrit kepada pelbagai isu semasa industri mahupun masyarakat.
Sehubungan dengan itu, tema ini menuntut seluruh warga akademik untuk keluar daripada kepompong tradisi dan memanfaatkan alatan teknologi moden secara berasas dan bijaksana. Integrasi mantap antara ilmu, teknologi dan inovasi bukan sahaja memperkasakan kualiti penyelidikan serta pengajaran di universiti, malah memastikan institusi pendidikan tinggi negara kekal relevan, berdaya saing di peringkat kebangsaan dan global serta terus memacu pembangunan sosioekonomi negara secara mampan.
Sempena hari yang penuh bermakna ini, MAAC ingin menumpukan harapan tinggi kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi (YBM KPT), pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), serta Kepimpinan Pengurusan Tertinggi Universiti-Universiti. MAAC amat berharap agar hubungan rakan strategik yang harmonis, erat dan inklusif antara pihak kementerian/pihak pengurusan universiti bersama persatuan-persatuan akademik dapat terus disuburkan.
Di samping itu, keutamaan dan perhatian berterusan terhadap kebajikan, skim perkhidmatan, kemudahan kerja, serta kesejahteraan emosi dan mental warga akademik hendaklah sentiasa dipelihara. Ahli akademik yang terbela dan sejahtera adalah tunjang kepada kejayaan sesebuah universiti dan sistem pendidikan tinggi negara.
Akhir kata, terima kasih atas segala jasa, keringat, dan dedikasi yang telah dicurahkan oleh para pensyarah, penyelidik dan para ilmuwan sekalian. Teruskan melangkah dengan penuh yakin dan berdedikasi.
Selamat Hari Akademia 2026! “Sinergi Ilmu, Teknologi dan Inovasi Dalam Akademia”
Mendidik Bangsa, Membina Negara, Menjunjung Integriti.
Sekian.
Wabillahi Taufiq Wa al-hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Prof. Dr. Irwan bin Mohd Subri
Presiden MAAC 2026-2028
Jom jadi ahli MAAC:
https://forms.cloud.microsoft/pages/responsepage.aspx?id=Vut-Z9_ydUaeDMzWAKkVgO_AFwmeRxhOvlVb86VI5WlUMjhDQ0VPRldSVEU2RlFCOFJVNFg5MlRNRS4u
Tiada ulasan
Catat Ulasan