04 Ogos 2018

SOAL JAWAB HUKUM BERSAMA PENDUDUK ISLAM COCOS (KEELING) ISLAND, AUSTRALIA (SIRI 1)

SOALAN:
Solat Jumaat Di Pulau Cocos Dengan Berapa Jumlah Bilangan Makmum?
JAWAPAN:
Kewajipan menunaikan solat Jumaat adalah berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya, "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)" (al-Quran. Surah Al-Jumu'ah: 9).
Rasulullah SAW juga bersabda:
{الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً: عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ}
Maksudnya, "Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak atau orang yang sakit" (Riwayat Abu Dawud).
Mengikut mazhab Syafie, syarat wajib solat Jumaat adalah seperti berikut:
1. Islam.
2. Baligh.
3. Berakal.
4. Merdeka.
5. Lelaki.
6. Sihat.
7. Bermastautin atau bermukim (Rujukan: Kitab Matn Abi Shuja' al-Musamma Bi al-Ghayah Wa al-Taqrib).
Manakala syarat sah solat Jumaat mengikut mazhab Syafie adalah seperti berikut:
1. Didirikan dalam waktu Zuhur.
2. Tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu tempat yang telah ditetapkan seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.
3. Tidak dilakukan dua jumaat dalam satu kariah kecuali tempat itu besar dan sukar berkumpul di satu tempat.
4. Mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang yang tinggal tetap di kawasan itu.
5. Didahului dengan dua khutbah (Rujukan: Kitab Minhaj al-Talibin Wa Umdat al-Muftin Fi al-Fiqh & Mughniyy al-Muhtaj Ila Ma'rifat Ma'ani Alfaz al-Minhaj).
Solat Jumaat Di Cocos (Keeling) Island
Berdasarkan keadaan di Cocos (Keeling) Island, Australia, solat Jumaat diadakan di dua tempat iaitu di Home Island dan Main Island. Solat Jumaat di Home Island tidak menimbulkan masalah dari segi bilangan jemaah kerana jumlah yang ramai yang dapat hadir solat Jumaat tersebut.
Manakala solat Jumaat di Main Island dihadiri lebih kurang 40 orang yang bekerja di situ. Yang menimbulkan sedikit persoalan ialah jumlah ini boleh jadi mencukupi bilangan 40 orang yang disyaratkan mengikut mazhab Syafie dan boleh jadi tidak mencukupi sekiranya ada antara mereka yang bercuti atau sakit atau lain-lain faktor.
Oleh itu, sekiranya bilangan jemaah tidak mencukupi 40 orang di Main Island atas apa faktor sekalipun, solat Jumaat boleh didirikan dengan jemaah yang kurang daripada 40 orang dengan mengambil pendapat mazhab Maliki iaitu sekurang-kurangnya 12 orang termasuk imam (rujukan: Kitab al-Taj Wa al-Iklil Li Mukhtasar Khalil) atau berdasarkan pendapat mazhab Hanafi iaitu sekurang-kurangnya 4 orang termasuk imam (Rujukan: Kitab Tabyin al-Haqa’iq Sharh Kanz al-Daqa’iq & al-Inayah Sharh al-Hidayah).
Dalam hal ini, mendirikan solat Jumaat di Main Island, Cocos (Keeling) Island, Australia walaupun tidak cukup bilangan jemaah 40 orang (mengikut mazhab Syafie) adalah dibolehkan supaya lelaki muslim di situ dapat mendengar pesanan-pesanan agama melalui khutbah Jumaat.
Wallahu a'lam bi al-sawab.
RUJUKAN:
Abu Shuja', Shihab al-Din Ahmad bin al-Husayn bin Ahmad. Matn Abi Shuja' al-Musamma Bi al-Ghayah Wa al-Taqrib. T.tp: Alam al-Kutub.
Al-Babartiyy, Akmal al-Din Muhammad bin Muhammad bin Mahmud. T.th. al-Inayah Sharh al-Hidayah. T.tp: Dar al-Fikr.
Al-Mawwaq, Abu Abdillah Muhammad bin Yusuf bin Abi al-Qasim bin Yusuf. 1994. al-Taj Wa al-Iklil Li Mukhtasar Khalil. T.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Nawawiyy, Abu Zakariyya Muhy al-Din Yahya bin Sharaf. 2005. Minhaj al-Talibin Wa Umdat al-Muftin Fi al-Fiqh. T.tp: Dar al-Fikr.
Al-Sharbiniyy, Shams al-Din Muhammad bin Ahmad al-Khatib. 1994. Mughniyy al-Muhtaj Ila Ma'rifat Ma'ani Alfaz al-Minhaj. T.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Al-Zayla'iyy, Fakhr al-Din Uthman bin Aliyy bin Mahjin al-Bari'iyy. 1313H. Tabyin al-Haqa’iq Sharh Kanz al-Daqa’iq. Al-Qahirah: al-Matba'at al-Kubra al-Amiriyyah
DISEDIAKAN OLEH:
Prof. Madya Dr. Irwan bin Mohd Subri
Pengarah,
Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Nota Penting:
Tulisan ini adalah pandangan hukum awal Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada penduduk Islam Cocos (Keeling) Island, Australia dan bukanlah fatwa rasmi. Pandangan hukum ini diberikan berdasarkan suasana dan keadaan serta pengalaman penulis di Cocos (Keeling) Island, Australia.

Hifz al-Din Adalah Menjaga Semua Agama? (Bahagian 3)

Bacalah dengan hati yang tenang....

Saya tidak mahu panjangkan ulasan lagi isu ini, cuma saya minta anda baca artikel berikut yang bertajuk
مقصد حفظ الدين رؤية مقاصدية معاصرة yang ditulis oleh Husam al-Isawi Ibrahim seorang graduan dari Universiti al-Azhar. Artikel yang cukup panjang lebar menjelaskan tentang maqasid penjagaan agama.

Ada 1 point beliau yang hampir sama dengan pandangan Dr. M ketika beliau menjelaskan tentang wasilah (cara) penjagaan agama menurut pandangan maqasid kontemporari.

Point yang disebut oleh Husam sebagai wasilah menjaga agama ialah menghidupkan sesi dialog antara agama. Bagi beliau dialog sebegitu dapat menjaga "agama-agama samawi" dalam mewujudkan satu kesepakatan dalam khidmat insani dan menjauhkan peperangan, keganasan dan kemusnahan kerana jauh daripada panduan samawi.

Kedengaran pointnya sama sepeti Dr. M sebut, namun jika dibaca keseluruhan artikel ini (baca daripada awal hingga habis), Husam hanya meletakkan point tersebut dalam wasilah sahaja bukannya dalam maqasid.

Jangan ambil point yang saya sebut kesimpulannya itu sahaja, tapi wajib baca keseluruhan artikel beliau. Moga ada ilmu baharu yang kita dapat.

Boleh baca artikel beliau di link berikut:

15 Julai 2018

Hifz al-Din Adalah Menjaga Semua Agama? (Bahagian 2)


Bacalah dengan hati yang tenang....

Perkara yang menarik perhatian perbincangan ramai asatizah apabila Dr. M membawa tafsiran baharu kepada maksud hifz al-din. Katanya, ia bermaksud menjaga "semua" agama dan bukan menjaga Islam sahaja, maka itulah sisi rahmatan lil alamin. Dalam posting FB beliau selepas itu, beliau ada menjustifikasikan kenyataannya itu terutama maksud penggunaan alif lam (ال) dalam bahasa arab.

Berikut ialah tulisan beliau: "Ada yang berhujahkan pengunaan ال sebagai makna ditakrifkan khusus perkataan Ad din الدين dengan makna hanya agama Islam. Bagaimana pula ال dalam Al Mal, Al Nafs, Al Aql dan Al i'rd, adakah kesemua itu hanya untuk menjaga harta orang Islam, akal orang Islam ataukah hanya jiwa orang Islam kerana maslahat paling atas hanya untuk jaga agama Islam sahaja? Ini pastinya tidak konsisten dengan prinsip Insaniah yang dijamin oleh Islam" (Mujahid Yusof Rawa, 14 Julai 2018).

Sesiapa yang belajar ilmu bahasa arab, pasti tahu alif lam (ال) ada peranan tertentu dalam sesuatu perkataan. Ia bukan saja-saja kita nak guna atau tidak. Perkataan yang ada alif lam (ال) boleh membawa maksud lain berbanding perkataan yang sama yang tidak mempunyai alif lam (ال). Secara ringkasnya peranan alif lam (ال) dalam bahasa arab boleh dikategorikan kepada:
1. Alif lam (ال) li al-'ahd (menjelaskan masa).
2. Alif lam (ال) li al-jins (menjelaskan hakikat sesuatu).
3. Alif lam (ال) li al-istighraq (mencangkupi semua perkara yang sesuai masuk di bawah perkataan tersebut).
(Nota: pembahagian alif lam (ال) berbeza antara pakar bahasa arab, ada yang mengkategorikan 2 bahagian dan ada yang mengkategorikannya kepada 3 bahagian).

Bagaimanakah dan siapakah yang akan menentukan maksud sebenar alif lam (ال) yang digunakan oleh seseorang penutur atau penulis. Pada asasnya, maksud alif lam (ال) boleh difahami sama ada melalui penjelasan oleh si penutur/penulis atau melalui konteks ayat yang digunakan. Jadi penggunaan alif lam (ال) agak unik kerana ia boleh berubah peranan atau maksudnya dan ia tidak statik dalam semua keadaan dengan satu maksud sahaja.

Apabila Dr. M cuba menjustifikasikan maksud hifz al-Din ialah menjaga semua agama dengan beralasankan atau berhujahkan penggunaan alif lam (ال) dalam al-'aql, al-nasal, al-nafs dan al-mal, jelas beliau terkhilaf dalam memahami fungsi alif lam (ال).

Sebagai contoh, apabila Allah berfirman dalam al-Quran: (وأقيموا الصلاة) (surah al-Baqarah, ayat 43), adakah difahami bahawa Allah memerintahkan umat Islam untuk menunaikan semua solat atau sembahyang semua agama? Jika digunakan justifikasi Dr. M, maka kita sepatutnya berkata ya. Kerana apa? Kerana adanya alim lam (ال) dalam perkataan الصلاة. Namun hakikatnya bukan itu maksudnya. Solat dalam arahan tersebut ialah solat orang Islam dan bukannya semua jenis solat dalam semua agama yang ada di dunia ini.

Alif lam (ال) dalam ayat 43 surah al-Baqarah itu bukan bermaksud alif lam (ال) li al-istighraq dalam erti kata semua jenis solat agama yang ada. Kalau kita beranggapan bahawa alif lam (ال) dalam ayat tersebut adalah alif lam (ال) li al-istighraq dalam erti kata semua solat fardu, ia masih boleh diterima. Ini yang dijelaskan oleh imam al-Baghawi dalam tafsirnya tentang ayat tersebut:
 {وأقيموا الصلاة} يعني الصلوات الخمس بمواقيتها وحدودها

Apabila Dr. M mentafsirkan hifz al-din dengan maksud menjaga "semua" agama kerana adanya alif lam (ال) dalam perkataan "al-din", maka ia amat janggal. Alif lam (ال) dalam perkataan hifz al-din memang boleh ditafsirkan dengan alif lam (ال) li al-istighraq. Dalam perbahasan lafaz al-'am ilmu Usul Fiqh, antara indikator asas sesuatu lafaz itu bermaksud 'am ((mencangkupi SEMUA perkara yang sesuai masuk di bawah perkataan tersebut) ialah lafaz mufrad (singular) yang ada alif lam (ال). Contohnya surah al-'asr ayat 2 (إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ). Ayat ini bermaksud SEMUA manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan beramal salih. Namun tidak semua perkataan mufrad yang ada alif lam (ال) akan bermaksud 'am (rujuk perbahasan 'am dan khas dalam ilmu usul fiqh untuk maklumat lanjut).

Kenapa saya kata kata tafsiran Dr. M janggal. Ini kerana dalam perbahasan maqasid syariah, hifz al-din bermaksud menjaga "agama Islam" dan bukannya "semua agama". Dr. M perlu bezakan antara perbahasan maqasid syariah dan perlembagaan persekutuan Malaysia. Perbahasan maqasid syariah perlu dibincangkan mengikut displin ilmu syariah dan jika dilihat nas-nas Syarak, tafsiran al-din bermaksud agama Islam dan bukannya semua agama. Allah berfirman dalam surah Al Imran ayat 19 (إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ). Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini berkata:
وقوله : ( إن الدين عند الله الإسلام ) إخبار من الله تعالى بأنه لا دين عنده يقبله من أحد سوى الإسلام ، وهو اتباع الرسل فيما بعثهم الله به في كل حين ، حتى ختموا بمحمد صلى الله عليه وسلم ، الذي سد جميع الطرق إليه إلا من جهة محمد صلى الله عليه وسلم ، فمن لقي الله بعد بعثته محمدا صلى الله عليه وسلم بدين على غير شريعته ، فليس بمتقبل .

Jika hifz al-din dibincangkan dari kaca mata perlembagaan persekutuan, mungkin bolehlah dikatakan bahawa fungsi kerajaan ialah menjaga "semua" agama yang ada di negara ini. Perlembagaan persekutuan (Kebebasan beragama) perkara 11 memperuntukkan:
(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

Namun, walaupun perbahasan maqasid syariah mengatakan bahawa hifz al-din ialah menjaga agama Islam, tidak terdapat satu nas Syarak pun yang mengatakan bahawa agama lain perlu dihancurkan, diperangi dan tidak dihormati. Kalau Dr. M inginkan penganut agama lain dihormati hak mereka dan sebagainya, ia memang telah ditekankan oleh Nabi Muhammad SAW sejak Islam diturunkan pun. Banyak nas al-Quran dan hadis yang meminta umat Islam menghormati dan memberikan hak termasuk kepada orang bukan Islam. Antaranya firman Allah surah al-An'am ayat 108 (وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ). Ini adalah perbahasan lain bukannya perbahasan maqasid syariah walaupun tidak dinafikan bahawa ia ada kaitan dengannya.

Kesimpulannya, penggunaan alif lam (ال) memang mempunyai pelbagai maksud dalam konteks yang berbeza. Namun dalam perbahasan maqasid syariah, hifz al-din adalah penjagaan agama Islam dan bukannya semua agama. Penganut agama lain boleh meminta pakar agama mereka agar membuat maqasid agama mereka sendiri. Peranan kita sebagai kerajaan untuk menjaga semua rakyat berbilang agama adalah isu dan perbahasan yang lain.

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage