01 Februari 2014

PELAJAR BIDANG SYARIAH DI IPT PERLUKAN KEMAHIRAN

Pengajian Syariah merupakan salah satu cabang bidang pengajian Islam yang terdapat di Institusi Pengajian Tinggi Negara. Di negara kita terdapat beberapa universiti yang mempunyai fakulti atau jabatan Syariah/Fiqh dan Usul seperti UKM, UM, UIAM, USIM dan UDM. Ini bererti pihak kerajaan memberi ruang kepada pengajian Islam umumnya dan pengajian Syariah khususnya untuk dipelajari oleh mereka yang berminat memilih bidang ini. 

Memandangkan pengajian Syariah ini mempunyai kaitan yang amat rapat dengan hukum hakam Islam, maka ia perlu diambil berat oleh mereka yang terlibat dalam bidang ini. Ini untuk memastikan legasi ulung para mujtahid mazhab-mazhab fiqh tidak hanya tinggal dalam lipatan sejarah tetapi dilestarikan secara berterusan. Ini bererti perlu ada usaha untuk meningkatkan kemahiran dan nilai tambah para pelajar dalam bidang pengajian ini. 

Kebiasaannya pembelajaran dan pengajaran subjek Syariah di semua institusi pengajian Islam berbentuk sehala iaitu guru mengajar dan pelajar mendengar. Cara ini dilihat kurang efektif untuk menghasilkan generasi pelapis mujtahid kerana tiada komunikasi aktif sama ada antara guru dan pelajar ataupun antara pelajar sesama mereka. Kekurangan sistem pembelajaran dan pengajaran seperti ini seolah-olah melahirkan pelajar yang pasif dalam dan luar kelas. 

Malah terkadang pelajar yang mengambil jurusan Syariah tidak tahu untuk apa mereka memilih bidang ini dan tidak berminat dengannya. Lebih teruk lagi mereka tidak tahu apakah fungsi subjek-subjek yang mereka belajar dalam pengajian Syariah seperti subjek Usul Fiqh, Fiqh, Kaedah Fiqh, Siyasah Syariyyah dan lain-lain. Sedangkan untuk menjadi mujtahid yang diiktiraf, mereka hendaklah mengetahui, memahami dan mampu mengaplikasi teori-teori yang dipelajari menerusi subjek-subjek tersebut. 

Maka perlu ada satu mekanisme untuk meningkatkan minat dan kemahiran para pelajar pengajian Syariah di Malaysia. Rentetan daripada itu, untuk meningkatkan keupayaan dan profesionalisme para pelajar pengajian bidang ini, adalah dicadangkan satu subjek "Mut Ijtihad" diperkenalkan kepada semua pelajar yang mengambil jurusan ini. 

Subjek "Mut Ijtihad" adalah adaptasi daripada subjek "Mahkamah Mut" dalam pengajian undang-undang. Dalam pengajian bidang undang-undang, terdapat satu subjek yang perlu diikuti oleh para pelajar iaitu "Mahkamah Mut" ( Moot Court ). Dalam subjek ini para pelajar akan melakonkan sesuatu perbicaraan olok-olok seolah-olah mereka berada dalam perbicaraan mahkamah sebenar. Pembelajaran subjek ini juga diadakan dalam bilik yang diubahsuai seperti keadaan dalam kamar mahkamah sebenar. 

Mahkamah Mut adalah perbicaraan olok-olok yang berkaitan dengan pemakaian akta dan enakmen sama ada Mahkamah Mut sivil atau Syariah terhadap isu-isu tertentu. Manakala Mut Ijtihad pula adalah “perbicaraan” dan perbincangan isu yang berkaitan dengan pemakaian dalil-dalil, ijmak, qiyas, pendapat ulama dan sebagainya sama ada dalam satu mazhab fiqh atau pun dalam beberapa mazhab berasaskan Fiqh al-Muqaran (fiqh perbandingan). Begitu juga ia meliputi isu-isu yang bersandarkan kepada nas-nas al-Quran dan sunnah ataupun isu-isu baru serta semasa yang ketiadaan dalil. 

Jika subjek “Mahkamah Mut” membantu para pelajar undang-undang berlatih dan mengalami pengalaman “perbicaraan”, maka begitulah juga “Mut Ijtihad” juga bertujuan melatih pelajar pengajian Syariah di IPT supaya mahir berijtihad dalam memahami nas-nas al-Quran dan Sunnah. Seterusnya ia dapat membantu keupayaan dan kebolehan para pelajar Syariah dalam membina hukum terutamanya terhadap isu-isu baru yang ketiadaan dalil yang timbul pada setiap zaman. 

Dengan adanya subjek “Mut Ijtihad” ia dapat membantu pelajar dalam bidang Syariah secara teori dan praktikalnya supaya mahir dalam pengajian Syariah. Subjek Mut Ijtihad tidak hanya meliputi satu subjek seperti Usul Fiqh sahaja, bahkan ia boleh meliputi semua subjek-subjek lain yang terdapat dalam pengajian Syariah. Ia mungkin sesuai dilaksanakan di tahun akhir pengajian setelah pelajar mempelajari dan mengetahui asas-asas subjek yang disebutkan sebelum ini. 

Ia bukanlah adaptasi sepenuhnya daripada subjek Mahkamah Mut tetapi hanya mengambil konsep subjek tersebut. Subjek Mut Ijtihad bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk berijtihad seolah-olah mereka adalah mujtahid yang mewakili mazhab-mazhab fiqh. Ia juga melatih mereka supaya mampu mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam kehidupan sebenar atau dalam alam pekerjaan sama seperti pelajar bidang undang-undang mengaplikasikan pengalaman perbicaran “Mahkamah Mut” dalam perbicaraan sebenar dalam mahkamah bila mereka berkerja nanti. 

Ini adalah lontaran idea awal dan UF membuka ruang seluas-luasnya untuk sebarang komentar dan perbincangan untuk memantapkan kemahiran pelajar pengajian Syariah di IPT Malaysia. Cadangan ini tidak bererti bahawa ia adalah satu-satunya cara untuk meningkatkan kemahiran pelajar pengajian Syariah, bahkan ia adalah salah satu cadangan ke arah itu.

22 Januari 2014

Khutbah Interaftif

Jumaat lepas 17hb UF berkhutbah Jumaat di USIM. Peringkat mula dulu 2-3 kali bila khutbah jumaat, UF akan buat teks dan baca. Ia ambil masa unutk mengarang teks khutbah sendiri. Lepas tu, UF cuba unutk berkhutbah tanpa teks. Ia cabaran yang besar, sebab khutbah Jumaat tak sama macam mengajar kuliah Maghrib.

Intisari khutbah yang disampaikan oleh UF minggu lepas ialah “seni berkhutbah” oleh khatib. Mungkin kita biasa tengok di Malaysia khususnya, para khatib hanya “membaca” teks yang disediakan oleh jabatan agama. Hanya segelintir yang “berkhutbah” tanpa teks, maksudnya spontanlah.

UF membawa kisah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Seorang lelaki badwi masuk ke masjid ketika Nabi SAW sedang berkhutbah. Lelaki tersebut berinteraksi dengan Nabi dan memberitahu kampungnya binasa akibat kemarau panjang. Lalu Nabi berdoa ketika itu supaya Allah turunkan hujan ke atas kampung tersebut.

Minggu berikutnya, lelaki tersebut datang lagi juga ketika Nabi SAW sedang berkhutbah dan sekali lagi berinteraksi dengan baginda. Beliau memberitahu kampungnya musnah akibat banjir besar. Lalu Rasulullah SAW berdoa supaya Allah alihkan hujan lebat daripada kampung tersebut.

Point yang UF cuba bawa di sini ialah Rasulullah berinteraksi dengan lelaki tersebut ketika baginda sedang berkhutbah. Rasulullah membenarkan lelaki tersebut mengutarakan masalah yang dihadapinya. Nah, persoalan yang UF lontarkan kepada sidang Jumaat yang hadir hari itu, bolehkah kita zaman sekarang buat benda yang sama?

Untuk mengelakkan kebosanan jemaah atau kemengantukkan mereka, kita cadangkan supaya khutbah jumaat diadakan dalam bentuk sesi soal jawab antara jemaah dan khatib, kira ala-ala gaya Us. Azhar Idrus. Yang lain kita ikut syarat dan rukun, cuma isi khutbah dalam bentuk Q & A.

Apa-apa pun UIF kata, kena mohon kelulusan pihak berkuasa agama dahulu lah. Kalau tidak mungkin akan menimbulkan sedikit masalah di kalangan masyarakat. Cadangan ini sudah pasti ada pro dan kontra.

Fikir-fikirkan….

15 Januari 2014

Bila Lama Menyepi

Entahlah kenapa begitu lama tidak bernafsu langsung untuk update blog ni. Cuba semula untuk menulis.

Sebagai permulaan semula, UF nak berkongsi slide Power Point yang bertajuk “Bagaimana Menjadi Perunding Syariah?” Modul ini dibentangkan dalam program Transformasi Kerjaya Syariah dan Undang-Undang, Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

UF sekadar berkongsi pengalaman yang tak seberapa dengan para pelajar terutama pelajar Syariah. Boleh di “share” atau dikomen.

Bagaimana Menjadi Perunding Syariah?

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage