28 November 2008

DIMASHQU (2)

Aku mula mencari maklumat universiti-universiti yang terletak di Timur Tengah. Aku melayari laman web semua universiti-universiti negara Arab. Aku ingin mencari pengajian Ph.D secara penulisan tesis sahaja tanpa kerja kursus, tapi aku inginkan universiti yang tidak ramai pelajar Malaysia di situ. Akhirnya di hadapanku ada tiga negara yang menjadi pilihan.

Pertama Universiti Kaherah, Mesir, kedua Universiti Damascus, Syria dan yang terakhir ialah universiti-universiti di Maghribi. Namun Universiti Kaherah adalah pilihan terakhir kerana aku pernah belajar di Mesir selama empat tahun. Selepas tamat pengajian aku masih tinggal di Mesir dua tahun lagi. Jadi bererti sudah enam tahun aku hidup di Mesir, maka aku perlu mencari angin baru.

Yang tinggal ialah Syria atau Maghribi. Maklumat tentang Universiti Damascus, Syria tidak banyak di ketahui. Selain daripada maklumat dalam laman web universiti yang menyatakan bahawa Fakulti Syariah ditubuhkan pada tahun 1954 dan ia menawarkan ijazah hingga peringkat Ph.D, maklumat-maklumat lain tiada. Melalui kawan-kawan dan pelajar-pelajar Malaysia yang pernah ke Syria, tiada pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di Universiti Damascus pada peringkat Master atau Ph.D. Yang ada hanyalah pelajar ijazah pertama, itupun bilangannya sekitar lima atau enam orang sahaja. Di Syria, hanya Universiti Damascus sahaja yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Di Maghribi pula terdapat lebih kurang tiga belas universitinya diiktiraf oleh JPA. Terdapat dua orang pelajar lepasan universiti di Maghribi yang aku kenal. Yang pertama Rosli bin Mokhtar yang aku kenal semasa aku membuat Master di UKM dan seorang lagi Azhar Ibrahim bin Resedi, pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM. Melalui merekalah aku mendapat maklumat tentang universiti-universiti di Maghribi.


BERSAMBUNG...

23 November 2008

Ceramah Syeikh Wahbah al-Zuhaili

Habis seminar ISCOM anjuran FSU, USIM, Syeikh Wahbah al-Zuhaili meberikan 3 ceramah di USIM. Yang pertama pada 20 nov 2008 (pagi) kepada para pelajar (khususnya pelajar Fiqh & Fatwa FSU) dan pensyarah. Tajuknya "Nahwa Bina' al-Malakah al-Fiqhiyyah" dan ia berkisar tentang membina skil untuk berijtihad. Antara lain beliau menyentuh tentang kepentingan menguasai beberapa perkara yang lazimnya syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh Mujtahid seperti menguasai ilmu al-Quran dan Sunnah, menguasai Bahasa Arab, menguasai Usul Fiqh dan lain-lain. Satu perkara lain yang ditekankan oleh Syeikh Wahbah ialah jangan memberi fatwa sebelum berumur 40 tahun kerana 40 tahun ialah umur "matang" sama seperti umur Nabi menjadi Rasul.

Ceramah kedua pada 20 nov 2008 (petang) juga bertajuk "Kaifa Taktub al-Bahs al-Ilmi", ia adalah ceramah tertutup kepada para pensyarah tentang cara menulis satu kajian atau buku dalam ilmu pengajian Islam.

Ceramah ketiga pada 21 nov 2008 (pagi) pula bertajuk "al-Fatawa al-Shazzah Wa Mauqifuna Anha" yang dibentangkan dalam wacana ilmiah anjuran INFAD. Ia terbuka kepada umum dan dalam ceramah ini Syeikh Wahbah menyentuh mengenai beberapa fatwa pelik yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seseorang mufti, sama ada ia menyalahi nas qat'ie atau ia berdasarkan pendapat yang lemah dalam mazhab.

Banyak manfaat dari ketiga-tiga ceramah yang disampaikan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili dan Insya Allah kalau diberikan kesempatan oleh Allah, UF akan tulis (salin semula) ceramah tersebut dan diterbitkan dalam jurnal atau buku.

22 November 2008

DIMASHQU (1)

Aku pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Aku mula bertugas di USIM pada 13 April 2001 sebagai seorang tutor. Ketika itu aku telah selesai menulis tesis Master di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sedang menunggu viva tesis.

Aku antara tenaga akademik awal yang berkhidmat di USIM malah nombor staf aku agak istimewa iaitu S100. Alhamdulillah aku dinaikkan pangkat sebagai pensyarah setahun kemudian itu iaitu pada 1 April 2002 selepas aku mendapat ijazah Sarjana.

Setelah disahkan dalam jawatan pada 15 Oktober 2004, aku mula membuat perancangan untuk menyambung pengajianku ke peringkat Doktor Falsafah. Hasrat pertama aku ialah menyambung pengajian ke luar negara kerana memang ada peruntukan kerajaan untuk pensyarah universiti ke luar negara. Lagipun jauh perjalanan, luas pengalaman bak kata orang.

Pada mulanya teringin juga aku pergi ke UK untuk Ph.D, apatah lagi aku mendapat Sarjana Muda di Mesir dan Sarjana pula di Malaysia. Jadi hendak juga aku beralih angin ke Eropah pula. Tapi bila aku fikir semasak-masaknya, bidang pengkhususan aku sebenarnya terletak di Timur Tengah, aku nekad untuk menyambung pengajian Ph.D aku ke situ. Apatah lagi aku tidaklah fasih sangat berbahasa Inggeris, jadi hasrat ke UK ku pendam dalam hati.


BERSAMBUNG...

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage