September 2011


24 September 2011

Memperkasa Pengurusan Fatwa Online Di Malaysia

Kelmarin 23 Sep 2011 artikel tulisan UF keluar dalam Berita Harian. Ia sempena Karnival Transformasi Sistem Pengurusan Islam Di Malaysia anjuran Pejabat Penasihat Agama Perdan Menteri dengan kerjasama USIM, Berita Harian dan Tabung Haji. Ia akan diadakan pada 30 Sep hingga 2 Okt 2011 di PWTC.

Berikut adalah artikel (asal) yang diterbitkan itu:

Pengurusan Fatwa di Malaysia telah mengalami transformasi hari demi hari. Ia seiring dengan perkembangan teknologi dewasa ini. Di negara ini, setiap negeri mempunyai jawatankuasa fatwa masing-masing. Manakala di peringkat persekutuan pula terdapat satu jawatankuasa fatwa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan. Ini menjadikan jumlah jawatankuasa fatwa di Malaysia sebanyak lima belas.

Melihat kepada pengurusan fatwa negeri-negeri, boleh dikatakan semuanya mempunyai laman web rasmi Jabatan Mufti. Kebanyakan laman web Jabatan Mufti negeri-negeri bermula tahun 2000 ke atas seiring dengan penubuhan Jabatan Mufti itu sendiri. Ia disebabkan oleh pemisahan Jabatan Mufti daripada Majlis atau Jabatan Agama Islam negeri-negeri mulai penghujung tahun 90an.

Secara umumnya, laman web Jabatan Mufti negeri-negeri ini memaparkan maklumat-maklumat tertentu. Ia termasuklah bahagian-bahagian di Jabatan Mufti serta fungsinya, maklumat tentang mufti serta pegawai-pegawainya, aktiviti-aktiviti, fatwa-fatwa yang diputuskan oleh jawatankuasa fatwa negeri dan lain-lain.

Perkara ini sangat baik kerana masyarakat Islam dapat mengakses maklumat atau mendapat penjelasan tentang isu-isu tertentu daripada Jabatan Mufti. Ia juga menunjukkan, sebagai badan rasmi kerajaan, Jabatan Mufti juga tidak ketinggalan dari sudut teknologi maklumat.

Terdapat Jabatan Mufti negeri-negeri yang amat baik dalam pengurusan laman web. Ia dapat dilihat dari segi kecantikan dan keceriaan paparan web, pilihan warna yang sesuai, kekerapan mengemaskini maklumat dalam web, susunan menu yang menarik, maklumat yang banyak dan sebagainya.

Namun terdapat juga Jabatan Mufti negeri-negeri yang lemah dalam pengurusan laman web. Kelemahan ini dilihat dari segi laman web yang gagal dicapai, dalam penyelenggaraan berpanjangan, maklumat tidak dikemaskini dengan kerap, tidak cantik atau ceria, kurang maklumat dan sebagainya.

Baik dan lemah pengurusan laman web sesuatu Jabatan Mufti negeri akan mempengaruhi jumlah pengunjung sedikit sebanyak. Contohnya jika laman web sentiasa dikemas kini, pengunjung akan kembali mengunjungi laman web tersebut. Ini kerana mereka mengetahui akan mendapat maklumat baharu jika mereka mengunjungi semula laman web tersebut.

Sebaliknya, jika pengunjung beberapa kali melawati sesuatu laman web Jabatan Mufti dan maklumat tidak dikemaskini, maka mereka tidak akan melawati semula laman web itu. Ia sedikit sebanyak menjejaskan imej Jabatan Mufti negeri tersebut.

Sebagai cadangan, untuk memantapkan kandungan laman web, Jabatan Mufti negeri-negeri perlu memastikan maklumat-maklumat berikut terdapat dalam laman web rasmi jabatan. Antaranya maklumat lengkap mufti sekarang dan mufti-mufti terdahulu, sejarah penubuhan Jabatan Mufti Negeri dan bahagian-bahagian di Jabatan Mufti serta fungsinya. Aktiviti atau program serta gambar juga perlu dimasukkan, begitu juga koleksi fatwa dan keputusan fatwa.

Memandangkan fatwa adalah keputusan Jawatankuasa Fatwa yang diwartakan dan keputusan fatwa adalah keputusan yang tidak diwartakan, adalah terlebih baik dua kategori ini diasingkan. Ini untuk memudahkan masyarakat mengetahui keputusan mana yang diwartakan dan yang tidak diwartakan. Sesuatu fatwa atau keputusan juga perlu disertakan dengan hujah atau dalil supaya masyarakat lebih yakin menerimanya.

Kekerapan mengemaskini maklumat laman web juga perlu diberi perhatian. Sebaik-baiknya ia dilakukan setiap minggu atau sekurang-kurangnya dua minggu sekali. Jika ia tidak dikemaskini dalam tempoh berbulan-bulan, ia menyerlahkan kelemahan pengurusan Jabatan Mufti terbabit.

Laman web Jabatan Mufti negeri-negeri juga perlu mempunyai pautan kepada semua jabatan mufti negeri lain dan juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan. Ini bagi memudahkan masyarakat mengetahui fatwa atau keputusan yang diputuskan oleh Jabatan Mufti negeri lain.

Pengurusan fatwa online perlu dilakukan dengan baik dan cekap. Ini kerana ia mencerminkan imej dan professionalisme sesuatu Jabatan Mufti. Penyaluran dan penyampaian maklumat secara online lebih cepat, senang dan efektif berbanding medium-medium lain. Seharusnya Jabatan Mufti negeri-negeri mengambil berat hal ini, supaya tidak dikatakan ketinggalan zaman.

12 September 2011

Bukit Kepong








Semalam (11 September) TV2 menayangkan filem Bukit Kepong arahan Tan Sri Jins Shamsuddin. Mungkin meraikan peristiwa 11 September Amerika diserang. Tapi sebenarnya bersempena dengan ceramah Mat Sabu yang mengatakan Mat Indera pejuang kemerdekaan. Bercempera ramai pihak (UMNO dan yang sewaktu dengannya) yang marahkan kenyataan Mat Sabu tu.

UF tak nak ulas pasal Mat Indera, sebab tak tahu kisah sebenar. Lagipun dah ramai yang ulas pasal isu tu. UF nak ulas pasal 1 tulisan yang pernah UF baca pasal filem Bukit Kepong. Kalau tak silap surat pembaca dalam Harakah lama dahulu. Ia bukan tulisan ilmiah tapi hasil pemerhatian penulis dalam beberapa pilihanraya.

Kata penulis (tak ingat nama dia), dalam beberapa pilihanraya umum di zaman Tun Dr. Mahathir jadi PM, jika filem Bukit Kepong ditanyangkan di TV, itu tandanya pilihanraya umum sudah hampir. UF ingat lagi, tulisan itu ditulis ketika peralihan kuasa kepada Tun Abdullah Badawi. Penulis "menjangkakan" filem Bulit Kepong juga akan ditayang sebelum pilihanraya 2004, tetapi seingat UF (betulkan jika salah), filem itu tidak ditayangkan menjelang pilihanraya umum 2004.

Jadi teori penulis tentang kaitan filem Bukit Kepong dengan pilihanraya tidak lagi relevan di zaman Tun Abdullah. Ia mungkin benar di zaman Tun Dr. Mahathir hasil pemerhatian penulis. Namun bila semalam (11 September) filem itu ditayangkan semula, adakah itu petanda pilihanraya umum sudah semakin dekat? Apatah lagi isu komunis Mat Sabu sedang rancak dan hangat diperkatakan. Datuk Seri Najib mengamalkan mazhab mana? Mazhab Tun Dr. Mahathir atau mazhab Tun Abdullah? Sama-samalah kita tunggu...

Sedikit lintasan....

50 tahun akan datang, dalam sejarah Malaysia adakah Mat Sabu akan dikenali sebagai "komunis alaf baru"...

Dalam sejarah USIM pula, 50 tahun akan datang adakah UF dikenali sebagai ketua pemberontak??? fuhhhh...

11 September 2011

Fiqh Asas (8)

Sapuan Ke Atas Khuf

Hukum menyapu ke atas 2 khuf adalah harus dengan 3 syarat:

1) Mula memakai kedua-dua khuf itu selepas sempurna bersuci (berwuduk atau mandi wajib).
2) Hendaklah khuf itu menutup tempat basuhan yang wajib di kaki.
3) Hendaklah khuf itu boleh dibuat berjalan dengannya.

Tempoh Sapuan Khuf

Orang bermukim boleh menyapu ke atas khuf selama sehari semalam. Bagi orang musafir pula selama dibolehkan selama 3 hari 3 malam. Tempoh sapuan khuf itu bermula ketika seseorang itu berhadas selepas memakai kedua-duanya. Jikalau dia menyapu khuf ketika dia bermukim kemudian dia bermusafir ataupun dia menyapu khuf ketika dia bermusafir kemudian dia bermukim maka dia mesti mengikut tempoh sapuan orang yang bermukim (iaitu sehari semalam).

Perkara Yang Membatalkan Sapuan Khuf

Terbatal sapuan ke atas khuf disebabkan 3 perkara:

1) Mencabut kedua-duanya.
2) Habis tempoh.
3) Perkara yang mewajibkan mandi.

(Sumber: Kitab “Matan al-Ghayah Wa al-Taqrib” - Abu Shuja’).

10 September 2011

Tauliah... Perlukah?



Isu tauliah kini berbunyi lagi. Terbaru ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dilarang daripada memberi tazkirah, ceramah dan seumpamanya kerana beliau tiada tauliah, kata MAIS. Sebelum ini pun ramai yang didakwa oleh Jabatan Agama Negeri tertentu atas alasan tiada tauliah antaranya mantan mufti Perlis Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Persoalannya adakah tauliah ini bidah yang direka-reka atau ia boleh dan perlu dilaksanakan oleh kerajaan yang memerintah? Sebelum UF menjawab persoalan ini, UF ingin menakalkan kata-kata imam al-Khatib al-Baghdadiyy dalam kitabnya "Kitab al-Faqih Wa al-Mutafaqqih":

ينبغي لإمام المسلمين، أن يتصفّح أحوال المفتين، فمن كان يصلح للفتوى، أقرّه عليها. ومن لم يكن من أهلها منعه منها، وتقدّم إليه بأن لا يتعرّض لها، وأوعده بالعقوبة إن لم ينته عنها، وقد كان الخلفاء من بني أمية ينصبون للفتوى بمكّة في أيّام الموسم قومًا يُعَيِّنُوْنَهُم، ويأمرون بأن لا يُستفتى غيرهم

Yang bermaksud, "Pemerintah umat Islam sepatutnya memeriksa hal ehwal orang yang berfatwa (mufti). Sesiapa yang sesuai berfatwa, maka dia boleh mengiktirafnya. Sesiapa yang bukan ahlinya (tidak layak berfatwa), maka dia boleh menghalang orang itu. Dia (pemerintah) perlu menasihati orang itu supaya tidak berfatwa dan boleh menakutkannya dengan hukuman jika dia masih berdegil. Para khalifah Bani Umayyah pernah melantik segolongan orang sahaja di Mekah pada musim haji (untuk berfatwa) dan mereka memerintahkan supaya tidak ada orang lain selain mereka yang terlantik untuk berfatwa".

Daripada kata-kata al-Khatib al-Baghdadiyy ini, dapat difahami bahawa kerajaan boleh mengenakan syarat-syarat tertentu kepada orang yang ingin berfatwa. Dalam bahasa moden di Malaysia ia dipanggil tauliah. Walaupun kalam di atas berkaitan fatwa tetapi ia boleh diaplikasi terhadap tazkirah, ceramah, khutbah dan lain-lain.

Ini kerana fatwa ialah menyampaikan atau memberitahu hukum hakam islam kepada mereka yang bertanya. Begitulah tazkirah, ceramah, khutbah juga mengajar atau memberitahu hal ehwal agama kepada umat Islam.

Untuk apa tauliah perlu kepada mereka yang ingin menyampaikan Islam?

Sila baca post ini hingga habis sebelum anda membuat apa-apa kesimpulan sendiri.

Antara kepentingan tauliah ialah mengawal orang yang ingin menyampaikan Islam kepada masyarakat. Ia perlu supaya hanya mereka yang benar-benar layak yang mempunyai ilmu sahaja yang melakukannya. Masyarakat kita mudah menerima mereka yang pandai berceramah walaupun latar belakang penceramah itu bukan daripada bidang agama. Bukankah sekarang ini ramai artis-artis yang "bertaubat" lalu dipanggil dengan gelaran "ustaz" dan dijemput berceramah di sana sini?

Bukan menidakkan keupayaan golongan ini menjadi pendakwah setelah bergelumang dengan dunia hiburan, tetapi jika tidak layak bergelar penceramah maka kerajaan boleh menghalangnya daripada menyampaikan kuliah atau ceramah kepada masyarakat. Tindakan ini adalah siyasah syariyyah kerajaan untuk memastikan masyarakat menerima maklumat daripada mereka yang layak sahaja.

Untuk memastikan seseorang itu layak atau tidak berceramah, kaedah yang diguna pakai oleh kerajaan Malaysia ialah "tauliah". Contohnya di Selangor, seseorang pemohon tauliah akan dipanggil temuduga dan akan melalui ujian bertulis dan lisan.

Dalam ujian bertulis, beberapa soalan yang berkaitan fiqh, akidah dan lain-lain akan ditanya. Begitu juga temuduga lisan di hadapan panel penemuduga, bebeapa soalan termasuk isu-isu semasa akan ditanya. Setelah panel berpuas hati, maka pemohon akan dianugerahkan tauliah untuk tempoh tertentu dan perlu diperbaharui daripada masa ke semasa. (Boleh rujuk kisah UF mohon tauliah di sini)

Tindakan kerajaan dalam mengenakan tauliah kepada penceramah-penceramah di Malaysia ialah menstrukturkan kata-kata imam ak-Khatib al-Baghdadiyy di atas. Maksudnya, dalam isu pentadbiran kerajaan berhak mengenakan syarat tauliah atas dasar siyasah syariyyah seperti mana para khalifah seperti Umar, Usman, Ali dan lain-lain membuat peraturan-pertauran tertentu dalam pentadbiran mereka.

Jika diteliti kata-kata imam ak-Khatib al-Baghdadiyy, orang yang sememangnya layak untuk berfatwa, menyampaikan tazkirah dan ceramah, kenapa dia mesti dilarang daripada berbuat demikian?

To be continued...

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage