Disember 2017


29 Disember 2017

Minda Fikir (3): Pemahaman Nas Secara Tekstual dan Konstetual

Saban hari kita melihat segelintir asatizah berbalah dalam media sosial tentang pelbagai isu. Saya gunakan istilah "berbalah" yang lebih negatif kedengarannya bukannya istilah "berdiskusi" yang lebih positif kedengarannya. Ini kerana apa yang kita baca, "kelihatan" lebih kepada ingin memperlihatkan pandangan sendiri adalah betul dan ingin menyerlahkan kesalahan pihak lain terutama seterunya.

Saya menyeru diri saya terlebih dahulu dan kepada semua asatizah agar merenung sebuah hadis Rasulullah SAW:
عن ابن عمر رضي الله عنهما قال قال النبي صلى الله عليه وسلم يوم الأحزاب لا يصلين أحد العصر إلا في بني قريظة فأدرك بعضهم العصر في الطريق فقال بعضهم لا نصلي حتى نأتيها وقال بعضهم بل نصلي لم يرد منا ذلك فذكر ذلك للنبي صلى الله عليه وسلم فلم يعنف واحدا منهم
Maksudnya, "Daripada Ibn Umar RA berkata, Nabi SAW bersabda pada hari peperangan al-Ahzab, "jangan sesiapapun solat Asar kecuali di Bani Quraizah. Lalu sebahagian Sahabat mendapati waktu Asar telah masuk. Sebahagian mereka berkata, "kami tidak akan solat Asar kecuali sehingga kami sampai di sana (Bani Quraizah dan walaupun waktu telah luput). Sebahagian pula berkata, 'kami akan solat Asar dahulu. Nabi tidak bermaksud pun demikian (untuk kita tangguh Asar sehingga luput waktu). Peristiwa ini diceritakan kepada Nabi SAW, lalu baginda tidak mencela sesiapapun" (Riwayat al-Bukhari dalam "al-Maghazi").

Hadis ini berkaitan satu arahan Rasulullah SAW selepas peperangan al-Ahzab supaya tentera Islam bergerak pula ke kampung Bani Quraizah untuk memerangi mereka. Sebahagian memahami secara tekstual (zahir hadis) dan mereka berpandangan tidak boleh solat Asar dalam perjalanan dan hanya akan solat Asar bila sampai di kampung tersebut walaupun waktu Asar telah luput. Ini kerana itulah yang difahami daripada zahir hadis tersebut.

Manakala sebahagian lain memahami secara kontekstual (logik nas hadis) dan berpandangan bahawa bukan niat Nabi SAW untuk melarang solat Asar tetapi gesaan supaya cepat sampai ke kapung tersebut. Apatah lagi mereka mengetahui bahawa setiap solat wajib dilaksanakan dalam waktunya berdasarkan dali-dalil lain. Jadi golongan ini behenti sekejap untuk menunaikan solat Asar dan kemudiannya meneruskan perjalanan.

Apa yang menarik ialah jika dilihat di akhir hadis ini, Nabi SAW TIDAK MENYALAHKAN apatah lagi MENCELA mana-mana sahabat baginda dalam memahami arahan baginda. Ini menunjukkan bahawa baginda meraikan kepelbagaian kefahaman di kalangan para sahabat. Perbezaan ijtihad di kalangan sahabat dalam senario ini diterima oleh Nabi SAW.

al-Fairuz Abadi dalam "al-Qamus al-Muhit" mengatakan bahawa perkataan 'annafa bi ma'na laama (mencela). Ibnu Manzur dalam "Lisan al-'Arab" pula menyatakan bahawa al-ta'nif bi ma'na al-taubikh (mencela/memaki hamun).

Lihat apa kata Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam kitabnya "I'lam al-Muwaqqi'in":
وقد اجتهد الصحابة في زمن النبي صلى الله عليه وسلم في كثير من الأحكام ولم يعنفهم؛ كما أمرهم يوم الأحزاب أن يصلوا العصر في بني قريظة، فاجتهد بعضهم وصلاها في الطريق، وقال: لم يرد منا التأخير، وإنما أراد سرعة النهوض، فنظروا إلى المعنى، واجتهد آخرون وأخروها إلى بني قريظة فصلوها ليلا، نظروا إلى اللفظ، وهؤلاء سلف أهل الظاهر، وهؤلاء سلف أصحاب المعاني والقياس. انتهى.

Ibn Hajar dalam kitab "Fath al-Bari" menukilkan kalam al-Suahili:
في هذا الحديث من الفقه أنه لا يعاب على من أخذ بظاهر حديث أو آية ولا على من استنبط من النص معنى يخصصه، وفيه أن كل مختلفين في الفروع من المجتهدين مصيب. انتهى.

Imam al-Nawawi pula dalam "Sharh Sahih Muslim" berkata:
فأخذ بعض الصحابة بهذا المفهوم نظراً إلى المعنى لا إلى اللفظ، فصلوا حين خافوا فوت الوقت، وأخذ آخرون بظاهر اللفظ وحقيقته فأخروها. ولم يعنف النبي صلى الله عليه وسلم واحداً من الفريقين لأنهم مجتهدون. ففيه دلالة لمن يقول بالمفهوم والقياس ومراعاة المعنى ولمن يقول بالظاهر أيضاً، وفيه أنه لا يعنف المجتهد فيما فعله باجتهاده إذا بذل وسعه في الاجتهاد، وقد يستدل به على أن كل مجتهد مصيب. انتهى.

Ini juga menunjukkan bahawa pemahaman secara tekstual dan konstektual terhadap nas atau dalil telah, sedang dan akan berlaku kepada manusia termasuk para mujtahidin, Ia adalah sunnatullah kepada manusia.

Jika Rasulullah SAW TIDAK MENYALAHKAN apatah lagi MENCELA mana-mana sahabat baginda dalam ijtihad mereka yang berbeza, kenapa kita galak menyalahkan orang lain? Lagi hebat lagi apabila kita mencemuh, memaki hamun, memerli dan yang paling teruk; mengkafirkan pihak yang tidak seijtihad dengan kita.

Sunnah siapa yang kita ikut? Sunnah Nabi SAW atau sunnah al-Syaitan al-Rajim?

10 Disember 2017

Minda Fikir (2): Ulama Tempatan vs Ulama Antarabangsa

Seringkali dalam membincangkan apa-apa isu yang berlaku di negara ini, kita akan memetik pendapat ulama antabangsa. Petikan pandangan itu untuk menjustifikasikan hujahan kita tentang boleh atau tidak kebolehlaksanaan sesuatu perkara. Antara yang selalu dirujuk ialah Syeikh Yusuf al-Qaradawi, Wahbah al-Zuhaili, Muhammad Said Ramadan al-Buti dan lain-lain.


Kita merasakan jika pandangan ulama antarabangsa itu dimasukkan dalam penghujahan kita, ia akan menjadi lebih kuat. Sebagai contoh, isu pelaksanaan Enakmen jenayah Syariah aka hudud, tiidak kurang pandangan ulama luar yang dipetik bagi menjustifikasikan hujah terutama ketidaksesuaian pelaksanaannya di Malaysia.
Adakah pandangan ulama luar adalah muktamad? Adakah ia adalah pemutus kata? Kita mahu menyelesaikan masalah setempat tetapi menggunakan pandangan ulama luar yang walaupun mereka tahu keadaan Malaysia tetapi tidak tinggal di sini. Persoalannya, pandangan ulama tempatan tidak bagus? Pandangan mereka bias?



Tidaklah salah merujuk pandangan-pandangan ulama luar. Namun kalau hanya menjadikannya satu-satu hujah atau pemutus kata bagi menyelesaikan isu tempatan adalah tindakan yang tidak tepat. Pandangan ulama tempatanlah lebih aula dijadikan pemutus kata kerana mereka lebih arif situasi di sini. Ia seiring dengan hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA:
أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأَمْرِ دُنْيَاكُمْ

Maksudnya, "Kamu (penduduk Madinah) lebih tahu urusan dunia kamu (di sini)".


Saya masih teringat jawapan Allahyarham Dr. Aziz Hanafi rahimahullah dalam satu seminar anjuran INFAD di USIM beberapa tahun lepas. Saya bertanyakan soalan kepadanya tentang pengalaman beliau sebagai AJK fatwa Kedah dan sejauh mana ulama kita di Malaysia berani untuk berijtihad. Jawapan beliau dalam bahasa arab (kerana pembentangannya dalam bahasa arab seratus peratus):
نحن نستفيد منهم ولا نفيدهم

Maksudnya, "(Ulama) kita hanya mengambil faedah daripada ulama luar. (Ulama) kita tidak memberikan faedah (menonjolkan kemampuan) kepada mereka".


Juga cerita sahabat saya PM Dr. Wan Mohd Yusof Wan Chik tentang kata-kata Syeikh Farid Ansari seorang ilmuan/ulama Maghribi mengenai ketokohan Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Kata Syeikh, "aku pernah berjumpa dengan ramai orang alim tapi Abdul Hadi ini adalah seorang yang alim lagi faqih".



Semoga Allah menguatkan ulama-ulama kita di Malaysia.

Minda Fikir (1): Apa seterusnya?

Ramai di kalangan kita dapat menguasai ilmu dalam bidang masing-masing. Sama ada kita daripada aliran pondok/talaqqi atau aliran akademik Universiti, kita mempunyai ramai jaguhnya. Saya antara orang yang bertuah kerana pernah mendapat asuhan kedua-dua aliran ini. Bermula dengan pengajian gaya pondok (tapi tidak belajar di pondok) dan sekarang berada dalam dunia akademik hampir 17 tahun.

Bila mendengar atau membaca cerita tokoh sedia ada atau tunas baharu dalam pengajian Islam, saya gembira kerana ini membuktikan bidang ini tidak ketandusan tokoh atau pelapis. Dengan kepakaran yang pelbagai dan ramai tokoh, soalan yang perlu kita fikirkan, apa seterusnya? Adakah sekadar kita hanya hendak berbangga dengan ilmu yang kita miliki? Adakah sekadar kita hendak menunjuk jaguh dengan bergaduh sesama sendiri (perkara yang saya tidak berminat terlibat dalamnya).

Sekarang ini di USIM, saya sudah beberapa kali menjadi panel temuduga jawatan akademik atas kapasiti wakil senat. Ada seorang calon dalam bidang hadis yang datang untuk temuduga. Pelbagai soalan daripada barisan panel termasuk saya, dapat dijawab olehnya dengan baik. Ia menggambarkan calon ini memang mantap ilmunya.

Sehinggalah ke satu soalan yang ditanya oleh Timbalan Naib Canselor Akademik; kamu kuasai ilmu hadis, dari segi sahihnya, daifnya dan lain-lain. Tapi semua itu telah dijelaskan oleh para ulama. Soalannya what's next? Bagaimana kamu nak aplikasi ilmu kamu zaman sekarang? Atau apa guna ilmu hadis dalam zaman sekarang?

Calon terdiam. Sebenarnya ia boleh berlaku dalam semua cabang pengajian Islam. Kita (termasuk saya) mungkin hebat menguasai ilmu tetapi kita agak "kaku" atau "mandul" dalam mengguna ilmu kita untuk aplikasi moden selain mengajarnya semula kepada pelajar.

Jika kita dapat menterjemahkan ilmu kita sehingga boleh menjadi polisi yang menjadi rujukan kerajaan atau ummah (contohnya), maka kita insya Allah akan menjadi hebat. Untuk menjadi hebat, kita perlu bekerjasama antara satu sama lain. Modus operasinya, boleh difikirkan bersama-sama.

Tapi bolehkah kita menjadi hebat, andainya kita hanya jaguh bergaduh dan asyik hendak "memangkah" orang lain.

Kem Tahfiz dan Kefahaman al-Quran Cuti Sekolah 2017


Berita baik buat para ibu bapa dan pelajar!😀

Usuli Faqih Research Centre PLT (UFRC) dengan kerjasama Pusat Islam USIM bakal menganjurkan sebuah Program Kem Tahfiz Dan Kefahaman Al-Quran, selama 6 hari (bermalam di kem), pada Cuti Sekolah akan datang.

Terbuka kepada pelajar berumur 7 tahun hingga 17 tahun,
Pada:
16 Disember hingga 21 Disember 2017

Bertempat di:
Pusat Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Program ini bertujuan:
- Memantapkan hafazan anak-anak dengan surah-surah pilihan, serta
- Memahami dan menghayati kandungan surah-surah pilihan.


 Supaya peserta dapat menghafal surah al-Quran dengan baik, serta menghayati kandungan al-Quran itu sebagai pedoman dalam hidup sejak kecil lagi.
📖
Dengan mendedahkan metodologi dan pendekatan yang menggunakan kaedah “Usuli”, iaitu:
 Qira’ah Mushafahah.
 Tikrar.
 Hafazan.
 Tadabbur.

Mereka akan bersama para fasilitator dan jurulatih motivasi yang professional 🙋
Ayuh, Sertai Kami!
Yuran Penyertaan
RM 300.00 seorang
(Bagi anak-anak STAF USIM, yuran hanya RM 280.00 seorang)

Tunggu!🙌
Marilah kita kongsi manfaat bersama-sama dengan mengajak lebih ramai peserta untuk hadir, dan istimewa. Diskaun 5% jika menghantar 3 orang anak-anak ke Kem ini 😉

Yuran adalah merangkumi:
- 4 kali makan sehari untuk 6 hari program.
- Beg program.
- Modul program
- Buku Nota dan Alat tulis.

Bagi yang berminat, anda boleh mendaftar dengan kami.

💳
Cara Bayarannya:
Pembayaran hendaklah dibuat ke akaun Bank Islam berikut:
0505 80100 29117
(Usuli Faqih Research Centre PLT)

Tempat hanya disahkan setelah membayar yuran penuh sebanyak
RM 300.00 sahaja.

Tarikh tutup pendaftaran penyertaan:
15 Disember 2017

Untuk keterangan lanjut sila hubungi:
Pn. Fariza: 019-626 9447
En Nasiruddin: 019-625 4001
UFRC: 019-644 0815
Atau,
Emel: usulifaqih@gmail.com
Facebook:
Usuli Faqih Research Centre

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage