Bacalah dengan hati yang tenang....
Perkara yang menarik perhatian perbincangan ramai
asatizah apabila Dr. M membawa tafsiran baharu kepada maksud hifz al-din.
Katanya, ia bermaksud menjaga "semua" agama dan bukan menjaga Islam
sahaja, maka itulah sisi rahmatan lil alamin. Dalam posting FB beliau selepas
itu, beliau ada menjustifikasikan kenyataannya itu terutama maksud penggunaan
alif lam (ال) dalam bahasa arab.
Berikut ialah tulisan beliau: "Ada yang
berhujahkan pengunaan ال sebagai makna
ditakrifkan khusus perkataan Ad din الدين
dengan makna hanya agama Islam. Bagaimana pula ال
dalam Al Mal, Al Nafs, Al Aql dan Al i'rd, adakah kesemua itu hanya untuk
menjaga harta orang Islam, akal orang Islam ataukah hanya jiwa orang Islam
kerana maslahat paling atas hanya untuk jaga agama Islam sahaja? Ini pastinya
tidak konsisten dengan prinsip Insaniah yang dijamin oleh Islam" (Mujahid
Yusof Rawa, 14 Julai 2018).
Sesiapa yang belajar ilmu bahasa arab, pasti tahu
alif lam (ال) ada peranan tertentu
dalam sesuatu perkataan. Ia bukan saja-saja kita nak guna atau tidak. Perkataan
yang ada alif lam (ال) boleh membawa maksud
lain berbanding perkataan yang sama yang tidak mempunyai alif lam (ال). Secara ringkasnya peranan alif lam (ال) dalam bahasa arab boleh dikategorikan
kepada:
1. Alif lam (ال)
li al-'ahd (menjelaskan masa).
2. Alif lam (ال)
li al-jins (menjelaskan hakikat sesuatu).
3. Alif lam (ال)
li al-istighraq (mencangkupi semua perkara yang sesuai masuk di bawah perkataan
tersebut).
(Nota: pembahagian alif lam (ال) berbeza antara pakar bahasa arab, ada yang mengkategorikan 2
bahagian dan ada yang mengkategorikannya kepada 3 bahagian).
Bagaimanakah dan siapakah yang akan menentukan
maksud sebenar alif lam (ال) yang digunakan oleh
seseorang penutur atau penulis. Pada asasnya, maksud alif lam (ال) boleh difahami sama ada melalui
penjelasan oleh si penutur/penulis atau melalui konteks ayat yang digunakan.
Jadi penggunaan alif lam (ال) agak unik kerana ia
boleh berubah peranan atau maksudnya dan ia tidak statik dalam semua keadaan
dengan satu maksud sahaja.
Apabila Dr. M cuba menjustifikasikan maksud hifz
al-Din ialah menjaga semua agama dengan beralasankan atau berhujahkan
penggunaan alif lam (ال) dalam al-'aql,
al-nasal, al-nafs dan al-mal, jelas beliau terkhilaf dalam memahami fungsi alif
lam (ال).
Sebagai contoh, apabila Allah berfirman dalam
al-Quran: (وأقيموا الصلاة) (surah al-Baqarah,
ayat 43), adakah difahami bahawa Allah memerintahkan umat Islam untuk
menunaikan semua solat atau sembahyang semua agama? Jika digunakan justifikasi
Dr. M, maka kita sepatutnya berkata ya. Kerana apa? Kerana adanya alim lam (ال) dalam perkataan الصلاة.
Namun hakikatnya bukan itu maksudnya. Solat dalam arahan tersebut ialah solat
orang Islam dan bukannya semua jenis solat dalam semua agama yang ada di dunia
ini.
Alif lam (ال)
dalam ayat 43 surah al-Baqarah itu bukan bermaksud alif lam (ال) li al-istighraq dalam erti kata semua jenis solat agama yang
ada. Kalau kita beranggapan bahawa alif lam (ال)
dalam ayat tersebut adalah alif lam (ال)
li al-istighraq dalam erti kata semua solat fardu, ia masih boleh diterima. Ini
yang dijelaskan oleh imam al-Baghawi dalam tafsirnya tentang ayat tersebut:
{وأقيموا
الصلاة} يعني الصلوات الخمس بمواقيتها وحدودها
Apabila Dr. M mentafsirkan hifz al-din dengan
maksud menjaga "semua" agama kerana adanya alif lam (ال) dalam perkataan "al-din", maka
ia amat janggal. Alif lam (ال) dalam perkataan hifz
al-din memang boleh ditafsirkan dengan alif lam (ال)
li al-istighraq. Dalam perbahasan lafaz al-'am ilmu Usul Fiqh, antara indikator
asas sesuatu lafaz itu bermaksud 'am ((mencangkupi SEMUA perkara yang sesuai
masuk di bawah perkataan tersebut) ialah lafaz mufrad (singular) yang ada alif
lam (ال). Contohnya surah al-'asr ayat 2 (إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ).
Ayat ini bermaksud SEMUA manusia dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan
beramal salih. Namun tidak semua perkataan mufrad yang ada alif lam (ال) akan bermaksud 'am (rujuk perbahasan 'am
dan khas dalam ilmu usul fiqh untuk maklumat lanjut).
Kenapa saya kata kata tafsiran Dr. M janggal. Ini
kerana dalam perbahasan maqasid syariah, hifz al-din bermaksud menjaga
"agama Islam" dan bukannya "semua agama". Dr. M perlu
bezakan antara perbahasan maqasid syariah dan perlembagaan persekutuan
Malaysia. Perbahasan maqasid syariah perlu dibincangkan mengikut displin ilmu
syariah dan jika dilihat nas-nas Syarak, tafsiran al-din bermaksud agama Islam
dan bukannya semua agama. Allah berfirman dalam surah Al Imran ayat 19 (إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ).
Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini berkata:
وقوله : ( إن الدين عند الله الإسلام ) إخبار من الله تعالى بأنه لا
دين عنده يقبله من أحد سوى الإسلام ، وهو اتباع الرسل فيما بعثهم الله به في كل
حين ، حتى ختموا بمحمد صلى الله عليه وسلم ، الذي سد جميع الطرق إليه إلا من جهة
محمد صلى الله عليه وسلم ، فمن لقي الله بعد بعثته محمدا صلى الله عليه وسلم بدين
على غير شريعته ، فليس بمتقبل .
Jika hifz al-din dibincangkan dari kaca mata
perlembagaan persekutuan, mungkin bolehlah dikatakan bahawa fungsi kerajaan
ialah menjaga "semua" agama yang ada di negara ini. Perlembagaan
persekutuan (Kebebasan beragama) perkara 11 memperuntukkan:
(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan
mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.
Namun, walaupun perbahasan maqasid syariah
mengatakan bahawa hifz al-din ialah menjaga agama Islam, tidak terdapat satu
nas Syarak pun yang mengatakan bahawa agama lain perlu dihancurkan, diperangi
dan tidak dihormati. Kalau Dr. M inginkan penganut agama lain dihormati hak
mereka dan sebagainya, ia memang telah ditekankan oleh Nabi Muhammad SAW sejak
Islam diturunkan pun. Banyak nas al-Quran dan hadis yang meminta umat Islam
menghormati dan memberikan hak termasuk kepada orang bukan Islam. Antaranya
firman Allah surah al-An'am ayat 108 (وَلَا
تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا
بِغَيْرِ عِلْمٍ). Ini adalah perbahasan lain bukannya perbahasan maqasid
syariah walaupun tidak dinafikan bahawa ia ada kaitan dengannya.
Kesimpulannya, penggunaan alif lam (ال) memang mempunyai pelbagai maksud dalam
konteks yang berbeza. Namun dalam perbahasan maqasid syariah, hifz al-din
adalah penjagaan agama Islam dan bukannya semua agama. Penganut agama lain
boleh meminta pakar agama mereka agar membuat maqasid agama mereka sendiri.
Peranan kita sebagai kerajaan untuk menjaga semua rakyat berbilang agama adalah
isu dan perbahasan yang lain.
Ikuti saya!