2008


27 Disember 2008

Ceramah Dr. Tawfiq al-Butiyy


Semalam 26 Dis 08, UF pergi ke Masjid Sulatan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam sebab nak dengar ceramah yang disampaikan oleh bekas penyelia tesis UF iaitu Dr. Tawfiq al-Butiyy (anak Syeikh al-Butiyy). UF tak tahu yang dia ada di Malaysia, jadi bila dapat message dari sorang sahabat yang Dr. Tawfiq akan bagi ceramah, UF pun pergi. UF sampai masjid pun dah dekat nak azan Maghrib dan UF sempat jumpa Dr. Tawfiq sebelum solat Maghrib.

UF seronok sangat bila dapat jumpa balik dengan dia dan dia pun seronok jumpa dengan UF, maklumlah anak murid kesayangan... hehe... dan kami berpeluk erat tanda ukhuwwah Islamiyyah... dia di Malaysia sebagai Prof. pelawat di Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), UKM selama 2 minggu...

Selepas solat Maghrib, Dr. Tawfiq menyampaikan ceramahnya dan alih bahasa oleh Us. Sulaiman Ibrahim, pensyarah UKM yang mengiringi Dr. Tawfiq. Dr. Tawfiq menyentuh berkenaan sambutan tahun baru Hijrah dan Masihi yang selang tidak berapa hari dan kaitannya dengan kehidupan seorang muslim. Namun beliau banyak menyentuh tentang mengingati mati kerana ia sebenarnya mampu menghalang seorang muslim itu dari melakukan maksiat kepada Allah. Hanya orang yang tidak mengingati mati berani melakukan noda dan dosa tanpa takut kepada balasan Allah.

Beliau juga menukilkan satu pesanan dari Imam al-Hasan al-Basri seorang ulama sufi yang zuhud "Engkau hanyalah beberapa hari, setiap kali satu hari berlalu, maka berkuranglah engkau". Yakni setiap hari yang berlalu menjauhkan kita dengan hari kelahiran kita dan mendekatkan dengan kematian kita. Jadi orang yang sentiasa mengingati mati akan sentiasa bersedia dengan amalan soleh. Apa yang lebih penting ialah selepas kematian itu, sebab ada mahkamah pengadilan Allah yang dibentangkan segala amal baik buruk kita. Beruntunglah orang yang melakukan amal soleh sebab diberi balasan syurga. Rugilah orang yang melakukan maksiat kerana akan diberi balasan neraka..... Ini sebahagian ceramah Dr. Tawfiq.


23 Disember 2008

Forum Perdana Ewal Islam

Semalam 22 Dis 08 telah diadakan satu Forum Perdana Ewal Islam di Stadium Salak Tinggi, Sepang yang menampilkan Dato' Hashim Yahya, Us. Farid Ravi dan Us. Roslan Muhammad yang dipengerusikan oleh Dat' Hasan Ali, Exco Kerajaan negeri Selangor. Program malam semalam itu adalah program penutup tahun 2008 bagi Forum Perdana yang telah menjelajah seluruh 9 daerah di Selangor.

Forum Perdana Ewal Islam yang mengenengahkan tajuk "Islam Syumul" itu telah berjaya menarik ribuan umat Islam sekitar Sepang untuk mendengar kupasan para panel. Memang terlalu banyak mutiara kata hasil daripada Forum Perdana tersebut, tapi UF hanya nak paparkan dalam blog ni penggulungan akhir yang dibuat oleh Dato' Hashim Yahya. Beliau menyampaikan amanat yag telah disampaikan oleh Lukman al-Hakim kepada anaknya.

Amanat tersebut ialah, jangan engkau ingat 2 perkara dan jangan engkau lupa 2 perkara. Jangan ingat 2 perkara iaitu:
1. Hasanatuka Ila al-Ghayr (kebaikan yang telah engkau lakukan kepada orang lain).
2. Isa'atu al-Ghayr Ilayka (kejahatan orang lain kepada engkau).

Jangan lupa 2 perkara walau siapapun atau di mana engkau, iaitu:
1. Allah.
2. al-Dar al-Akhirah (hari akhirat).

FIKIR-FIKIRKAN DAN AMALKANLAH !

19 Disember 2008

DIMASHQU (3)

Kebetulan pula ada seorang pelajar Malaysia (Wifaq) yang sedang membuat Ph.D di Universiti Maula Ismail, Maghribi datang ke USIM untuk memohon jawatan akademik. Aku yang menemani beliau berjumpa dengan Prof. Dato' Dr. Asin bin Dollah (Timbalan Naib Canselor) berhubung dengan hasratnya itu.

Setelah berbincang dan mendapatkan maklumat daripada Wifaq, aku membuat keputusan untuk membuat Ph.D di Universiti Maula Ismail, tempat Wifaq belajar. Namun masalahnya universiti tersebut tidak diiktiraf oleh JPA, manakala universiti-universiti lain di Maghribi pula terlalu lama tempoh untuk menghabiskan Ph.D. Jadi setelah berfikir semasak-masaknya, aku membuat keputusan untuk cuba memohon masuk di universiti Damascus di Syria.

Setelah tiada siapa yang boleh memberikan maklumat tentang universiti Damascus, aku cuba mengantar Emel ke alamat universiti tersebut bertanyakan syarat-syarat menyambung pelajaran di situ. Alhamdulillah tidak lama selepas itu aku mendapat jawapan daripada seorang pegawainya. Beliau telah memberikan sedikit maklumat berkaitan syarat-syarat membuat Ijazah Lanjutan di universiti Damascus.

Apabila aku memberitahu hasratku belajar di universiti Damascus kepada seorang teman pensyarah iaitu Dr. Adel (dari Libya), beliau mengatakan bahawa beliau mempunyai kenalan di universiti tersebut. Lalu aku meminta beliau menghubungi kenalannya itu melalui E-mel agar membantu permohonan aku. Setelah Dr. Adel mengutusi kenalannya itu dan memberitahu tentang hasrat aku, kenalannya itu mengalu-alukan kedatangan aku ke universiti Damascus. Kenalannya ialah Dr. Muhammad Tawfiq al-Butiyy anak kepada Dr. Muhammad Said Ramadan al-Butiyy.

Bersambung....

Sijil MA

Minggu lepas UF pulang ke Penang sebab ada kenduri sepupu. Balik tak lama pun sebab jumaat balik sana dan hari ahad dah balik ke sini. Sebelum balik tu singgah ke rumah mertua dan kebetulan isteri dan UF naik ke atas rumah (yang tak pernah digunakan semenjak ayah mertua meninggal) untuk lihat barang. Tetiba ternampak satu kotak yang ada nama UF dan bila buka je kotak tu ternampak sijil MA (versi bahasa Melayu) yang memang dicari-cari selama ni.

Sejak balik dari Syria tahun 2006, UF memang dok cari sijil tu dan memang susah hati sebab tak ingat simpan di mana. Apatah lagi UF dah "kehilangan" sijil asal BA dan MA (versi bahasa Inggeris) sebab masa minta Universiti Damascus kena kemukakan sijil yang asli untuk permohonan. Mulanya sijil tu memang sampai ke sana tapi bila urusan dah selesai sijil-sijil tu ntah ke mana. Bila UF tanya jabatan, pegawai kata ada pada penyelia, tapi bila tanya penyelia, dia kata ada kat jabatan.
Jadi UF terpaksalah terima hakikat yang sijil-sijil tu dah hilang dan itu harga yang UF terpaksa bayar untuk mohon Universiti Damascus. Sebab tulah UF bila jumpa balik sijil MA (versi bahasa Melayu) tu rasa bersyukur sangat. Sekurang-kurangnya tak hilang semua sebab sijil MA ni dapat 2 versi, satu bahasa Melayu dan satu lagi bahasa Inggeris dan yang hilang tu versi bahasa Inggeris.

11 Disember 2008

Kekuatan Solat Hajat

Tadi imam surau Kota Warisan mohon para jemaah sekelian selepas solat Isyak, untuk solat hajat kepada seorang bayi yang baru lahir sebulan tetapi koma di IJN akibat masalah jantung. UF terus teringat peristiwa bagaimana dulu isteri UF juga pernah terlantar selama 3 minggu tidak sedarkan diri di ICU Hospital Besar Pulau Pinang akibat masalah buah pinggang.

Hampir tiap hari bila UF melawat isteri, UF baca surah Yasin dan berdoa agar Allah sembuhkan isteri dan dapat sedar kembali. Sehinggalah pada minggu ketiga (kalau tak silap 20 Januari 2006), hari Jumaat UF pergi solat Jumaat di Masjid Daerah Butterworth dekat rumah UF. Sebelum khutbah Jumaat, UF berjumpa dengan imam masjid dan mohon supaya selepas solat Jumaat diadakan solat hajat untuk isteri UF.

Selepas solat Jumaat dan solat hajat tu, UF pergi ke hospital dan bila sampai saja di ICU, UF dapati isteri UF dah sedar tetapi dalam kebingungan. Ketika itu juga, UF panjatkan syukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana memakbulkan doa dalam solat hajat tadi. Mungkin di kalangan jemaah yang solat hajat tadi ada yang makbul doanya. Terasa yang keyakinan kepada Allah bertambah ketika tu kerana UF yakin bahawa Allah sentiasa mendengar doa hambanya. Sekejap atau lama Allah memakbulkan doa terpulanglah kepada Allah, tapi yang paling penting kita sebagai hambanya tidak boleh jemu berdoa.

UF cadangkan sesiapa yang mempunyai masalah yang besar, tundukkan diri kepada Allah dalam keadaan penuh tawaduk dan buatlah solat hajat, mohon kepada Allah agar dilepaskan daripada masalah tersebut. Menunaikannya bersama-sama muslimin yang lain lebih afdal. Mungkin ada yang tidak percaya, tetapi buatlah dulu insya Allah akan termakbul segala permintaan yang baik. Paling penting jangan ada dalam hati sekelumit perasaan waswas terhadap Allah. Lama atau tidak, itu urusan Allah, urusan kita hanyalah berdoa! Didoakan agar bayi tadi disembuhkan oleh Allah agar dapat hidup menjadi seorang muslim yang mu'min lagi soleh.... Amin!

28 November 2008

DIMASHQU (2)

Aku mula mencari maklumat universiti-universiti yang terletak di Timur Tengah. Aku melayari laman web semua universiti-universiti negara Arab. Aku ingin mencari pengajian Ph.D secara penulisan tesis sahaja tanpa kerja kursus, tapi aku inginkan universiti yang tidak ramai pelajar Malaysia di situ. Akhirnya di hadapanku ada tiga negara yang menjadi pilihan.

Pertama Universiti Kaherah, Mesir, kedua Universiti Damascus, Syria dan yang terakhir ialah universiti-universiti di Maghribi. Namun Universiti Kaherah adalah pilihan terakhir kerana aku pernah belajar di Mesir selama empat tahun. Selepas tamat pengajian aku masih tinggal di Mesir dua tahun lagi. Jadi bererti sudah enam tahun aku hidup di Mesir, maka aku perlu mencari angin baru.

Yang tinggal ialah Syria atau Maghribi. Maklumat tentang Universiti Damascus, Syria tidak banyak di ketahui. Selain daripada maklumat dalam laman web universiti yang menyatakan bahawa Fakulti Syariah ditubuhkan pada tahun 1954 dan ia menawarkan ijazah hingga peringkat Ph.D, maklumat-maklumat lain tiada. Melalui kawan-kawan dan pelajar-pelajar Malaysia yang pernah ke Syria, tiada pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di Universiti Damascus pada peringkat Master atau Ph.D. Yang ada hanyalah pelajar ijazah pertama, itupun bilangannya sekitar lima atau enam orang sahaja. Di Syria, hanya Universiti Damascus sahaja yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Di Maghribi pula terdapat lebih kurang tiga belas universitinya diiktiraf oleh JPA. Terdapat dua orang pelajar lepasan universiti di Maghribi yang aku kenal. Yang pertama Rosli bin Mokhtar yang aku kenal semasa aku membuat Master di UKM dan seorang lagi Azhar Ibrahim bin Resedi, pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM. Melalui merekalah aku mendapat maklumat tentang universiti-universiti di Maghribi.


BERSAMBUNG...

23 November 2008

Ceramah Syeikh Wahbah al-Zuhaili

Habis seminar ISCOM anjuran FSU, USIM, Syeikh Wahbah al-Zuhaili meberikan 3 ceramah di USIM. Yang pertama pada 20 nov 2008 (pagi) kepada para pelajar (khususnya pelajar Fiqh & Fatwa FSU) dan pensyarah. Tajuknya "Nahwa Bina' al-Malakah al-Fiqhiyyah" dan ia berkisar tentang membina skil untuk berijtihad. Antara lain beliau menyentuh tentang kepentingan menguasai beberapa perkara yang lazimnya syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh Mujtahid seperti menguasai ilmu al-Quran dan Sunnah, menguasai Bahasa Arab, menguasai Usul Fiqh dan lain-lain. Satu perkara lain yang ditekankan oleh Syeikh Wahbah ialah jangan memberi fatwa sebelum berumur 40 tahun kerana 40 tahun ialah umur "matang" sama seperti umur Nabi menjadi Rasul.

Ceramah kedua pada 20 nov 2008 (petang) juga bertajuk "Kaifa Taktub al-Bahs al-Ilmi", ia adalah ceramah tertutup kepada para pensyarah tentang cara menulis satu kajian atau buku dalam ilmu pengajian Islam.

Ceramah ketiga pada 21 nov 2008 (pagi) pula bertajuk "al-Fatawa al-Shazzah Wa Mauqifuna Anha" yang dibentangkan dalam wacana ilmiah anjuran INFAD. Ia terbuka kepada umum dan dalam ceramah ini Syeikh Wahbah menyentuh mengenai beberapa fatwa pelik yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seseorang mufti, sama ada ia menyalahi nas qat'ie atau ia berdasarkan pendapat yang lemah dalam mazhab.

Banyak manfaat dari ketiga-tiga ceramah yang disampaikan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili dan Insya Allah kalau diberikan kesempatan oleh Allah, UF akan tulis (salin semula) ceramah tersebut dan diterbitkan dalam jurnal atau buku.

22 November 2008

DIMASHQU (1)

Aku pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Aku mula bertugas di USIM pada 13 April 2001 sebagai seorang tutor. Ketika itu aku telah selesai menulis tesis Master di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sedang menunggu viva tesis.

Aku antara tenaga akademik awal yang berkhidmat di USIM malah nombor staf aku agak istimewa iaitu S100. Alhamdulillah aku dinaikkan pangkat sebagai pensyarah setahun kemudian itu iaitu pada 1 April 2002 selepas aku mendapat ijazah Sarjana.

Setelah disahkan dalam jawatan pada 15 Oktober 2004, aku mula membuat perancangan untuk menyambung pengajianku ke peringkat Doktor Falsafah. Hasrat pertama aku ialah menyambung pengajian ke luar negara kerana memang ada peruntukan kerajaan untuk pensyarah universiti ke luar negara. Lagipun jauh perjalanan, luas pengalaman bak kata orang.

Pada mulanya teringin juga aku pergi ke UK untuk Ph.D, apatah lagi aku mendapat Sarjana Muda di Mesir dan Sarjana pula di Malaysia. Jadi hendak juga aku beralih angin ke Eropah pula. Tapi bila aku fikir semasak-masaknya, bidang pengkhususan aku sebenarnya terletak di Timur Tengah, aku nekad untuk menyambung pengajian Ph.D aku ke situ. Apatah lagi aku tidaklah fasih sangat berbahasa Inggeris, jadi hasrat ke UK ku pendam dalam hati.


BERSAMBUNG...

17 November 2008

Syeikh Wahbah al-Zuhaili


Tengahari tadi kawan se fakulti call ajak pergi makan dengan Syeikh Wahbah al-Zuhaili. Syeikh Wahbah datang Malaysia semepena seminar International Seminar on Comparative Law (ISCOM2008) di Marriot Hotel, Putrajaya pada 18-20 November 2008. Kami pergi makan di restoran arab Saba Cyberjaya.

Syeikh Wahbah lebih kurang macam Syeikh al-Buti. 2 orang ulama Syria ni memang terkenal seluruh dunia Islam. Syeikh Wahbah banyak menulis buku yang mashur antaraya al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, Tafsir al-Munir dan lain-lain.

UF masa berada di Syria selalu mengikuti kelas pengajian Syeikh Wahbah di Masjid al-Kuwaiti yang berhampiran rumahnya. Dia mengajar Tafsir al-Munir karangannya sendiri. Dekat Kuliah Syariah, Universiti of Damascus pun UF selalu jumpa dia sebab dia mengajar di situ. Malah kenangan manis UF dengan Syeikh Wahbah ni bila satu hari UF berjumpa dengan penyelia UF, Dr. Tawfiq (anak Syeikh al-Buti) nak bincang pasal proposal tesis di kuliah. Kemudian Dr. Tawfiq ajak masuk dalam pejabat kuliah, kebetulan Syeikh Wahbah ada dalam pejabat tu.

Dr. Tawfiq pun terus tunjukkan proposal UF pada Syeikh Wahbah dan mohon jasa baik Syeikh untuk tolong tengokkan proposal tu. Syeikh Wahbah pun tak cakap banyak, dia baca proposal tu dan betulkan sedikit sebanyak kandungan dalam proposal. UF masih simpan proposal tu yang ada tulisan Syeikh Wahbah, saja nak buat kenangan.

13 November 2008

Novel Online

Dulu UF pernah memasang niat untuk menulis sebuah novel, tapi tak jadi kenyataan sampai sekarang pun. Tajuknya dah ada, jalan cerita pun dah ada tapi entahlah, mungkin cerita tu rekaan kot, jadi takdak spirit untuk menulis. Nak menulis novel ni bukannya senang sebab ia memerlukan kreativiti dan kesungguhan, kalau tak memang payah nak menjadi.

Tapi bila zaujah UF sakit masa kat Syria dulu, ada "cerita" yang memilukan hati UF dan kalau UF teringatkan balik, memang terkadang bergenang air mata jugak. Timbul balik idea nak tulis novel, tapi kali ni novel yang berdasarkan sebuah kisah benar yang terjadi pada UF kat Syria masa zaujah sakit.

Idea kasar dah pun UF tulis sikit, masa UF "berseorangan" kat Syria lepas zaujah dah pulih dan sihat. Time tension teringat anak dan bini, UF tulis pengalaman berhadapan saat mula zaujah sakit hingga balik ke Malaysia dan masuk hospital sampai koma 3 minggu.

UF akan tulis novel ni (mungkin lebih kepada catatan) secara online, tak tahulah pernah orang buat atau tak. Sambil sibuk untuk siapkan tesis dan menulis dalam blog ni, UF akan cuba untuk tulis novel ni sampai siap Insya Allah. Tajuk novel ni:

"DIMASHQU"

(Sebuah kisah benar yang meruntun kesabaran seorang suami)

06 November 2008

Kenapa Fiqh Ada 4 Bahagian Utama

UF tertarik satu isi penting dalam ucaptama Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Mufti Pulau Pinang, Dato' Hasan Ahmad. Beliau menyebut kenapa kitab-kitab fiqh selalunya membincangkan 4 bab utama:

1) Ibadat
2) Muamalat
3) Munakahat
4) Qada' (termasuk dibawahnya Jinayat)

Sebabnya Allah jadikan 4 perkara dalam kehidupan manusia:

1) Keinginan/kekuatan berfikir.
Apabila manusia berfikir dengan mengikut akal yang waras dan berpandukan kepada ajaran Islam, maka akan timbul keinginan untuk beribadat kepada tuhan yang mencipta manusia iaitu Allah Subhanahu Wataala. Jadi bab ibadat (yang didahului dengan bab Taharah/bersuci) memberi panduan kepada manusia bagaimana beribadat kepada Allah.

2) Keinginan/kekuatan makan/minum (nafsu perut)
Manusia memang dijadikan berhajat antara satu sama lain dan kebolehan mereka tidak sama. Ada yang tahu bercucuk tanam dan ada yang tidak. Ada yang mempunyai sesuatu barang dan ada yang tidak. Tidak semua boleh menanam padi dan mereka memerlukan orang lain bagi mendapatkan beras untuk dimakan. Jual beli, sewa menyewa dan lain-lain yang terkandung dalam bab mumalat menjurus kepada makan minum manusia dan membantu mereka untuk hidup dalam keadaan selesa.

3) Keinginan seks
Secara tabiinya lelaki dan wanita berhajat antara satu sama lain dan hubungan kedua-duanya jika tidak dikawal dengan baik akan menyebabkan kerosakan di muka bumi. Bab munakahat mengawal hubungan ini dengan menghalalkan perkahwinan dan sekiranya perkahwinan dilanda masalah, perceraian semestinya tidak boleh menzalimi mana-mana pihak.

4) Sifat marah/hasad
Apabila manusia diapi-apikan oleh syaitan dan nafsunya, akan timbul perasaan marah yang meluap-luap. Terkadang ia menyebabkan pembunuhan dan kecederaan pada orang lain. Jadi bab al-Qada' tidak membiarkan pesalah terlepas begitu sahaja dan mereka akan dihukumi dengan seadilnya sesuai dengan kesalahan yang dilakukan.

Setiap pembahagian dalam kitab-kitab fiqh ada maknanya yag tersendiri!

Separuh Perjalanan

Alhamdulillah, UF dapat siapkan bab 1 tesis setelah agak 2-3 minggu kepeningan macam mana nak ending bab 1 tu. Baru separuh perjalanan kerana masih ada 1 lagi bab tapi rasanya bab kedua ni agak mudah sikit, harapnyalah.

Ya Allah permudahkan urusanku sehingga dapatku tamatkan penulisan tesisku dengan baik! Amin.

01 November 2008

UNKNOWN STORY

UF tak ingat tarikh sebenar perjumpaan ni, tapi rasanya dalam tahun 2005. Cerita ni memang orang ramai tak tahu sebab perjumpaan ni adalah tertutup. UF telah diajak oleh seorang kawan pensyarah USIM untuk mewakili USIM bersama 4-5 orang pensyarah lain ke satu perjumpaan dengan Dato' Mustapha Mohamed (masa tu dia pengerusi MTEN) di rumah dia berhampiran dengan PWTC (tak tahu apa nama tempat tu). UF diberitahu perjumpaan ni adalah perbincangan bersama Dato' Pa dengan penyarah-pensyarah IPTA untuk membantu MTEN dalam isu pengangguran mahasiswa.

Kami sampai di rumah Dato' Pa lepas Maghrib dan dijamu makan terlebih dahulu, kemudian baru perjumpaan dan perbincangan diadakan. Dato' Pa memulakan ucapan dan dia ada sentuh tentang isu pengangguran mahasiswa yang hangat diperkatakan ketika tu dan memperbetulkan beberapa fakta mengenai isu tersebut. UF tak berapa ingat kesemua isu yang dibangkitkan sebab perjumpaan ni dah lama.

Selepas itu sesi perbincangan dan soal jawab dibuka pada hadirin. UF anggarkan kehadiran malam tu lebih kurang 100 orang termasuk para pensyarah IPTA, pengetua kolej dan beberapa orang TNC. UF antara yang bangun berucap memberi pandangan, sebab seperti yang UF sebut bahawa UF diberitahu yang perjumpaan ini adalah perbincangan untuk membantu MTEN bagaimana membantu mahasiswa yang menganggur.

Jadi UF beri cadangan supaya mahasiswa yang menganggur ini diambil menjadi jurulatih tetap Program Latihan Khidmat Negara. Daripada kerajaan mengambil pensyarah IPTA yang memang telah bergaji tetap, lebih baik melantik mahasiswa yang menganggur sebagai jurulatih. Jadi kita boleh mengurangkan masalah pengangguran mahasiswa. Seorang kawan pensyarah USIM yang lain mencadangkan agar pihak kerajaan tidak mengenepikan pelajar lulusan timur tengah kerana mereka jarang didedahkan tentang kerjaya berbanding pelajar dalam negara.

Jadi pada mulanya memang perbincangan menjurus ke arah isu pengangguran mahasiswa. Tapi lama-lama, perbincangan mula bertukar tempo dan dah jadi mesyuarat UMNO pulak. Kenapa UF kata begitu, sebabnya hadirin terutama beberapa orang pengetua Kolej dan TNC beberapa IPTA mula membebel dan bercerita tentang UMNO dan sesetengah tu pulak mengampu (pada pemerhatian UF) Dato' Pa.

Yang pengetua kolej dok mengadu pelajar di kolej mereka suka menentang kerajaan. Yang TNC dok bangga dia tubuhkan beberapa cawangan UMNO. Yang lain pulak cadangkan agar pensyarah yang cenderung kepada pembangkang jangan dinaikkan pangkat. Sebab mereka kata pensyarah macam ni akan mempengaruhi pelajar.

Isu asal dan pokok tentang pengangguran terus diketepikan dan yang tinggal hanya perbincangan pasal UMNO, UMNO dan UMNO. Barulah UF tahu dan dapat saksikan dengan mata kepala UF sendiri, rupanya manusia macam ni pun ada. Amat rugilah negara mempunyai pensyarah, profesor dan TNC yang berfikiran macam ni. UF hairan, takkan Dato' Pa tak faham yang mereka ni dok megampu dia atau dia memang suka macam tu, Wallahu A'lam. Perjumpaan ni tamat hampir jam 12 malam dan UF pulang ke rumah dengan seribu pertanyaan, apa dah jadi dengan dunia akademik di Malaysia yang tercinta ni?

UF masih teringat dan amalkan pesan ustaz UF masa mengaji di Ma'hadul Azhar, Pulau Pinang dulu. Dia pesan kamu nak sokong mana-mana parti pun terpulanglah pada kamu, tetapi bila kamu nak mengaji atau berada dalam kawasan sekolah ni, sangkut ideologi politik kat pagar sekolah sebelum masuk. Itulah yang UF terapkan dalam kelas kepada pelajar-pelajar UF.

Kita bukan mengajar pelajar kita untuk menjadi ahli UMNO atau PAS atau PKR, tetapi mengajar mereka untuk menjadi hamba Allah yang pakar dalam bidang mereka. Yang faham dan amalkan ilmu yang dipelajari yang mampu memberi kebaikan untuk diri mereka sendiri serta kepada masyarakat, negara dan yang paling utama ISLAM itu sendiri.

31 Oktober 2008

Seminar Kebangsaan Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari 2008

Pada 29-30 Oktober 2008 yang lepas UF telah menghadiri Seminar Kebangsaan Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari 2008 anjuran bersama Bahagaian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM dan JAKIM. UF telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk "Fiqh Ahwal: Kepentingannya Dalam Fatwa" dalam seminar tersebut.

Secara ringkas kertas kerja yang UF bentang ni berkisar kepentingan para mufti meraikan "keadaan" orang ramai sebelum memutuskan sesuatu fatwa. Prinsip meraikan keadaan sememangnya telah dijelaskan oleh al-Quran dan Sunnah, begitu juga telah dibincangkan oleh para ulama silam seperti Ibnu al-Qayyim, al-Qarafiyy, Ibnu Abd al-Salam dan lain-lain dalam kitab mereka. UF membawa 2 contoh fatwa Jawatankuasa Fawta Kebangsaan yang diaggap sebagai fatwa yang meraikan keadaan orang ramai. Berikut adalah fatwa tersebut:

1) Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Siri 2 (Sembahyang Jamak Kerana Menjalani Rawatan Penyakit-Penyakit Kronik di Hospital-Hospital Kerajaan/Swasta). Muzakarah kali ke 49, 19 Sepetember 2000 memutuskan seperti berikut :"Hukum sembahyang jamak kerana rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama seperti menjalani rawatan hemodialisis bagi penyakit buah pinggang dan seumpamanya adalah harus".

2) Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Siri 1 (Sembahyang Jumaat Polis dan Tentera Yang Sedang Bertugas). Muzakarah kali ke 14, 22-23 Oktober 1985 memutuskan bahawa :“Adalah harus bagi polis dan tentera meninggalkan sembahyang Jumaat kerana menjalankan tugas-tugas keselamatan yang dikira uzur syarie kerana mereka terpaksa bertugas dengan syarat tidak meninggalkan sembahyang Jumaat 3 kali berturut-turut".

Untuk penjelasan lanjut dan terperinci berkenaan 2 fatwa ini, boleh rujuk kepada kertas kerja yang disediakan oleh UF dalam seminar tersebut. Untuk membeli prosiding seminar pula, boleh dapatkannya di JAKIM Putrajaya.

23 Oktober 2008

Tiada rezki ke Jordan

Dalam post lepas UF ada sentuh pasal peluang pelajar tajaan KPT dalam dan luar negara untuk bentang kertas kerja dalam seminar atau kutip data. Memang UF pernah pergi ke KPT untuk tanyakan hal tersebut dan jawapannya seperti yang UF sebut sebelum ini. UF pelajar tajaan KPT dalam negara memang kecewa sebab tak boleh pergi ke luar negara untuk cari bahan dan hanya boleh ke luar negara atas kapasiti pembentang kertas kerja sahaja.

Kekecewaan itu terubat bila UF hantar satu kertas kerja untuk seminar Ta'amul Ma'a al-Nusus al-Syariyyah anjuranUniversity of Jordan pada 4-6 November 2008 dan diterima untuk pembentangan. Memang rasa gembira sebab berpeluang ke Jordan untuk bentang kertas kerja di samping cari bahan untuk tesis Ph.D. UF pun buat permohonan bersama seorang lagi sahabat UF kepada Jawatankuasa Cuti Belajar (JKCB) USIM yang dipengerusikan oleh Dato' NC.

"Ku sangka bahagia jawapannya, tapi kecewa akhirnya" bila diberitahu keputusan JKCB tidak meluluskan pemergian UF ke seminar tersebut. Alasannya UF pernah guna peruntukan tiket kapal terbang masa pergi Syria dulu, jadi tiada lagi peruntukan tersebut untuk UF gunakan ke Jordan. Bila dapat tahu keputusan tu, memang hancur luluhlah perasaan UF. Manakala kawan UF tu memang dapat pergi sebab dia hanya sambung Ph.D di UIAM.

Keesokan pagi UF pergi jumpa Dato' NC sendiri untuk buat rayuan, tapi Dato' NC kata "rule is rule", sebab dah jadi polisi KPT. Dia kata bagi pihak dia, memang dia galakkan pergi tapi USIM tak boleh bantu beri peruntukan sebab melibatkan polisi KPT. Jika diberi juga ia akan menimbulkan masalah kepada USIM dengan audit.

Walaupun kecewa, tapi UF akur dan pasrah sebab tidak semua perkara dalam dunia ni kita akan dapat. Terkadang kita gembira, terkadang kita terluka dan yang penting jangan cabaran ini menjadikan diri kita sebagai negatif. Terima hakikat ini dengan hati positif dan UF masih positif. Mungkin tidak kali ini, tapi akan dapat yang lebih besar akan datang.

06 Oktober 2008

Penyelidikan bidang Sains dan Sosial

UF bersetuju dengan pandangan Prof. Madya Mohamad Md Yusof dari Pusat Pengajian Komunikasi, USM yang disiarkan dalam Berita Harian 6 Oktober 2008. Beliau mengutarakan kepentingan penyelidikan yang seimbang antara bidang sains dan sosial di IPT. Beliau memberi contoh Unversiti Harvard yang tidak mengkesampingkan penyelidikan bidang sosial di samping bidang sains.

Jadi pihak kerajaan terutama Kementerian Pengajian Tinggi semestinya mengambil pendekatan yang adil kepada dua bidang ini di universiti-universiti tempatan demi menggalakkan penyelidikan yang lebih baik. Ini kerana kedua-dua bidang adalah penting untuk pembangunan negara dan satu pihak tidak boleh mendabik dada dengan menyatakan bahawa bidangnya sahaja yang mampu membawa kemajuan dan pembangunan Malaysia.

Adil bukan bererti peruntukan penyelidikan dibahagi sama banyak kerana kita faham dalam bidang sains, selalunya ia melibatkan kos yang tinggi. Adil dalam erti kata bidang sosial tidak dianaktirikan atau dinafikan peluang untuk melakukan penyelidikan yang kompeten. Namun UF tidak mengatakan yang selama ini bidang sosial (termasuk pengajian Islam) dinafikan hak penyelidikan kerana sudah banyak penyelidikan yang baik dalam bidang tersebut.

26 September 2008

Kenangan di Syria

UF mula menyambung pengajian Doktor Falsafah pada hujung 2005 di Universiti Damascus, Syria. UF adalah pelajar Malaysia yang pertama diterima di situ untuk pengajian Ph.D dengan bantuan Dr. Tawfiq al-Butiyy (anak Syeikh Ramadan al-Butiyy ulama yang terkenal di Syria). UF berurusan dengan Dr. Tawfiq untuk urusan sambung belajar dan Dr. Tawfiq banyak membantu sehingga UF diterima masuk di situ . Bila dapat tawaran dari Universiti Damascus, UF gembira sangat sampai botakkan kepala kerana bernazar. Lepas Raya Aidilfitri tahun 2005, pada 15 Disember UF sekeluarga berangkat ke Syria, namun baru 2 minggu berada di sana kami terpaksa pulang ke Malaysia kerana masalah kesihatan isteri UF.

Setelah isteri UF sihat, UF pergi semula seorang ke Syria pada bulan Mac 2006 untuk meneruskan pengajian. Alhamdulillah Dr. Tawfiq al-Butiyy telah dilantik sebagai penyelia tesis UF. Jadi UF pun menyiapkan proposal (yang dipinda sebanyak 4 kali) dan bila siap UF memasuki viva proposal yang ditetapkan oleh Universiti Damascus. Pertengahan bulan April UF pulang ke Malaysia untuk menghadiri kursus PTK 3 anjuran USIM. Kemudian penghujung bulan Jun, UF ke Syria semula dan mula menulis tesis yang telah diluluskan pada peringkat Jabatan, Fakulti dan Universiti.

Tetapi UF masih belum boleh mendaftar sebagai pelajar rasmi Universiti Damascus lagi kerana kelulusan terakhir ialah pada peringkat Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Dalam Negeri Syria (sistem di Syria lain sikit). Dikhabarkan yang kelulusan itu akan diperolehi penghujung tahun 2006. Pada minggu ke 3 bulan Julai, UF dapat SMS dari isteri yang dia akan dimasukkan ke dalam wad semula. Setelah berfikir masak-masak, UF ambil keputusan untuk berbincang dengan penyelia untuk pulang ke Malaysia dan menulis tesis di sini. Dr. Tawfiq mengizinkan dan kami berhubung melalui emel sahaja.

Namun, sehingga tahun 2007, kelulusan yang ditunggu-tunggu masih belum diperolehi dan banyak kali UF bertanyakan hal itu kepada Dr. Tawfiq, tapi dia juga tidak dapat memberi jawapan. Sehinggalah bulan Mac 2007, masih tidak dapat kelulusan itu, jadi UF berbincang dengan Dekan dan ambil keputusan untuk berpindah ke universiti tempatan. Walaupun sudah banyak menulis tetapi dengan tiada kelulusan pihak kementerian Syria, status UF sebagai pelajar Universiti Damascus yang rasmi adalah tergantung.

Walaupun berasa amat berat hati untuk menamatkan perjuangan yang belum sempat selesai di Universiti Damascus, namun UF mesti berpindah universiti kerana tempoh sambung belajar hanya tinggal setahun setengah sahaja lagi. Jadi pada Julai 2007 UF mendaftar sebagai pelajar Doktor Falasafah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kenangan singkat di Syria amat diingati, tetapi di sebalik apa yang terjadi sudah pasti ada hikmahnya dan UF reda dengan ketentuan Ilahi.

16 September 2008

Kementerian Pengajian Tinggi Perlu Adil

Tenaga akademik di semua IPTA berpeluang untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana ataupun doktor falsafah di bawah biaya Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Ada yang menyambung pengajian dalam negara dan tidak kurang juga yang ke luar negara. Ramai yang memilih untuk menyambung pengajian ke luar negara kerana beberapa faktor seperti tempat pengajian tersohor, elaun luar negara yang tinggi dan lain-lain. Namun tidak semua yang mendapat peluang ke luar negara kerana kekangan kuota universiti masing-masing.

Walaupun begitu, sama ada menyambung pengajian dalam atau luar negara, yang penting ialah mendapat segenggam ijazah peringkat tinggi. Ini untuk memastikan semua IPTA mempunyai tenaga akademik yang memiliki kelulusan doktor Falsafah sekurang-kurangnya tujuh puluh peratus menjelang 2010 seperti saranan kerajaan.

Namun yang dipersoalkan ialah perbezaan keistimewaan antara pelajar dalam negara dan pelajar luar negara dari segi peluang mengutip data dan menghadiri seminar. Bagi pelajar yang menyambung pengajian di luar negara, mereka mempunyai peluang untuk mengutip data atau menghadiri seminar berkaitan pengkhususan mereka di negara lain sekali sepanjang pengajian. Manakala pelajar dalam negara hanya mempunyai satu peluang iaitu menghadiri seminar sahaja dan tidak ada klausa "atau" mengutip data untuk mereka.

Pelajar di luar negara bukan sahaja dapat ke luar negara dengan pelbagai elaun yang banyak, kemudian ditambah lagi dengan dua peluang yang disebutkan tadi. Sedangkan pelajar dalam negara tidak mendapat peluang sedemikian.

Bagi pelajar dalam negara, sekiranya sepanjang pengajian tidak ada seminar berkaitan bidang pengkhususan mereka, maka mereka tidak berpeluang ke luar negara untuk mengutip data. Sedangkan pelajar di luar negara, sekiranya tiada seminar berkaitan, mereka masih berpeluang lagi sama ada ke negara lain atau pulang ke Malaysia (selalunya) untuk mengutip data.

Justeru, Kementerian Pengajian Tinggi perlu menilai semula dasar yang sedia ada dan bersikap adil dalam memberi peluang yang sama rata kepada pelajar tajaannya yang berada di dalam dan luar negara. Apa yang dipohon ialah pelajar dalam negara juga diberikan peluang untuk mengutip data atau menghadiri seminar di luar negara, sama seperti yang diberikan kepada pelajar di luar negara untuk memantapkan kajian yang dijalankan.

27 Ogos 2008

Pilihanraya Kecil Permatang Pauh

UF balik kampung untuk Pilihanraya kecil Permatang Pauh tapi bukan UF yang mengundi, namun isteri yang mengundi kerana dia berasal dari Penanti yang terletak dalam parlimen Permatang Pauh. Kami bertolak jam 7 malam selepas isteri habis mengajar dan sampai lebih kurang jam 12 tengah malam. Setakat tol Juru keadaan lalu lintas masih biasa dan tidak ada kesesakan, tapi bila kami sampai di Kubang Semang, kami terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang amat teruk. Biasanya perjalanan dari susur keluar Kubang Semang dari lebuh raya Butterworth Kulim ke masjid Kubang Semang tidak sampai 1 minit pun, tapi malam tu kami terperangkap hampir sejam. Kelihatan orang begitu ramai dalam masjid dan kedai yang terletak bersebelahan masjid tersebut walaupun jam sudah pun menunjukkan pukul 1.15 pagi. Lalu lintas kembali lancar selepas masjid Kubang Semang dan kami meneruskan perjalanan ke rumah ibu mertua. Kami melalui Yayasan Aman yang terletak bersebelahan Sekolah Menengah Penanti dan kelihatan penyokong Keadilan masih ramai di situ dan akhirnya sampai ke rumah dengan selamat lebih kurang jam 1.30 pagi.

HARI MENGUNDI

Kami keluar mengundi jam 10 pagi. Kami hanya berjalan kaki ke Sekolah Menengah Penanti yang terletak lebih kurang 150 meter dari rumah memandangkan jalan ke sana begitu sesak dengan kenderaan. Isteri UF bersama ibu mertua masuk mengundi dan UF pergi ke rumah abang ipar yang terletak berhadapan dengan sekolah tersebut. Kelihatan penyokong dan peraih undi Keadilan dan BN begitu sibuk menjalankan tugas, penyokong Keadilan lebih mendominasi, manakala penyokong BN kelihatan agak lesu. Dikatakan keadaan di Sekolah Rendah Penanti lebih panas kerana DSAI dan isteri DSWA mengundi di situ. Selepas mengundi kami ke rumah UF di Telok Air Tawar dan pulang semula ke Penanti jam 5 petang dan kami melalui Permatang Pasir untuk melihat keadaan. Bila sampai di Bukit Indera Muda, kami terperangkap dalam kesesakan yang begitu teruk sehingga ke Pekan Penanti. Ini kerana orang ramai mula menuju ke Yayasan Aman dan Maktab Tunku Bainun untuk berkumpul dan menunggu keputusan pilihanraya. Dari Bukit Indera Muda ke rumah mertua hanya 5 minit tapi pada petang tu, sejam setengah terperangkap. Kami bertolak pulang ke Sepang selepas maghrib dan ketika melalui depan Yayasan Aman, kelihatan begitu ramai orang dan petugas-petugas memberitahu yang DSAI telah mendapat 31,000 undi secara tidak rasmi. Kami sampai di rumah lebih kurang jam 1.30 pagi.

12 Ogos 2008

Seminar Ijtihad dan Ifta'

Alhamdulillah bermula 12 - 14 Ogos 2008 berlangsungnya Seminar Antarabangsa Ijtihad dan Ifta' anjuran Jabatan Fiqh dan Usul, Kulliyyah Ilmu Wahyu, UIAM di universiti tersebut. UF turut menyertai seminar tersebut sebagai pembentang kertas kerja. UF membentangkan kertas kerja yang bertajuk "Ahammiyat Mura'at al-Ahwal Fi al-Ifta': Dirasah Tahliliyyah Tatbiqiyyah Fi Daw'i Waqi' al-Ifta' al-Mu'asir" (dalam bahasa arab). Seminar ini dihadiri oleh ramai ulama Islam dari seluruh dunia yang menyentuh isu-isu berkaitan Ijtihad dan Fatwa dalam Islam. UF bentang pada hari pertama lagi, mula-mula tu rasa ketar juga sebab dah lama tak bentang dalam bahasa arab. Tapi alhamdulillah, walaupun banyak soalan dan komen dikemukakan, Allah bagi kekuatan untuk UF menjawab dengan baik.

27 Jun 2008

Once Upon A Time in UKM "Part 2"

Satu perjumpaan diadakan tak lama selepas tu... UF ucapkan syabas kepada FPI kerana bersikap terbuka dan mahu berjumpa dengan pelajar bagi menyelesaikan masalah-masalah yang timbul.... UF diberi peluang berucap dalam majlis tu sebagai mewakili para pelajar master... UF menjelaskan tujuan perjumpaan ialah menuntut FPI agar mempertimbangkan tuntutan memorandum yang diserahkan demi kebaikan para pelajar... kami mempunyai bukti untuk tuntutan tersebut dan bukannya tuntutan kosong... alhamdulillah pihak FPI berjanji akan meneliti semua tuntutan dalam memorandum tersebut.... dan UF ucap syabas sekali lagi kerana semua pihak daripada dekan, tim. dekan (Pok Ya), ketua-ketua jabatan (kecuali seorang ketua jabatan), pensyarah-pensyarah yang hadir pada perjumpaan tersebut bersikap terbuka dan sudi mendengar keluhan kami.... tapi yang UF geram sebab seorang ketua jabatan menuduh kami membuat tuntutan ini tanpa disokong oleh bukti.... masa dia berucap, UF rasa macam nak bangun buat bantahan ja... tapi disebabkan hormat kepada dia, UF pendamkan saja... Ala Kulli Hal... hasil perjumpaan itu, FPI telah melakukan penambahbaikan dalam pengurusan dan telah mempertimbangkan tuntutan kami.... walaupun UF tidak dapat rasa hasilnya (UF kena tunggu 8 bulan juga baru dapat viva), tapi hasilnya dapat dirasa oleh pelajar-pelajar baru... pelajar dibenarkan serah tajuk semasa semester 2... dan tempoh viva paling lewat pun 4 bulan.... itulah tuntutan kami dalam memorandum yang telah ditunaikan oleh FPI.... syabas sekali lagi... mungkin ramai pelajar master di FPI, UKM tak tahu cerita ni... dan UF pun bukan nak orang kenang UF.... UF hanya membantu dan UF memang suka membantu..... UF mohon pada Allah jika ini dikira amalan soleh, mudah-mudahan ia boleh menjamin UF di akhirat nanti... amin...

Once Upon A Time in UKM

Masa buat master kat UKM (1998-2002), UF dapat tahu daripada sahabat-sahabat lama yang tempoh menunggu viva terlalu lama selepas menyerahkan tesis... UF dapat maklumat ada yang terpaksa tunggu 8 bulan malah ada yang lebih setahun... sedangkan fakulti-fakulti lain tak macam tu... UF tak mahu perkara tu terjadi pada diri UF.... jadi UF ambil inisiatif berbincang dengan sahabat-sahabat yang sedang buat master untuk buat memorandum kepada Fakulti Pengajian Islam (FPI), UKM ... UF sendiri yang mengetuai ad-hoc memorandum tu... tapi ada yang takut juga... alhamdulillah UF dapat kumpulkan lebih 100 tandatangan pelajar master masa tu dan serahkan memorandum kepada dekan (Prof. Dr. Yusus Husin)... antara kandungan utama memorandum tu ialah agar pelajar master dibenarkan serah tajuk di semester ke 2 lagi (bukannya di semester ke 3) kerana terkadang untuk kelulusan tajuk saja dah makan 1 semester.. antara lain ialah percepatkan tempoh viva antara 2 hingga 4 bulan selepas serah tesis akhir... yang paling penting sekali ialah kami mohon untuk diadakan pertemuan dengan pengurusan FPI bagi membincangkan masalah ini... tak lama selepas serah memorandum, dekan panggil UF untuk berjumpa dan bertanyakan apa masalah sebenar... UF bagitau macam yang terkandung dalam memorandum dan mohon untuk perjumpaan pelajar bersama fakulti... dekan bersetuju dan minta supaya diselesaikan cara baik dan tidak menghebahkan perkara ini dalam akhbar (UF tak berniat langsung nak buat macamtu)...

to be continued.........

13 Jun 2008

Bola

Di samping minat dalam bidang akademik... UF juga minat beriadah... dan yang paling UF minat ialah main bola sepak dan badminton.. esok 14 jun UF akan ke Sarawak untuk menyertai sukan staf IPTA dalam acara bola sepak mewakili USIM... posisi UF ialah penjaga gol... bukan la kata hebat sangat tapi sebab minat main... lepas tu rajin turun training, terpilihlah dalam skuad kebangsaan USIM...

M.A

Apa yang UF perhatikan, memang ramai yang sambung pengajian master pengajian Islam dalam Malaysia termasuk kawan-kawan UF sendiri... memang bagus tapi ramai juga yang sekerat jalan... mula-mula semangat masa ambil course work sebab kelas wajib hadir... namun bila dah tamat course work dan mula nak menulis tesis, ramai yang kecundang (bukan semua)... yang UF selalu perhatikan sebabnya ialah bila mula kerja tetap, mulalah semangat nak menulis kendur bahkan terpadam terus... cuba bayangkan kalau dah kerja mula jam 8am, habis kerja jam 5pm... balik kerja mesti letih minda dan fizikal... bila masa nak menulis? UF tak nafikan tekanan semasa buat master memang tinggi... umur dah meningkat, kerja belum dapat... lebih-lebih lagi yang dah berkahwin... sebab itulah UF nasihatkan kepada sesiapa yang nak sambung master, fikirkan sedalam-dalamnya... jangan hanya terikut-ikut kawan yang sambung master sedangkan kita tak bersedia dari segi mental dan fizikal.... rugi amatlah rugi kalau dah bayar 3-4 ribu tapi master sekerat jalan... bukan tak boleh berkerja masa buat master tapi seboleh-bolehnya buat part time macam UF... masa UF buat master dulu UF ngajar iqra' rumah ke rumah lepas asar dan maghrib... bolehlah dapat lebih kurang 3-4 ratus sebulan, cukup untuk tampung hidup bujang masa tu... dan UF komited, pagi UF ke library cari bahan dan petang hingga malam UF ngajar iqra'.... dan alhamdulillah UF berjaya tamatkan pengajian master di UKM... lepas dah tamat menulis tesis barulah UF mula cari kerja tetap... jadi sekali lagi UF nasihatkan kepada semua, jangan bazirkan masa dan duit dengan buat master sekerat jalan... fikir-fikirkanlah!

28 Mei 2008

MA al-Azhar

Emm... dah lama tak menulis... bukan apa, internet takdak kat rumah... so bila datang pejabat barulah boleh access internet... kali ni UF nak cerita pasal kenangan sambung master di al-Azhar.... tahun 1996 selepas grad di universiti al-Azhar cawangan Damanhur... UF bersama beberapa orang sahabat segraduan dari Damanhur cuba memohon untuk sambung belajar di peringkat MA... yang mohon 7 orang.... tapi bila nak masuk imtihan qabul (tahfiz Quran ja= tambah 2 juz lagi jadi 10 juz) tinggal 6... keluar result yang pas 5 orang ja.... bila nak start ngaji yang tinggal 3 orang ja... UF, Apit kodiang (kami 2 ambil Syu'bah Usul Fiqh) dan Poknik Mahdi (Syu'bah Siyasah Syar'iyyah)... bukan apa setakat yang UF tahu masa tu dah banyak tahun sebelum tu takdak pelajar Malaysia yang sambung MA di al-Azhar dalam bidang Syariah (Usul Fiqh, Siyasah dan lain-lain).... jadi dengan kami buat MA telah membuka laluan semula kepada pelajar Malaysia untuk sambung MA selepas itu... berbalik kepada diri UF dan 2 orang lagi tu... tahun pertama kami ikut kelas pastu ambil periksa dan alhamdulillah buat kali pertama UF gagal dalam periksa (gagal 2 daripada 6 subjek)... sistem al-Azhar pulak, kalau gagal walau 1 subjek kena ulang balik semua subjek......kami 3 orang gagal..... habis periksa Apit dan Poknik Mahdi balik Malaysia untuk bercuti..... bila berlaku kegawatan ekonomi tahun 1997-1998 terus 2 orang tu tak datang dah.... tinggallah UF meneruskan perjuangan.... mula-mula tu dah patah semangat pasal tinggal sorang-sorang tapi atas dorongan seorang teman arab, UF gagahkan diri untuk teruskan perjuangan.... UF masih ingat yang UF study bermati-matian daripada pagi hingga ke malam hanya baca buku dan berhenti untuk makan dan solat...namun takdir juga menentukan setelah 4 kali masuk periksa tapi UF tetap gagal 2 subjek.... sebabnya Syu'bah Usul Fiqh menetapkan kuota hanya 6 orang sahaja yang akan "diberjayakan"... bayangkan daripada 70 orang dalam kelas... hanya 6 orang sahaja yang lulus, itupun mereka yang gagal tahun lepas punya.... nasib sahaja siapa yang bakal lulus kerana ada seorang kawan sekelas UF walaupun dia dulu mumtaz tiap-tiap tahun tapi dia pun gagal juga.... UF dapat pengalaman berharga walaupun tak berjaya dapat MA al-Azhar.... UF lebih faham subjek Usul Fiqh daripada sebelumnya.... Alhamdulillah.....

15 Mei 2008

Damanhuri

Sudah 12 tahun sejak UF tinggalkan Damanhur... iaitu tempat UF belajar masa ijazah pertama (universiti al-Azhar cawangan Damanhur, Mesir)... lebih kurang 2 jam setengah naik teksi dari Cairo... ibu negara Mesir.... kami seramai 120 pelajar merupakan generasi pertama yang di hantar ke cawangan universiti al-Azhar di Damanhur... pelbagai kenangan pahit manis sepanjang berada di sana... dan baru2 ni seorang kawan UF buat blog untuk reunion generasi pertama tahun 1992.... alhamdulillah setelah sekian lama terpisah... dapat jumpa balik walaupun dalam blog.... hanya segelintir kecil saja yang UF jumpa balik selepas tamat belajar dulu.... yang lain entah ke mana... mungkin usaha ni dapat menemukan balik kami generasi pertama Damanhur... ala2 jejak kasih la tu....

http://azharidamanhuri92.blogspot.com/

13 Mei 2008

Motivasi

Masa UF mengajar dalam kelas… pelajar-pelajar selalu kata subjek Usul Fiqh payah untuk difahami … antara sebabnya ialah pelajar tidak tahu atau tidak faham untuk apa subjek itu dipelajari … bagi UF mana-mana subjek pun sama … jadi menjadi cabaran kepada pensyarah yang mengajar untuk menarik minat pelajar mereka … UF masih ingat masa sekolah rendah dulu … cikgu lukisan kata hanya subjek lukisan yang menjamin masa depan … betul atau tidak tak tahulah … tapi UF dapat tangkap tujuan cikgu tu kata macam tu … sebab nak naikkan motivasi anak muridnya yang tak minat subjek lukisan … jadi UF pun dalam kelas pertama akan kata, hanya subjek Usul Fiqh yang menjamin masa depan … sebabnya jika diperhatikan subjek Usul Fiqh dalam praktikalnya, bukan sahaja digunakan dalam bidang pengajian Islam atau khususnya dalam bidang syariah, tetapi ia juga digunakan (disedari atau tidak) dalam bidang perubatan, undang-undang dan lain-lain …

nama "usulifaqih"

Mungkin ada orang tertanya-tanya kenapa UF menggunakan nama "usulifaqih" untuk blog ni … buat mereka yang dalam bidang pengajian Islam insya Allah akan faham … namun bagi mereka yang luar bidang tersebut mungkin sedikit kehairanan … UF terangkan sikit … usulifaqih adalah gabungan dua perkataan "usuli" (ahli/pakar usul) dan "faqih" (ahli/pakar fiqh) dan ia diambil daripada dua ilmu iaitu ilmu Usul Fiqh dan ilmu Fiqh … UF guna nama ni bukan nak tunjukkan yang UF terlalu pakar dalam dua ilmu tersebut …. tapi disebabkan UF minat sangat dengan ilmu Usul Fiqh yang menjadi tunjang pengajian Syariah …. Jika tidak ada Usul Fiqh tidak akan ada Fiqh ... lagipun memang UF mengajar subjek Usul Fiqh di USIM dan sekarang pula sedang sambung pengajian di peringkat Ph.D di UIAM juga dalam bidang Usul Fiqh … mudah-mudahan UF dapat memahami bidang tersebut dengan baik, walaupun tidak menjadi mujtahid sehebat imam al-Syafie …. jadi gitulah ceritanya ….

07 Mei 2008

Permulaan Kalam

سم الله الرحمن الرحيم

Salam perkenalan daripada usulifaqih (UF).... baru blaja nak tulis blog.... tapi bukan nak ulas hal2 politik... sebab dah ramai yang tulis.... blog ni pasal diri UF sendiri dan dunia akademik IPTA di Malaysia sebab UF seorang pensyarah di salah sebuah IPTA... ok jumpa lagi...

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage