Oktober 2020


11 Oktober 2020

Tip Mencari Penyelia Tesis

 Post saya sebelum ini mengenai sambung master dan Phd dikongsi lebih dari 1.3k. Ada yang setuju ada yang tidak. Tidak mengapa, kerana ia berdasarkan pengalaman peribadi.

Cuma gaya saya ialah suka provok dan cerita negatif lebih banyak kerana ingin melihat kesungguhan dan paling penting ialah ketahanan bakal pelajar master atau Phd.
Tidak pernah saya halang seseorang untuk sambung belajar. Saya tidak mahu anda berhenti sekerat jalan bila sudah memulakan rehlah pasca siswazah. Diharapkan post sebelum ini, dapat memberi ketahanan mental dan fizikal kepada anda.
Baik.
Anda "degil"kan, anda berani tanggung risiko kan, anda tak kisah sengsara 10 tahun kan. Bagus. Lepas ni tiada lagi toleh belakang, tiada lagi istilah menyesal, dan jangan menangis. Bulatkan tekad dan azam. Tawakal.
Ok jom saya bantu anda. Banyak benda nak kongsi, tapi saya pilih tip pilih penyelia tesis dulu. Eh, boleh pilih penyelia ya? Jawapannya, ya dan tidak.
Bergantung kepada polisi universiti sama ada anda boleh pilih penyelia tesis sendiri atau tidak. Tapi sekurang-kurangnya bila anda ada usaha untuk cari dan pilih penyelia, usaha anda akan membuahkan hasil insya Allah.
Berbanding jika anda hanya "menyerahkan" nasib, fakulti akan menetapkan penyelia untuk anda. Mungkin anda dapat penyelia yang terlalu baik, penyelia yang baik atau penyelia yang teruk.
Jadi, bagaimana hendak memilih penyelia tesis dalam bidang anda?
Jika anda tidak kenal langsung dengan mana² pensyarah di sesuatu universiti, anda boleh meninjau di web fakulti. Kebiasaannya profil dan kepakaran pensyarah ada dipamerkan.
Atau boleh merisik melalui kawan atau senior yang sedang belajar di sesebuah fakulti untuk mengenalpasti calon penyelia.
Kalau dalam bidang Syariah anda boleh bertanya kepada saya atau rakan² pensyarah Syariah lain tentang bakal penyelia tesis dalam bidang Syariah di Malaysia. Insya Allah kami boleh membantu.
Bila sudah mengenalpasti penyelia yang sesuai, langkah seterusnya ialah menghubungi bakal penyelia tesebut. Namun, tolong baca sedikit sebanyak tentang tajuk yang bakal anda kaji sebelum menghubungi beliau.
Jangan hubungi atau pergi berjumpa dengan bakal penyelia dengan idea kosong atau "meminta" tajuk daripadanya. Ini akan memberikan persepsi kurang manis terhadap diri anda.
Katakan anda ada cadangan 2 tajuk kajian. Setiap tajuk tu sekurang-kurangnya anda baca 3-5 penulisan sebagai persediaan untuk berjumpa dengan bakal penyelia.
Kenapa anda perlu menghubungi calon bakal penyelia? Saya bagi contoh di USIM, kalau ada yang datang jumpa saya berbincang tentang tajuk tesis master atau Phd dan ingin berpenyeliakan saya, maka saya nasihatkan agar dalam proposal yang akan dikemukakan kepada fakulti diletakkan nama saya siap² sebagai bakal penyelia tesisnya.
Saya adalah ajk Siswazah fakulti, jadi saya akan maklumkan dalam mesyuarat bahawa pelajar ini telah datang berbincang dengan saya sebelum ini. Kalau saya tidak dapat hadir mesyuarat pun, saya akan maklumkan kepada urusetia bahawa pelajar ini saya akan menjadi penyelianya. Kebiasaannya, fakulti akan meluluskan.
Bagi pelajar yang submit permohonan dalam sistem tanpa menghubungi mana² pensyarah terlebih dahulu di fakulti saya, pihak fakulti akan melantik mana² pensyarah yang tiada atau kurang pelajar siswazah di bawahnya.
Terpulang kepada anda. Anda mahu pilih penyelia tertentu atau tidak kisah siapa sahaja yang akan jadi penyelia, semuanya terpulang kepada anda.
Pengalaman saya buat master dan Phd, tiada siapa yang beri tunjuk ajar kepada saya. Saya hanya berserah nasib kepada pihak fakulti untuk tentukan penyelia. Nasib saya baik bila saya dapat penyelia yang terlalu baik.
Hendak tahu sesorang penyelia itu "syadid" atau tidak, hanya melalui pengalaman kawan atau senior yang pernah belajar atau berpenyeliakan dia. Tapi itu pun terkadang tengok keadaan juga. Mungkin penyelia itu strict dengan kawan anda disebabkan perangai dia sendiri atau faktor lain.
Sesungguhnya dapat penyelia yang baik akan membantu anda dengan tesis. Tapi kalau dapat penyelia yang strict, anda akan bertambah stress di samping stress² yang saya ceritakan dalam post terdahulu.
Semoga Allah takdirkan penyelia yang terbaik untuk anda.

08 Oktober 2020

Doktor Menyambut Kelahiran

 1. Isu doktor wanita menyambut kelahiran kembali menggegar alam maya. Isunya ialah suami dan netizen tidak mahu doktor lelaki menyambut kelahiran dan tidak mahu doktor lelaki melihat, menyentuh apa tah lagi menyeluk (istilah tepat ialah pemeriksaan bukaan) faraj isteri. 

2. Hukum asal atau yang dikatakan hukum azimah ialah haram melihat faraj wanita lain saja-saja. Ia terpakai kepada lelaki dan wanita. Maksudnya orang lelaki yang bukan suami tidak boleh (haram) melihat faraj wanita lain termasuklah faraj mahramnya saja- saja. Begitulah juga orang wanita tidak boleh (haram) melihat faraj wanita lain saja-saja tanpa ada keperluan.

3. Jika alasan doktor lelaki tidak boleh melihat faraj isteri ketika melahirkan anak, sepatutnya alasan sama digunakan iaitu doktor wanita juga tidak boleh faraj isteri ketika melahirkan anak. Ini kerana hukum azimah ialah tidak boleh melihat faraj wanita lain saja-saja. Rujuk point no. 2. Lelaki dan wanita sama sahaja hukumnya. 

4. Namun kita bercakap tentang proses melahirkan anak. Adalah satu keperluan untuk seseorang menyambut kelahiran tesebut. Seseorang itu sama ada seorang lelaki atau seorang wanita. Jadi, keadaan hukum asal azimah telah berubah menjadi hukum rukhsah, iaitu daripada hukum tidak boleh melihat faraj wanita lain saja-saja, kepada hukum "harus" bahkan terkadang menjadi "wajib" untuk melihat faraj wanita yang melahirkan anak. 

5. Proses melahirkan anak telah menjadi hajat (keperluan) atau darurat (kecemasan) yang mana ia dinamakan rukhsah (keringanan) hukum. Hukumnya tidak lagi sama dengan keadaan hukum asal azimah. Ketika berlaku situasi hajat atau darurat, pesakit (isteri) tidak berdosa kerana mendedahkan aurat farajnya kepada orang lain. Doktor samada wanita atau lelaki tidak berdosa melihat faraj wanita lain ketika menyambut kelahiran. Kata kuncinya ialah hukum azimah dan hukum rukhsah. Begitu juga hajat dan darurat.

6. Ya, dari segi awlawiyyatnya adalah lebih baik doktor atau jururawat wanita yang menyambut kelahiran. Sekiranya tiada doktor wanita bertugas, diharuskan kepada doktor lelaki untuk menyambut kelahiran. Sudah tentu, sama ada wanita atau lelaki yang menyambut kelahiran perlu mematuhi prinsip Syarak, antaranya ialah tidak melebihi had sepatutnya. 

الضرورة تقدر بقدرها

7. Tuntutan supaya doktor O&G hanya dikhususkan kepada wanita sahaja demi menyelamatkan maruah faraj isteri adalah penyelesaian juz'ie (kecil atau sebahagian) sahaja. Penyakit-penyakit lain juga memerlukan pendedahan aurat selain faraj seperti barah payudara, tiroid, barah usus dan lain-lain. Dalam keadaan saja-saja (azimah), aurat selain faraj juga haram dilihat. Namun dalam situasi sakit (rukhsah), diharuskan untuk melihat dan menyentuhnya. 

8. Berhujah dengan maqasid Syariah dalam pertembungan hifzu al-din (hukum aurat) dan hifzu al-nafs (nyawa/kesihatan) juga selalu disalahfaham. Ada situasi yang wajib didahulukan al-din seperti jihad. Ada pula situasi yang wajib didahulukan al-nafs demi menjaga al-din seperti rawatan kesihatan khususnya yang melibatkan hidup mati pesakit. Sebab itulah imam al-Shatibi meletakkan satru al-awrah (tutup aurat) dalam kategori tahsiniyyat dan bukannya daruriyyat. 

Wallahu A'lam bi al-Sawab.

DARURAT DAN HAJAT

 Kebiasaannya bila membicarakan situasi genting, kritikal, kronik, kita hanya tahu istilah darurat. Darurat yang difahami ialah keadaan kritikal yang "hanya" menyebabkan kematian. Keadaan yang tidak menyebabkan kematian, kita katakan ia bukannya darurat.

Namun Jamil Ahmad Mubarak (1998) mengemukakan suatu definisi darurat yang lebih jelas iaitu:

"Darurat ialah khuatir akan kematian (khawf al-halak) atau kemudaratan kronik (al-darar al-shadid) terhadap salah satu perkara daruriyyat yang menimpa diri seseorang atau orang lain. Ancaman tersebut diyakini (yaqinan) atau dipercayai (zannan) akan berlaku jika individu tersebut tidak melakukan perkara yang boleh menghindarkan malapetaka atau kemudaratan kronik tersebut".

Berdasarkan definisi tersebut, beberapa perkara penting tentangnya dapat dirumuskan. Antaranya:

i. Darurat merupakan suatu mashaqqah (kesulitan) kritikal yang menyebabkan kematian ataupun ancaman serius terhadap keselamatan nyawa dan fizikal mudtarr serta kelestarian pelbagai daruriyyat al-khams lain.

ii. Mashaqqahnya pula terdiri daripada dua tahap kesulitan iaitu pertama, kesulitan yang menyebabkan kematian atau kemudaratan dan kedua, kesulitan yang menyebabkan kesempitan teruk (diq shadid) terhadap salah satu daripada daruriyyat al-khams. Ini bermakna had minima darurat bermula apabila pengguna menghadapi kesempitan teruk dalam satu perkara, bukannya mesti mencapai tahap maksimum iaitu mati.

Dalam erti kata lain, darurat ada dua situasi iaitu:

1. Situasi yang menyebabkan keadaan kronik atau kritikal tetapi tidak sampai mati.

2. Situasi yang menyebabkan mati.

Bila berlaku situasi darurat, ia mengharuskan perkara yang diharamkan sebelum ini.

Manakala hajat pula didefinisikan sebagai:

"Satu keperluan yang tidak sampai tahap darurat tetapi ia amat perlu dilakukan untuk mengelakkan kesukaran hidup".

Darurat mempunyai asas dalil daripada al-Quran iaitu antaranya firman Allah Taala:

فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

Maksudnya, "Sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa" (Surah al-Baqarah: 173).

Manakala hajat diasaskan dalil hadis Rasulullah SAW:

فَمَنْ صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيُخَفِّفْ فَإِنَّ فِيهِمْ الْمَرِيضَ وَالضَّعِيفَ وَذَا الْحَاجَةِ

Maksudnya, "Sesiapa yang mengimami orang ramai, maka ringankanlah. Ini kerana ada antara mereka orang sakit, orang lemah dan orang yang punya keperluan" (Riwayat al-Bukhari).

Daripada dalil-dalil ini, fuqaha membina kaedah fiqh yang berkaitan dengan darurat, antaranya:

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya, "Kemudaratan perlu dihindarkan".

Antara kaedah fiqh berkaitan dengan hajat ialah:

الحاجة تُنزَّل منزلة الضرورة، عامة كانت أو خاصة

Maksudnya, "Hajat mengambil hukum darurat sama ada ia hajat yang umum atau hajat yang khusus".

Walid Salah al-Din al-Zayr & Hamzah Hamzah (2010) menegaskan bukanlah semua hajat (keperluan) akan dijatuhkan sama hukum dengan darurat, tetapi ada antara keperluan manusia yang boleh mengambil hukum darurat berdasarkan keadaan tertentu. Sebab itulah Walid Salah al-Din al-Zayr menyokong pandangan Ahmad al-Rashid (dalam kitabnya "al-Hajah Wa Atharuha Fi al-Ahkam" bahawa kaedah fiqh berkaitan hajat itu ditambah perkataan "boleh" mengambil hukum darurat" (الحاجة يمكن أن تنزل منزلة الضرورة).

Ini prinsip yang boleh diterima oleh kita semua. Namun dalam aplikasi prinsip dan kaedah berkaitan darurat dan hajat, boleh jadi akan berlaku perbezaan pandangan. 

Apabila saya menulis post sebelum ini berkaitan doktor wanita dan doktor lelaki menyambut kelahiran, ramai juga yang bertanya tentang kehadiran doktor atau jururawat pelatih sama ada lelaki atau wanita ketika proses seseorang ibu melahirkan anak. Adakah kehadiran mereka dianggap "darurat".

Jika kita menganggap ia situasi darurat, sudah tentu hujah kita tidak tepat kerana tanpa kehadiran doktor atau jururawat pelatih, si ibu tetap boleh melahirkan anak. Apatalah lagi memang sudah ada doktor dan jururawat pakar dan terlatih sudah ada.

Kehadiran doktor atau jururawat pelatih hanya pada tahap hajat iaitu keperluan. Persoalannya adakah hajat atau keperluan di sini mengambil hukum darurat atau tidak?

Sebelum saya menjawab persoalan di atas, saya berikan satu lagi contoh "keperluan" yang juga boleh dibincangkan dari sudut fiqh. Antara latihan yang dilalui oleh anggota PALAPES ialah mereka dikehendaki meniarap dalam tempoh yang lama dari jam 6 petang hingga jam 3 pagi sebagai latihan untuk "ambush" pihak musuh. Mereka tidak dibenarkan berdiri langsung.

Jika dilihat dari segi waktu latihan meniarap itu, ia akan melibatkan waktu solat Maghrib. Waktu Asar tiada masalah sebab boleh solat sebelum latihan jam 6 petang. Waktu Isyak pun tiada masalah sebab boleh solat selepas habis latihan jam 3 pagi. Persoalan yang hampir sama, adakah keperluan latihan PALAPES ini boleh menjadi rukhsah untuk tidak qiyam (berdiri tegak) untuk solat Maghrib?

Kedua-dua situasi di atas iaitu doktor/jururawat pelatih dan PALAPES yang menjalani latihan dalam situasi hajat atau keperluan latihan untuk menjadikan mereka lulus dalam bidang masing-masing. Tanpa latihan ini, mereka mungkin tidak lulus latihan dan tidak akan mendapat pengalaman dalam bidang berkaitan.

Kedua-dua situasi bukan dalam keadaan darurat, tapi hanya dalam situasi hajat (keperluan) khusus. Kedua-dua situasi melibatkan situasi sama ada melakukan perkara haram iaitu melihat aurat pesakit (bagi doktor/jururawat pelatih) dan situasi meninggalkan rukun qiyam solat (bagi PALAPES). Kedua-dua situasi bukan situasi saja-saja tetapi atas dasar hajat (keperluan) khusus.

Hukum asal ialah haram melihat aurat orang lain dan jika tidak qiyam dalam solat bagi orang yang mampu berdiri, solatnya tidak sah. 

Jika dibantah kedua-dua situasi itu bukannya darurat, kita katakan ya kita setuju ia bukan darurat. Namun ia boleh jadi darurat peringkat minimum atau setidaknya ia adalah hajat (keperluan) khusus.  

Hajat (keperluan) khusus boleh mengambil hukum darurat iaitu diharuskan perkara yang haram. Darurat adalah salah satu faktor yang menyebabkan hukum rukhsah berlaku. Dan sudah tentu keharusan itu bukan bersifat mutlak tetapi ia tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat sesuai dengan kaedah fiqh:

الضرورة تقدر بقدرها

Maksudnya, "Darurat ada tahap kadarnya".

Seperti yang saya tegaskan tadi, kita boleh bersetuju dengan pembahagian darurat dan hajat. Namun kita boleh berbeza pandangan dalam memberi contoh aplikasi.

رأيي صواب يحتمل الخطأ أو رأيي خطأ يحتمل الصواب.

Maksudnya, "Pendapat ku boleh jadi betul tetapi boleh jadi juga silap. Atau pendapatku silap tetapi boleh jadi juga betul".

Wallahu a'lam bi al-sawab.

RUJUKAN

Ahmad Kafi. T.th. al-Hajah al-Shar'iyyah Hududuha Wa Qwa'iduha. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

Ahmad al-Rashid. 2008. al-Hajah Wa Atharuha Fi al-Ahkam Dirasah Nazariyyah Tatbiqiyyah. T.tp: Dar Kunuz Ishbiliyya.

Mubarak, Jamil Ahmad. 1998. Nazariyyat al-Darurah Hududuha wa Dawabituha. Mansurah: Dar al-Wafa’.

Walid Salah al-Din al-Zayr & Hamzah Hamzah. 2010. Dawabit al-Hajah Allati Tunazzal Manzilat al-Darurah Wa Tatbiqatuha Ala al-Ijtihadat al-Mu'asirah. Majallah Jami'ah Dimashq Li al-Ulum al-Iqtisadiyyah Wa al-Qanuniyyah. Al-Adad 1.


Untuk Apa Kamu Sambung Master atau Ph.D?

 Ramai graduan bertanya kepada saya dan meminta nasihat serta panduan berkenaan bidang atau tajuk untuk sambung belajar selepas Sarjana Muda/Sarjana. Mereka ingin menyambung pengajian sama ada di peringkat sarjana ataupun doktor falsafah.

Sebelum saya menjawab persoalan mereka, saya tanya 1 soalan; untuk apa kamu sambung Master atau Ph.D? Adakah untuk tambah ilmu? Semangat nak sambung belajar? Sebab tak dapat kerja? Kawan-kawan ramai yang sambung belajar? Ikut kekasih sambung belajar juga? Nak jadi pensyarah universiti? Atau untuk apa?

Ramai yang terkejut sebenarnya dengan soalan ini. Saya katakan kepada mereka, biar saya jelaskan keadaannya supaya bila kamu mendengar penjelasan saya, maka kamu tetapkan pendirian sama ada jadi untuk sambung belajar atau tidak. Sama ada kamu ada kesanggupan dan keberanian untuk berhadapan dengan situasi paling sukar dalam hidup kamu atau tidak. 

Setelah mendengar penjelasan saya, kalau kamu tidak sanggup hidup sukar, maka batalkan saja hasrat kamu untuk sambung belajar. Tapi kalau kamu ada keberanian dan kesanggupan tinggi, maka kamu teruskan hasrat kamu itu dan kemudian kita bincang tajuk yang bakal kamu kaji.

Situasinya begini:

1. Yuran pengajian. Untuk dapat biasiswa atau pinjaman sekarang agak sukar khususnya untuk pengajian Islam. Bukan tiada langsung, ada tu ada tapi pilihan bidang pengkhususan yang akan ditaja amat-amat terhad dan tidak menyeluruh ke semua bidang pengajian Islam. MyBrain KPT itu pun perlu bersaing dengan ramai pemohon. 

Nak sambung belajar pakai duit sendiri lagilah mencabar. Yuran 1 semester mencecah 3-5 ribu dan keseluruhan pengajian boleh mencecah 15 ribu. Lagi lama kamu ambil masa menulis, lagi bertambah semester dan lagi bertambah yuran kamu kena bayar.

Oh, saya akan bekerja sambil belajar. Saya katakan, kamu akan buat kesilapan pertama. Kenapa? Pengalaman kawan-kawan saya yang buat master sambil bekerja, tidak ada seorang pun yang siap kecuali seorang yang saya kenal. Bayangkan jika kamu bekerja waktu pejabat 8-5, bila masa kamu nak pergi ke perpustakaan untuk mencari bahan? 

Ini kalau kamu buat kajian kepustakaan, kalau kamu buat kajian lapangan, bila masa kamu nak turun ke lapangan kalau kamu kena kerja 8-5. Oh ya, saya akan pergi perpustakaan atau saya akan ke lapangan selepas waktu kerja. Saya katakan, kamu hanya menipu diri sendiri sahaja. Selepas seharian bekerja, otak akan menjadi penat, badan juga akan menjadi penat.

2. Kamu akan derita 10 tahun dalam perjalanan master dan Ph.D. Kenapa 10 tahun. Kebiasaan waktu normal pengajian master ialah 2 tahun dan Ph.D ialah 3 tahun. Tapi realitinya pengajian master akan menjadi 3-4 tahun dan pengajian Ph.D akan menajadi 4-5 tahun bergantung kepada banyak faktor. Antaranya faktor penyelia, isu birokrasi, semangat yang hilang, menunggu tempih viva yang lama dan lain-lain.

Kenapa saya kata kamu akan menderita (mental dan fizikal) dalam tempoh yang lama? Kerana di saat kawan-kawan kamu sudah bekerja dan ada antara mereka yang sudah naik pangkat, kamu masih terkial-kial dalam pengajian dengan pendapatan yang tiada atau tidak tetap atau tidak mencukupi. Kalau bujang, boleh tahan lagi, tapi kalau sudah berkahwin apatah lagi mempunyai anak, ia benar-benar mencabar.

Kenapa derita 10 tahun? Saya ambil masa yang paling lama untuk master ialah lebih kurang 4 tahun dan Ph.D lebih kurang 5 tahun. 1 tahun lagi tu ding dong faktor-faktor lain yang tidak disebutkan tadi. Jadi, ia akan jadi lebih kurang 10 tahun kamu tidak bekerja dengan pendapatan yang tetap. Dari segi senioriti dalam pekerjaaan pun kamu dah rugi 10 tahun.

3. Kamu sangka ada Ph.D senang dapat kerja? 20 tahun atau 15 tahun dulu mungkin ya khususnya sebagai ahli akademik atau pensyarah universiti. Beberapa tahun lepas semua universiti awam hanya ambil pensyarah yang SUDAH ADA PH.D. Namun sekarang, anda sudah ada Ph.D pun belum tentu boleh menjadi pensyarah tetap di mana-mana universiti. 

Bukan kata tiada langsung, tapi nak bandingkan 10-15 tahun keadaannya tidak sama dengan sekarang. Saya bernasib baik dapat kerja di USIM dan memulakan kerjaya sebagai Tutor yang hanya perlukan Sarjana Muda sebagai syarat kemasukan. Jawatan Tutor sudah dijumudkan dan syarat minimum untuk jadi pensyarah sekarang wajib sudah ada Ph.D. 

Itu antara situasi yang saya ceritakan kepada mereka yang bertanya tentang sambung belajar. Bagaimana? Sanggup teruskan hasrat sambung belajar? Jika sanggup, jika berani dan jika gila-gila, jom kita bincang tajuk tesis.

Jika tidak, pergilah cari kerja atau berniaga. Jika anda degil, percayalah anda hanya membuang masa dengan sia-sia.

"Paksa" Diri Untuk Baca al-Quran, Berzikir dan Berselawat

Fadilat dan kelebihan membaca al-Quran, berzikir dan berselawat tidak perlu saya ulas. Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang menceritakan tentang itu. Itulah penolong kita di akhirat nanti saat kita berhadapan dengan hitungan hisab Allah SWT.

Saya sekadar berkongsi tip pengalaman diri sendiri bagaimana hendak melazimi bacaan al-Quran setiap hari. Begitu juga berzikir dan berselawat.

Dari segi waktu (khsusunya bacaan a-Quran), terpulang pada anda waktu bila hendak beramal dengan tip ini.

Untuk bacaan al-Quran saya memilih selepas solat Subuh. "Paksa' diri untuk membaca al-Quran. Mulakan dengan 1 muka surat setiap hari. Andainya ter skip, maka paksa diri untuk gandakan 1 muka surat keesokkan harinya. Lama kelamaan, anda akan rasa seronok dan mula menambah 2 muka surat, 3 muka surat sehari dan seterusnya.

Untuk zikir dan selawat, saya amalkan wirid zikir selepas waktu solat fardu. "Paksa" diri untuk mengamalkannya walau sesibuk mana pun kita bekerja atau belajar. Tidak mengapa untuk ada tasbih bersama andai ia dapat membantu mengingatkan kita agar berzikir kepada Allah.

Daripada "paksaan" kepada keadaan rela dan seronok selepas itu.

Moga Allah kurniakan kelazatan kepada kita semua untuk membaca al-Quran, berzikir dan berselawat kepada junjungan Nabi Muhammad SAW.

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage