Untuk Apa Kamu Sambung Master atau Ph.D?


08 Oktober 2020

Untuk Apa Kamu Sambung Master atau Ph.D?

 Ramai graduan bertanya kepada saya dan meminta nasihat serta panduan berkenaan bidang atau tajuk untuk sambung belajar selepas Sarjana Muda/Sarjana. Mereka ingin menyambung pengajian sama ada di peringkat sarjana ataupun doktor falsafah.

Sebelum saya menjawab persoalan mereka, saya tanya 1 soalan; untuk apa kamu sambung Master atau Ph.D? Adakah untuk tambah ilmu? Semangat nak sambung belajar? Sebab tak dapat kerja? Kawan-kawan ramai yang sambung belajar? Ikut kekasih sambung belajar juga? Nak jadi pensyarah universiti? Atau untuk apa?

Ramai yang terkejut sebenarnya dengan soalan ini. Saya katakan kepada mereka, biar saya jelaskan keadaannya supaya bila kamu mendengar penjelasan saya, maka kamu tetapkan pendirian sama ada jadi untuk sambung belajar atau tidak. Sama ada kamu ada kesanggupan dan keberanian untuk berhadapan dengan situasi paling sukar dalam hidup kamu atau tidak. 

Setelah mendengar penjelasan saya, kalau kamu tidak sanggup hidup sukar, maka batalkan saja hasrat kamu untuk sambung belajar. Tapi kalau kamu ada keberanian dan kesanggupan tinggi, maka kamu teruskan hasrat kamu itu dan kemudian kita bincang tajuk yang bakal kamu kaji.

Situasinya begini:

1. Yuran pengajian. Untuk dapat biasiswa atau pinjaman sekarang agak sukar khususnya untuk pengajian Islam. Bukan tiada langsung, ada tu ada tapi pilihan bidang pengkhususan yang akan ditaja amat-amat terhad dan tidak menyeluruh ke semua bidang pengajian Islam. MyBrain KPT itu pun perlu bersaing dengan ramai pemohon. 

Nak sambung belajar pakai duit sendiri lagilah mencabar. Yuran 1 semester mencecah 3-5 ribu dan keseluruhan pengajian boleh mencecah 15 ribu. Lagi lama kamu ambil masa menulis, lagi bertambah semester dan lagi bertambah yuran kamu kena bayar.

Oh, saya akan bekerja sambil belajar. Saya katakan, kamu akan buat kesilapan pertama. Kenapa? Pengalaman kawan-kawan saya yang buat master sambil bekerja, tidak ada seorang pun yang siap kecuali seorang yang saya kenal. Bayangkan jika kamu bekerja waktu pejabat 8-5, bila masa kamu nak pergi ke perpustakaan untuk mencari bahan? 

Ini kalau kamu buat kajian kepustakaan, kalau kamu buat kajian lapangan, bila masa kamu nak turun ke lapangan kalau kamu kena kerja 8-5. Oh ya, saya akan pergi perpustakaan atau saya akan ke lapangan selepas waktu kerja. Saya katakan, kamu hanya menipu diri sendiri sahaja. Selepas seharian bekerja, otak akan menjadi penat, badan juga akan menjadi penat.

2. Kamu akan derita 10 tahun dalam perjalanan master dan Ph.D. Kenapa 10 tahun. Kebiasaan waktu normal pengajian master ialah 2 tahun dan Ph.D ialah 3 tahun. Tapi realitinya pengajian master akan menjadi 3-4 tahun dan pengajian Ph.D akan menajadi 4-5 tahun bergantung kepada banyak faktor. Antaranya faktor penyelia, isu birokrasi, semangat yang hilang, menunggu tempih viva yang lama dan lain-lain.

Kenapa saya kata kamu akan menderita (mental dan fizikal) dalam tempoh yang lama? Kerana di saat kawan-kawan kamu sudah bekerja dan ada antara mereka yang sudah naik pangkat, kamu masih terkial-kial dalam pengajian dengan pendapatan yang tiada atau tidak tetap atau tidak mencukupi. Kalau bujang, boleh tahan lagi, tapi kalau sudah berkahwin apatah lagi mempunyai anak, ia benar-benar mencabar.

Kenapa derita 10 tahun? Saya ambil masa yang paling lama untuk master ialah lebih kurang 4 tahun dan Ph.D lebih kurang 5 tahun. 1 tahun lagi tu ding dong faktor-faktor lain yang tidak disebutkan tadi. Jadi, ia akan jadi lebih kurang 10 tahun kamu tidak bekerja dengan pendapatan yang tetap. Dari segi senioriti dalam pekerjaaan pun kamu dah rugi 10 tahun.

3. Kamu sangka ada Ph.D senang dapat kerja? 20 tahun atau 15 tahun dulu mungkin ya khususnya sebagai ahli akademik atau pensyarah universiti. Beberapa tahun lepas semua universiti awam hanya ambil pensyarah yang SUDAH ADA PH.D. Namun sekarang, anda sudah ada Ph.D pun belum tentu boleh menjadi pensyarah tetap di mana-mana universiti. 

Bukan kata tiada langsung, tapi nak bandingkan 10-15 tahun keadaannya tidak sama dengan sekarang. Saya bernasib baik dapat kerja di USIM dan memulakan kerjaya sebagai Tutor yang hanya perlukan Sarjana Muda sebagai syarat kemasukan. Jawatan Tutor sudah dijumudkan dan syarat minimum untuk jadi pensyarah sekarang wajib sudah ada Ph.D. 

Itu antara situasi yang saya ceritakan kepada mereka yang bertanya tentang sambung belajar. Bagaimana? Sanggup teruskan hasrat sambung belajar? Jika sanggup, jika berani dan jika gila-gila, jom kita bincang tajuk tesis.

Jika tidak, pergilah cari kerja atau berniaga. Jika anda degil, percayalah anda hanya membuang masa dengan sia-sia.

3 ulasan

  1. Agk x stuju bila prof x berikan kata2 semangat pd ank2 muda yg ada mnt nk smbg blajar.. saya dpt hbskan marter 1 tahun 10 bln, utk part time master di utm, wlupun saya bekerja, mnjadi seorg ibu dan isteri..tb2 bl msuk sem 1 saya dpt tau sy peknen. Jd sy kne make surekan susunan utm dlm schdule sy ikut spya sy hbis pd waktunya..mmg agk brt tp di mana ada kemahuan di situ ada jln.. now saya da dpt offer ke phd...

    BalasPadam
    Balasan
    1. sangat betol, cara mengeluh tu sgt negatif bandingkan org lain otak sama dgn nya.. ada yg rilek je part time sambung grad on time 😆

      Padam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage