Kenapa Fiqh Ada 4 Bahagian Utama

06 November 2008

Kenapa Fiqh Ada 4 Bahagian Utama

UF tertarik satu isi penting dalam ucaptama Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Mufti Pulau Pinang, Dato' Hasan Ahmad. Beliau menyebut kenapa kitab-kitab fiqh selalunya membincangkan 4 bab utama:

1) Ibadat
2) Muamalat
3) Munakahat
4) Qada' (termasuk dibawahnya Jinayat)

Sebabnya Allah jadikan 4 perkara dalam kehidupan manusia:

1) Keinginan/kekuatan berfikir.
Apabila manusia berfikir dengan mengikut akal yang waras dan berpandukan kepada ajaran Islam, maka akan timbul keinginan untuk beribadat kepada tuhan yang mencipta manusia iaitu Allah Subhanahu Wataala. Jadi bab ibadat (yang didahului dengan bab Taharah/bersuci) memberi panduan kepada manusia bagaimana beribadat kepada Allah.

2) Keinginan/kekuatan makan/minum (nafsu perut)
Manusia memang dijadikan berhajat antara satu sama lain dan kebolehan mereka tidak sama. Ada yang tahu bercucuk tanam dan ada yang tidak. Ada yang mempunyai sesuatu barang dan ada yang tidak. Tidak semua boleh menanam padi dan mereka memerlukan orang lain bagi mendapatkan beras untuk dimakan. Jual beli, sewa menyewa dan lain-lain yang terkandung dalam bab mumalat menjurus kepada makan minum manusia dan membantu mereka untuk hidup dalam keadaan selesa.

3) Keinginan seks
Secara tabiinya lelaki dan wanita berhajat antara satu sama lain dan hubungan kedua-duanya jika tidak dikawal dengan baik akan menyebabkan kerosakan di muka bumi. Bab munakahat mengawal hubungan ini dengan menghalalkan perkahwinan dan sekiranya perkahwinan dilanda masalah, perceraian semestinya tidak boleh menzalimi mana-mana pihak.

4) Sifat marah/hasad
Apabila manusia diapi-apikan oleh syaitan dan nafsunya, akan timbul perasaan marah yang meluap-luap. Terkadang ia menyebabkan pembunuhan dan kecederaan pada orang lain. Jadi bab al-Qada' tidak membiarkan pesalah terlepas begitu sahaja dan mereka akan dihukumi dengan seadilnya sesuai dengan kesalahan yang dilakukan.

Setiap pembahagian dalam kitab-kitab fiqh ada maknanya yag tersendiri!

Tiada ulasan