Seingat aku, petang itu kami sekeluarga hanya makan megi dan roti. Tak lama kemudian Rosli datang ke rumah aku bersama seorang lagi pelajar Malaysia yang belajar di Syria iaitu Zubairi yang berasal dari Kedah. Rosli tinggal serumah dengan Zubairi dan sembang punya sembang, rupanya Zubairi adalah adik kepada seorang kawan aku (Zahir Ghazali) semasa belajar di Mesir dahulu. Aku satu generasi dengan abangnya di Damanhur (salah satu cawangan universiti al-Azhar) tahun 1992-1996.
Petang itu kami bersembang sedikit sebanyak tentang Syria. Aku bertanyakan Rosli bagaimana aku hendak mengenali Dr. Taufiq al-Butiyy sebab aku perlu berjumpa dengan dia nanti. Kata Rosli cukup senang nak mengenalinya, kalau pergi ke universiti Damascus dan jumpa orang yang pakai songkok itulah Dr. Taufiq sebab dia selalu ke Indonesia. Aku mohon bantuan Rosli untuk membawa aku ke universiti Damascus keesokan hari untuk berjumpa dengannya.
Rosli sebenarnya adalah pelajar master di universiti al-Awza'iyy, Beirut, Lubnan tetapi beliau menulis tesis dan tinggal di Syria. Lagipun universiti al-Awza'iyy memang mempunyai cawangan di Syria. Beliau hanya sekali sekala pergi ke Beirut untuk bertemu dengan penyelia tesisnya. Beliau antara pelajar Malaysia yang lama tinggal dan belajar di Syria, lebih kurang 5-6 tahun. Dahulunya beliau adalah graduan UKM dalam bidang bahasa arab.
Bila waktu maghrib hampir masuk, Rosli dan Zubairi memohon diri untuk pulang dan Rosli berkata yang dia akan datang esok pagi untuk membawa aku ke universiti Damascus. Aku pun bersiap-siap untuk pergi ke masjid menunaikan solat Maghrib berjemaah. Selepas Maghrib aku sekeluarga tidak berbuat apa-apa selain mengemas barang-barang tapi kami masih tidak lagi memunggah semua barang keluar daripada beg.
Terdengar azan aku menuju ke masjid untuk solat Isyak pula. Selepas solat aku pulang ke rumah dan terasa badan amat letih kerana perjalanan yang panjang dan seharian aku tidak sempat berehat lagi. Aku juga berasa amat mengantuk sekali walaupun ketika itu jam baru pukul 7 malam (lebih kurang). Di negara-negara arab yang ada musim sejuk, waktu siangnya pendek dan waktu malam lebih panjang.
Aku, isteri dan anakku akhirnya tidur sebab kepenatan. Kami tidak tidur dalam bilik tidur utama kerana katilnya kecil, hanya muat seorang. Kami tidur dalam bilik sebelah yang dijadikan bilik tetamu sebab di situ ada tilam sofa atas lantai di sekeliling bilik. Berakhirlah sehari aku di Syria dan aku tidak sabar menunggu esok pagi.
Bersambung....
Langgan:
Catat Ulasan
(Atom)
Tiada ulasan
Catat Ulasan