(Sumber Gambar: YADIM)
Sahibus Samahah Us. Ahmad Fauwaz Fadzil telah dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu berkuat kuasa pada 23 Mei 2025 lalu menggantikan Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah.
Menurut Akta Pentadbiran Undang-undang Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993, Seksyen 32. Perlantikan Mufti dan Timbalan Mufti, memperuntukkan:
(1) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri, selepas berunding dengan Majlis melantik orang-orang yang layak dan sesuai menjadi Mufti dan Timbalan Mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Melihat latar belakang akademik, pengalaman kerja dan peribadi Sahibus Samahah Us. Ahmad Fauwaz Fadzil, beliau memang amat sesuai dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.
Sahibus Samahah Us. Ahmad Fauwaz Fadzil adalah mufti kesembilan bagi Wilayah Persekutuan. SS mempunyai tanggungjawab besar untuk meneruskan legasi keunggulan dan kecemerlangan yang ditinggalkan oleh lapan mufti sebelumnya. Kedudukan seseorang mufti menurut perspektif Islam seperti yang dinyatakan oleh imam Ibnu Qayyim adaah tinggi kerana mufti adalah muwaqqi' (pemberitahu hukum Syarak) daripada Allah SWT kepada umat Islam.
Kedudukan seseorang mufti di Wilayah Persekutuan juga amat tinggi di mana beliau adalah wakil Yang di-Pertuan Agong dalam hal ehwal agama Islam seperti yang dijelaskan dalam Akta Pentadbiran Undang-undang Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993, Seksyen 33. Kuasa Mufti:
Mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Akta ini.
Tugas seseorang mufti tidaklah ringan kerana beliau berurusan dengan hukum hakam Syarak yang berasaskan dan bersumberkan dalil-dalil Syarak untuk disampaikan kepada al-mustafti (peminta fatwa). Syarat pelantikan, adab serta etika dan tanggunjawab mufti banyak telah dijelaskan oleh imam-imam mazhab terdahulu melalui penulisan kitab-kitab mereka. Antaranya imam al-Nawawi Rh (w676H) melalui kitabnya "Adab al-Fatwa wa al-Mufti wa al-Mustafti", imam Ibnu al-Salah (w643H) melalui kitabnya "Adab al-Mufti wa al-Mustafti", imam al-Saymari (w386H) melalui kitabnya "Adab al-Mufti wa al-Mustafti", imam al-Khatib al-Baghdadi (w463H) melalui kitabnya "Adab al-Fatwa wa al-Mufti wa al-Mustafti" dan lain-lain.
Kerangka gerak kerja kefatwaan Wilayah Persekutuan berpuncakuasakan Akta Pentadbiran Undang-undang Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 di bawah tajuk Bahagian III - Perlantikan Mufti, Kuasa Dalam Hal Ehwal Agama Dan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak. Terdapat 8 seksyen yang bermula daripada Seksyen 32 sehingga Seksyen 39 yang memandu dan mengawal selia fatwa di Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Antara tanggungjawab Mufti Wilayah Persekutuan ialah memberi fatwa kepada persoalan yang ditanya atau dibangkitkan kepadanya. Ini yang dinyatakan dalam Seksyen 34. Fatwa:
(1) Mufti hendaklah, atas perintah Yang di-Pertuan Agong, dan bolehlah, atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang ditujukan kepada Mufti, membuat dan menyiarkan dalam Warta suatu fatwa atau pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubungan dengan Hukum Syarak.
Yang perlu dititikberatkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan ialah perlunya (walaupun dalam akta menyebut "boleh") ada satu kajian mendalam mengenai sesuatu isu sebelum sesuatu fatwa tentang isu itu diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa. Ini yang diperuntukkan dalam Seksyen 35(6). Bentuk fatwa:
(6) Sebelum Mufti membuat fatwa, dia boleh menyebabkan kajian-kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan kertas kerja disediakan.
Kajian kefatwaan kontemporari perlu mengintegrasikan rujukan kitab-kitab turath, kitab-kitab mu'asir dan metodologi penyelidikan moden. Ini untuk menghasilkan istinbat hukum atau tanzil hukum yang tepat serta merealisasikan maqasid Syariah daripada fatwa yang diputuskan.
Seseorang mufti perlu menguasai ilmu turath dan ilmu kontemporari kerana hal ini juga adalah tuntutan Akta Pentadbiran Undang-undang Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 melalui Seksyen 39. Nas-nas yang hendaklah diikuti:
(1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 34, atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 38, Mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan-pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie.
(2) Jika Mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie akan membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.
(3) Jika Mufti berpendapat bahawa tiada satu pun qaul muktamad daripada empat Mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah menyelesaikan persoalan itu mengikut hematnya sendiri tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana Mazhab yang empat itu.
Tugas Mufti Wilayah Persekutuan nampak lebih penting kerana beliau turut terlibat dalam urusan rasmi program keagamaan Kerajaan Persekutuan dan Yang di-Pertuan Agong. Semoga Sahibus Samahah Us. Ahmad Fauwaz Fadzil mendapat taufik dan inayah Allah SWT dalam memacu Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.
Oleh:
Prof. Dr. Irwan bin Mohd Subri
Profesor,
Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Merangkap:
Setiausaha,
Akademi Fiqh Islami Malaysia (AFHAM)
Ahli Jawatankuasa Fatwa, Negeri Pulau Pinang.
Timbalan Presiden,
Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).
Tiada ulasan
Catat Ulasan