09 September 2024

Pengamalan Dan Rujukan Mazhab Fiqh Oleh Jawatankuasa Fatwa Di Malaysia Dan Antarabangsa

 


(Sumber Gambar: aktual.com)

1. Di Malaysia, semua Jawatankuasa Fatwa Negeri (kecuali Perlis) menyatakan ia merujuk kepada pendapat muktamad mazhab Syafie dalam pemfatwaan. Dalam keadaan-keadaan tertentu, Jawatankuasa Fatwa akan merujuk kepada pendapat muktamad mazhab lain iaitu Hanafi, Maliki dan Hanbali. Ia bererti Jawatankuasa Fatwa Negeri merujuk dan mengamalkan empat mazhab fiqh yang muktabar dan masyhur iaitu mazhab Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali dalam pemfatwaan.

2. Sebagai contoh, Akta Pentadbiran  Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan dalam seksyen 39 (Nas yang hendaklah diikuti):
39. (1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 34, atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 38, Mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie.
(2) Jika Mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie akan membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.

3. Enakmen Fatwa Negeri Sabah 2004 juga memperuntukkan dalam seksyen 14 (Qaul muktamad yang hendak diikuti):
14. (1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 8 atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 13, Majlis Fatwa Negeri hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad (pendapat-pendapat yang diterima) Mazhab Syafie.
(2) Jika Majlis Fatwa Negeri berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie suatu keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam akan terhasil, Majlis Fatwa Negeri bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki, atau Hanbali.

4. Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006 tidak memperincikan mana-mana mazhab dalam pemfatwaan. Ia hanya menyebut merujuk kepada Quran dan hadis seperti berikut:
Sumber Yang Hendaklah Diikuti
54. (1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 48 atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 53 Jawatankuasa Fatwa hendaklah mengikut AL-Quran dan/atau Sunnah Rasulullah Sallallahualaihi Wassalam (Nota penulis: sepatutnya perkataan Wassalam ditulis Wa Sallam).

5. Namun seksyen 54(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006 dijelaskan oleh Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke - 59 / 2022 yang diadakan pada 14-15 September 2022 / 17-18 Safar 1444h Bil. 2/59 Tahun 2022 Tentang “Pegangan & Pendirian Perlis Mengenai Mazhab-Mazhab Fiqah”:
1. Jawatankuasa Fatwa dalam mentarjihkan (menilai dan memilih) pandangan-pandangan hukum, tidak terikat dengan hanya satu mazhab fiqah, sebaliknya membahas dan mentarjihkan (menilai dan memilih) pandangan-pandangan fiqah yang ada di dalam empat mazhab utama atau selain daripadanya (dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah) jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

6. Sebagai perbandingan, Perlis lebih terbuka dalam pengamalan dan rujukan mazhab fiqh iaitu empat mazhab fiqh utama (Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali) dan mazhab-mazhab fiqh selain daripada empat itu dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Manakala tiga belas negeri lain hanya memperuntukkan empat mazhab fiqh utama (Syafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali) sahaja dalam pemfatwaan.

7. Di peringkat antarabangsa, Da’irat al-Ifta’ Jordan memilih mazhab Syafie sebagai manhaj fatwa yang muktamad. Namun ia tidaklah terikat semata-mata dengan mazhab Syafie, bahkan ia turut merujuk kepada mazhab-mazhab fiqh yang lain tanpa membataskan berapa atau mazhab fiqh yang mana satu.

8. Dar al-Ifta’ Mesir juga begitu dengan mengamalkan dan merujuk kepada semua mazhab fiqh yang ada. Ini dinyatakan oleh mantan Mufti Mesir, Prof. Dr. Syauqi ‘Allam di mana Dar al-Ifta’ Mesir akan memilih pandangan-pandangan mazhab fiqh yang sesuai dengan keadaan masyarakat dan realiti yang sentiasa berubah.

9. Majmak al-Fiqh al-Islami al-Dawli yang berpusat di Jeddah, Arab Saudi sebagai badan fatwa antarabangsa di bawah Organisation of Islamic Cooperation (OIC) pula mengamalkan dan merujuk kepada lapan mazhab fiqh iaitu Hanafi, Maliki Syafie, Hanbali, Ja‘fari, Zaidi, Ibadi dan Zahiri. Ini berdasarkan resolusi Majmak No. 152 (1/17) pada tahun 2006.

10. Mazhab-mazhab fiqh yang kekal hingga ke hari ini adalah khazanah ilmu fiqh tidak ternilai yang bertujuan untuk memahamkan masyarakat Islam tentang hukum hakam fiqh. Ia adalah rumusan ijtihad para fuqaha mazhab daripada dalil al-Quran, hadis dan dalil-dalil lain. Mereka yang berkelayakan dalam merumuskan, beristinbat dan berijtihad adalah mereka yang mempelajari dan mendalami ilmu Fiqh, Usul Fiqh dan lain-lain. Ia bukan kerja orang awam yang tidak menguasai ilmu-ilmu Syariah.

11. Penentuan untuk beramal dengan mana-mana mazhab fiqh adalah bidang kuasa negeri-negeri di Malaysia. Semua pihak perlu menghormati bidang kuasa negeri masing-masing.

Prof. Dr. Irwan bin Mohd Subri
Profesor
Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

- Ajk Fatwa Negeri Pulau Pinang
- Setiausaha, Akademik Fiqh Islami Malaysia (AFHAM)
- Timbalan Presiden, Malaysian Academic Association Congress (MAAC)


08 September 2024

Enakmen Fatwa dan RUU Mufti


(Sumber Gambar: MalaysiaGazette)

1. Saya penah buat kajian fatwa bertajuk *Penambahbaikan Keberkesanan Fatwa Di Malaysia: Analisa Aspek Perundangan" tahun 2022. Antara skop kajian ialah bagaimana enakmen fatwa dibuat atau dipinda. 

2. Salah satu pihak utama yang saya temubual ialah Bahagian Syariah di Pejabat Peguam Negara. Masa itulah saya diberitahu yang Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah buat satu usaha untuk buat adakan akta tersendiri bagi fatwa. 

3. Semua negeri kecuali Kedah dan Sabah mempunyai enakmen berkaitan fatwa yang bersekali dengan Enakmen Pentadbiran  Agama. Kedah dan Sabah telah lama mengeluarkan seksyen² berkaitan fatwa dan menjadikannya enakmen tersendiri. Wilayah Persekutuan menjadi negeri ketiga berbuat demikian. 

4. Ada saya tanya Penasihat Undang² beberapa negeri, wajar atau tidak enakmen fatwa tersendiri dan tidak "menumpang" dalam Enakmen Pentadbiran Agama. Ada yang kata tiada masalah dan ada yang kata, jika dikeluarkan seksyen berkaitan fatwa, kandungan dalam Enakmen Pentadbiran Agama akan tinggal sikit. Mungkin pada masa hadapan seksyen² bidang lain juga mohon untuk keluar dari enakmen ini. 

5. Masa atau tempoh untuk buat enakmen baru  atau memindanya bergantung kepada keadaan. Ia melibatkan banyak prosedur dan pihak terlibat. Sudah tentu pejabat atau kamar undang² negeri adalah pihak utama yang terlibat sebab ia berkaitan undang². Di Wilayah Persekutuan, Bahagian Syariah Pejabat Peguam Negara yang menguruskan RUU Mufti itu sebab apa² akta di Wilayah Persekutuan akan diluluskan di Parlimen. Jika negeri lain, kelukaan enakmen dibuat di Dewan Undangan Negeri. 

6. Isi kandungan dalam akta atau enakmen berkaitan fatwa adalah terpulang kepada pihak Jabatan Mufti Negeri masing². Ia mengikut bidang kuasa, kesesuaian dan kemaslahatan negeri tersebut. Semua negeri kecuali Perlis merujuk kepada 4 mazhab utama fiqh iaitu Syafie, Hanafi, Malik dan Hanbali. Perlis menyatakan secara umum iaitu berdasarkan Quran dan/atau Sunnah.

7. Isu RUU Mufti Wilayah Persekutuan bukan pada wajar atau tidak ia diwujudkan secara berasingan daripada Akta Pentadbiran, tetapi tentang dimasukkan klausa Asyairah dan Maturidiah sebagai syarat lantikan mufti. Wajar atau tidak klausa ini dimasukkan berbalik kepada point no. 6 di atas. Di sini yang timbul perdebatan setuju atau tidak setuju.

8. Ada beberapa point dalam kajian saya yang perlu diberi perhatian oleh semua Jabatan Mufti Negeri iaitu kesalahan silang rujuk oleh enakmen lain terhadap istilah fatwa, point "hendaklah" dalam wording enakmen terutama berkaitan penerimaan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan lain -lain.

9. Apapun, pemerkasaan enakmen/akta kefatwaan memang perlu dilakukan dari masa ke semasa. Ia rujukan utama sebagai punca kuasa Jawatan Kuasa Fatwa Negeri dalam berfatwa.

Prof. Dr. Irwan bin Mohd Subri
Profesor
Fakulti Syariah dan Undang²
Universiti Sains Islam Malaysia

- Ajk Fatwa Negeri Pulau Pinang
- Setiausaha, Akademik Fiqh Islami Malaysia (AFHAM)
- Timbalan Presiden, Malaysian Academic Association Congress (MAAC)

PANGGILAN KERTAS KERJA: INTERNATIONAL SEMINAR ON USUL AL-FIQH (iSUFI 2024)


📢📢📢 PANGGILAN KERTAS KERJA: INTERNATIONAL SEMINAR ON USUL AL-FIQH (iSUFI 2024)

Assalamualaikum,

Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan sukacitanya mengumumkan bahawa ia akan menganjurkan SEMINAR ANTARABANGSA USUL AL-FIQH (iSUFI 2024). Kami dengan segala hormatnya menjemput semua Tuan/Puan untuk membentangkan penyelidikan terkini berkaitan Usul Fiqh. 

Maklumat lanjut iSUFI 2024 adalah seperti berikut:

⏳ Tarikh: 17-18 Disember 2024
📍 Tempat: Hotel Movenpick, Sepang, Selangor, Malaysia

ANJURAN:

Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

TEMA: Memperkasakan Usul Fiqh Pada Era Kontemporari

SKOP:
✅ Pengajaran & Pengajian Usul Fiqh
✅ Isu-Isu Usul Fiqh
✅ Sumbangan & Pemikiran Usuliyyin
✅ Sejarah Usul Fiqh
✅ Qawaid Usuliyyah
✅ Aplikasi Usul Fiqh & Fatwa
✅ Aplikasi Usul Fiqh & Turath
✅ Aplikasi Usul Fiqh & Perundangan / Kehakiman Syarie
✅ Aplikasi Usul Fiqh & Fiqh Semasa
✅ Aplikasi Usul Fiqh & Muamalat
✅ Aplikasi Usul Fiqh & Perbankan Islam
✅ Aplikasi Usul Fiqh & Kewangan Sosial Islam
✅ Aplikasi Usul Fiqh & Ahwal Shakhsiyyah
✅ Aplikasi Usul Fiqh & Perubatan / Pergigian
✅ Aplikasi Usul Fiqh & Halal
✅ Usul Fiqh & Penyelidikan
✅ Usul Fiqh & Inovasi
✅ Usul Fiqh & Wathiqah Makkah

Untuk hantar abstrak dan kertas kerja:

https://forms.gle/9QXsXw7hVrHsfsjYA

🔖 GARIS PANDUAN PENULISAN
Penulis mesti mematuhi garis panduan berikut:
📌 Abstrak tidak melebihi 300 patah perkataan.
📌 Kertas kerja bahasa Melayu dan Arab mesti mempunyai Tajuk dan Abstrak yang diterjemah ke bahasa Inggeris.
📌 Kertas kerja tidak melebihi 20 muka surat.
📌 Font Times New Roman, saiz 12. Untuk kertas kerja Arab, font Traditional Arabic, saiz 16.
📌 Kertas kerja boleh ditulis dalam bahasa Melayu atau Inggeris atau Arab.

Semua kertas kerja akan diterbitkan dalam jurnal terbitan Universiti Sains Islam Malaysia dan jurnal luar terpilih. Sebahagian kertas kerja terpilih akan diterbitkan dalam Malaysian Journal of Syariah and Law (MJSL), USIM bertaraf Scopus Q1. Semua kertas kerja tertakluk kepada penilaian.

🔑 TARIKH-TARIKH PENTING:
🕐 Tarikh Akhir Penerimaan Abstrak: 30 Oktober 2024
🕒 Tarikh akhir Penerimaan Kertas Kerja: 30 November 2024 
🕑 Early Bird: Sebelum 15 November 2024
🕓 Tarikh akhir pembayaran yuran: 30 November 2024

Untuk hantar abstrak dan kertas kerja:

https://forms.gle/9QXsXw7hVrHsfsjYA

Laman Web Rasmi iSUFI 2024: https://isufifsu.com/
Facebook iSUFI 2024: https://web.facebook.com/isufi24

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

Prof. Dr. Irwan bin Mohd Subri (Pengarah) +6013-3543594
Dr. Mohd Harifadilah bin Rosidi (Setiausaha) +6018-7889396
Email: isufifsu2024@gmail.com
https://isufifsu.com/ 

Untuk hantar abstrak dan kertas kerja:

https://forms.gle/9QXsXw7hVrHsfsjYA


 

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage