Atlit Sukan Olimpik Tak Puasa?


31 Mei 2012

Atlit Sukan Olimpik Tak Puasa?

Dalam Berita Harian 29 April 2012 (Selasa) ada disebut komen Tan Sri Harussani Mufti Perak tentang atlit muslim Malaysia yang akan bertanding dalam sukan Olimpik London 2012 dalam bulan puasa. Ia adalah komen beliau tentang kenyataan Azizul Hasni Awang, pelumba basikal negara yang beliau terpaksa menangguhkan puasa (tidak berpuasa) ketika sukan Olimpik nanti.

Kebetulan pula UF telah dilantik oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyediakan satu garis panduan fiqh kepada atlit dan juga pegawai yang akan menyertai sukan Olimpik London 2012. Sukan Olimpik itu nanti akan berlangsung dalam bulan Ramadan. Garis panduan itu telah pun UF siapkan dan disemak oleh Us. Zaharudin bin Mohamad (Bank Negara), Us. Faisal bin Ashaari (Jabatan Dakwah, FPI, UKM), Us. Muhammad Najib bin Abdullah (Fakulti Syariah & Undang-Undang, USIM) dan Us. Azhar bin Yahya (Fakulti Syariah, KUIZM).

Garis panduan khusus kepada atlit sukan Olimpik London 2012 ini mengandungi lima bahagian iaitu:
1. Bersuci.
2. Solat Jamak dan Qasar.
3. Puasa.
4. Aurat.
5. Makanan Halal.

Ia disediakan sebagai rujukan asas kepada atlit dan pegawai tentang perkara di atas dan yang berkaitan dengannya. Penyediaan garis panduan ini lanjutan daripada ceramah atau taklimat UF tentang ibadat (solat dan puasa) dalam sukan untuk atlit sukan universiti dunia pada tahun lepas yang juga diadakan dalam bulan puasa.

Apabila pihak MSN mohon kerjasama UF untuk buat garis panduan bertulis dan lengkap, UF menyahut cabaran dan tugas besar ini. Ia lebih kepada tanggungjawab UF bersama rakan-rakan lain untuk menyediakan panduan fiqh kepada mereka yang terlibat dalam sukan terutama sukan berprestij tinggi.

Dalam perbincangan panel, kami bersetuju supaya garis panduan ini merujuk kepada qaul mazhab Syafie dahulu sebagai menghormati amalannya di Malaysia. Kami juga cuba "berijtihad" dengan memberi pentarjihan (cadangan) kami sendiri dalam perkara-perkara khilaf. Ini untuk memudahkan pemahaman atlit dan pegawai yang pastinya akan pening dengan permasalahan khilaf ulama. Garis panduan ini akan diserahkan (1 Jun 2012) kepada pihak JAKIM untuk penilaian dan pengesahan.  

Berbalik kepada isu puasa dan sukan Olimpik, antara dawabit (syarat) yang digariskan oleh panel ialah:

i. Secara asasnya, meneruskan puasa ketika bermusafir adalah lebih baik.

ii. Namun orang yang bermusafir (termasuk atlit dan pegawai sukan Olimpik London 2012) diberi keringanan untuk berbuka puasa walaupun tidak letih. Walau bagaimanapun, meneruskan puasa adalah lebih baik.

iii. Boleh berbuka puasa ialah kerana "sebab" perjalanan (musafir) bukan kerana "sebab" bersukan.

iv. Sesiapa yang berbuka puasa ketika bermusafir, wajib qada’ (ganti) puasa tersebut pada hari lain.

v. Sukan yang tidak menggunakan tenaga yang banyak seperti memanah, menembak, snooker, catur dan lain-lain lebih baik meneruskan puasa dan tidak perlu berbuka.

vi. Sukan yang menggunakan tenaga yang banyak seperti bola sepak, hoki, badminton dan lain-lain digalakkan juga untuk meneruskan puasa.

vii.    Jika perlu berbuka, maka ia dibolehkan dengan syarat:

a. Atas nama perjalanan (musafir).
b. Perjalanan (musafir) yang harus, bukan kerana maksiat.
c. Hanya pada hari latihan atau pertandingan yang berlangsung pada waktu siang.
d. Wajib qada’ (ganti) puasa pada hari lain.

Para ulama telah menyatakan illah (sebab) bolehnya berbuka puasa ketika musafir ialah kerana sifat musafir itu sendiri, bukannya masyaqqah. Ini kerana masyaqqah (rasa letih/sukar dll) bukan illah yang mundabitah (tidak konsisten). Maka kenyataan Azizul untuk tidak berpuasa ketika sukan Olimpik nanti tidak salah kerana dia dalam keadaan bermusafir.

Diharapkan garis panduan yang disediakan ini dapat memberi manfaat kepada para atlit muslim. Ia untuk menunjukkan Islam juga ada penyelesaian dalam isu-isu sukan.

Apa yang baik itu datang daripada Allah. Jika "ijtihad" kami betul, Alhamdulillah. Jika ia salah, kami beristighfar kepada Allah.

3 ulasan

  1. as-salam,

    jzkk ustaz atas pencerahan. saya sebenarnya dari awal lagi mmg cenderung atas pendapat ustaz ni. so cuba cari pandangan org lain utk membuka lg ruang perbincangan, terjumpa jawapan ustaz ni. saya sendiri secara peribadi menerima beberapa persoalan ttg permasalahan yg tersebut drp athlet kita yg akan bertanding dlm olimpik london ni...

    BalasPadam
  2. Jzkk Ustaz. Saya pegawai belia dan sukan yang baru dilantik pun dok mencari hujah utk atlit yg menyertai Sukan Olimpik pada bulan puasa.

    Cuma soalan tambahn, bgmn pula dgn keadaan atlit muslim yg duduk di UK sendiri (tidak dalam keadaan musafir). Mereka yg terlibat dgn sukan2 yg lasak - adakah terdapat keharusan untuk berbuka juga???

    BalasPadam
  3. Garis panduan yang team saya sediakan tu dah dibincangkan dalam panel kajian Syariah JAKIM bulan lepas. Ia telah ditambah baik dan dimurnikan.

    Insya Allah soalan kamu tu ada terjawab dalam garis panduan tu. Ada sedikit lagi pelarasan dengan Us. Hasnol MSN. Selepas itu Insya Allah boleh diberikan kepada atlit dan pegawai sukan.

    BalasPadam

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage