Apa Hujah Fiqh Antivaks?

07 Disember 2020

Apa Hujah Fiqh Antivaks?

Sepanjang saya atau rakan-rakan lain terlibat dalam seminar, diskusi, program TV dan lain-lain berkaitan dengan vaksin, kebiasaannya kita kemukakan hujah-hujah keharusannya dan kebolehgunaan serta kebolehpakaiannya dari sudut fiqh. Ia sama ada ayat al-Quran, hadis-hadis Rasulullah SAW, fatwa-fatwa kontemporari dalam dan luar negara, Maqasid Syariah, Qawaid Fiqhiyyah dan lain-lain.

Beberapa tahun lalu, saya adalah panel tetap Seminar Pendidikan Kesihatan anjuran kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 3 tajuk utama setiap kali road show seminar tersebut ke seluruh negara ialah berkaitan vaksin, rokok dan penguguran. Setiap 1 tajuk tersebut, 2 orang pakar akan diduetkan iaitu seorang pakar kesihatan dan seorang pakar Syariah.
Kedua-dua ini akan menjelaskan berkenaan tajuk mengikut kepakaran bidang masing-masing. Antara “partner” pakar kesihatan yang pernah menjadi pasangan duet saya ialah Dr. Suhazeli Abdullah, Dato’ Dr. Musa Mohd Nordin, Prof. Dr. Zainur Rashid Zainuddin dan mantan Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Kota Bharu yang saya lupa namanya (sebab sekali sahaja bersama beliau). Pakar-pakar kesihatan ini sebenarnya turut menyebut beberapa hujah fiqh dalam pembentangan mereka berkenaan vaksin.
Secara ringkasnya, antara “hujah” antivaks ialah vaksin bersumberkan porcine atau babi. Perbincangan fiqh berkenaan benda haram dalam perubatan sudah diperincikan, apatah lagi sekiranya kita meneroka pandangan 4 mazhab. Prinsip asasnya ialah Fiqh Islam telah menyatakan beberapa perkara haram yang tidak boleh digunakan atau dimakan oleh orang Islam seperti babi, darah, bangkai, arak dan lain-lain.
Ini berdasarkan ayat al-Quran surah al-Ma’idah ayat 3:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ
Maksudnya, “Diharamkan ke atas kamu bangkai, darah dan daging babi”.
Ini yang dikatakan hukum azimah atau hukum asal atau hukum dalam keadaan normal. Maksudnya, dalam keadaan biasa yang tanpa darurat, tanpa paksaan, hukum makan bangkai, darah dan babi adalah haram. Sengaja memakannya dikira berdosa.
Namun, Allah SWT yang menurunkan ayat di atas, Allah SWT yang sama juga memberi hukum rukhsah iaitu hukum yang diringankan daripada hukum asal (azimah). Antara sebab keringanan hukum ialah faktor darurat (yang melibatkan kematian atau keadaan amat teruk) atau hajat (keperluan mendesak).
Antara dalil rukhsah ialah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 173:
فَمَنِ ٱضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍۢ وَلَا عَادٍۢ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya, “Sesiapa yang dalam keadaan darurat dan tanpa melampaui batas, maka dia tidak berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Jadi, hukum asal (azimah) babi -contohnya- adalah haram, tetapi dalam keadaan darurat, ia diringankan hukum (rukhsah) kepada harus tetapi tidak boleh melampaui batas. Allah SWT yang mengharamkannya pada waktu biasa dan Allah SWT juga yang mengharuskannya pada waktu darurat.
Vaksin adalah darurat?
Mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, pada tahun 2018 (contohnya), Malaysia merekodkan enam (6) kematian demam campak di mana semua kes tiada imunisasi, lima (5) kematian difteria di mana empat (4) kes tiada imunisasi, manakala 22 kematian batuk kokol (pertussis), di mana 19 kes tiada imunisasi.
Ini antara contoh penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kematian dan memang telah merekodkan kematian pun di Malaysia. Apabila melibatkan kematian ia boleh dikategorikan keadaan darurat. Mencegah asbab musabbab darurat adalah saranan Nabi Muhammad SAW dalam banyak hadis seperti hadis taun, hadis kusta dan lain-lain.
Ini dari satu sudut. Dari sudut yang lain, Jawatankuasa Fatwa di peringkat kebangsaan dan negeri yang terdiri daripada ahli-ahli yang arif dan pakar dalam bidang hukum hakam fiqh hanya meluluskan vaksin yang tidak mengandungi sumber porcine. Maksudnya, vaksin-vaksin yang digunakan oleh KKM telah dibentangkan dalam JK Muzakarah Majlis Kebangsaan Islam dan JK Muzakarah hanya meluluskan vaksin daripada sumber harus dan halal. Manakala vaksin bersumberkan sumber haram seperti babi adalah tidak dibenarkan kecuali darurat atau tiada alternatif lain. Boleh rujuk semua keputusan JK Muzakarah berkenaan vaksin dalam web: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/
Atau boleh baca penulisan saya berkenaan imunisasi di mana saya telah menganalisis kesemua keputusan JK Muzakarah berkenaan vaksin. Boleh rujuk tulisan saya di link berikut:
Sehubungan itu, atas dasar diskusi ilmiah, saya ingin mengetahui apa hujah fiqh antivaks?

Tiada ulasan