06 November 2008

Kenapa Fiqh Ada 4 Bahagian Utama

UF tertarik satu isi penting dalam ucaptama Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari yang disampaikan oleh Sahibus Samahah Mufti Pulau Pinang, Dato' Hasan Ahmad. Beliau menyebut kenapa kitab-kitab fiqh selalunya membincangkan 4 bab utama:

1) Ibadat
2) Muamalat
3) Munakahat
4) Qada' (termasuk dibawahnya Jinayat)

Sebabnya Allah jadikan 4 perkara dalam kehidupan manusia:

1) Keinginan/kekuatan berfikir.
Apabila manusia berfikir dengan mengikut akal yang waras dan berpandukan kepada ajaran Islam, maka akan timbul keinginan untuk beribadat kepada tuhan yang mencipta manusia iaitu Allah Subhanahu Wataala. Jadi bab ibadat (yang didahului dengan bab Taharah/bersuci) memberi panduan kepada manusia bagaimana beribadat kepada Allah.

2) Keinginan/kekuatan makan/minum (nafsu perut)
Manusia memang dijadikan berhajat antara satu sama lain dan kebolehan mereka tidak sama. Ada yang tahu bercucuk tanam dan ada yang tidak. Ada yang mempunyai sesuatu barang dan ada yang tidak. Tidak semua boleh menanam padi dan mereka memerlukan orang lain bagi mendapatkan beras untuk dimakan. Jual beli, sewa menyewa dan lain-lain yang terkandung dalam bab mumalat menjurus kepada makan minum manusia dan membantu mereka untuk hidup dalam keadaan selesa.

3) Keinginan seks
Secara tabiinya lelaki dan wanita berhajat antara satu sama lain dan hubungan kedua-duanya jika tidak dikawal dengan baik akan menyebabkan kerosakan di muka bumi. Bab munakahat mengawal hubungan ini dengan menghalalkan perkahwinan dan sekiranya perkahwinan dilanda masalah, perceraian semestinya tidak boleh menzalimi mana-mana pihak.

4) Sifat marah/hasad
Apabila manusia diapi-apikan oleh syaitan dan nafsunya, akan timbul perasaan marah yang meluap-luap. Terkadang ia menyebabkan pembunuhan dan kecederaan pada orang lain. Jadi bab al-Qada' tidak membiarkan pesalah terlepas begitu sahaja dan mereka akan dihukumi dengan seadilnya sesuai dengan kesalahan yang dilakukan.

Setiap pembahagian dalam kitab-kitab fiqh ada maknanya yag tersendiri!

Separuh Perjalanan

Alhamdulillah, UF dapat siapkan bab 1 tesis setelah agak 2-3 minggu kepeningan macam mana nak ending bab 1 tu. Baru separuh perjalanan kerana masih ada 1 lagi bab tapi rasanya bab kedua ni agak mudah sikit, harapnyalah.

Ya Allah permudahkan urusanku sehingga dapatku tamatkan penulisan tesisku dengan baik! Amin.

01 November 2008

UNKNOWN STORY

UF tak ingat tarikh sebenar perjumpaan ni, tapi rasanya dalam tahun 2005. Cerita ni memang orang ramai tak tahu sebab perjumpaan ni adalah tertutup. UF telah diajak oleh seorang kawan pensyarah USIM untuk mewakili USIM bersama 4-5 orang pensyarah lain ke satu perjumpaan dengan Dato' Mustapha Mohamed (masa tu dia pengerusi MTEN) di rumah dia berhampiran dengan PWTC (tak tahu apa nama tempat tu). UF diberitahu perjumpaan ni adalah perbincangan bersama Dato' Pa dengan penyarah-pensyarah IPTA untuk membantu MTEN dalam isu pengangguran mahasiswa.

Kami sampai di rumah Dato' Pa lepas Maghrib dan dijamu makan terlebih dahulu, kemudian baru perjumpaan dan perbincangan diadakan. Dato' Pa memulakan ucapan dan dia ada sentuh tentang isu pengangguran mahasiswa yang hangat diperkatakan ketika tu dan memperbetulkan beberapa fakta mengenai isu tersebut. UF tak berapa ingat kesemua isu yang dibangkitkan sebab perjumpaan ni dah lama.

Selepas itu sesi perbincangan dan soal jawab dibuka pada hadirin. UF anggarkan kehadiran malam tu lebih kurang 100 orang termasuk para pensyarah IPTA, pengetua kolej dan beberapa orang TNC. UF antara yang bangun berucap memberi pandangan, sebab seperti yang UF sebut bahawa UF diberitahu yang perjumpaan ini adalah perbincangan untuk membantu MTEN bagaimana membantu mahasiswa yang menganggur.

Jadi UF beri cadangan supaya mahasiswa yang menganggur ini diambil menjadi jurulatih tetap Program Latihan Khidmat Negara. Daripada kerajaan mengambil pensyarah IPTA yang memang telah bergaji tetap, lebih baik melantik mahasiswa yang menganggur sebagai jurulatih. Jadi kita boleh mengurangkan masalah pengangguran mahasiswa. Seorang kawan pensyarah USIM yang lain mencadangkan agar pihak kerajaan tidak mengenepikan pelajar lulusan timur tengah kerana mereka jarang didedahkan tentang kerjaya berbanding pelajar dalam negara.

Jadi pada mulanya memang perbincangan menjurus ke arah isu pengangguran mahasiswa. Tapi lama-lama, perbincangan mula bertukar tempo dan dah jadi mesyuarat UMNO pulak. Kenapa UF kata begitu, sebabnya hadirin terutama beberapa orang pengetua Kolej dan TNC beberapa IPTA mula membebel dan bercerita tentang UMNO dan sesetengah tu pulak mengampu (pada pemerhatian UF) Dato' Pa.

Yang pengetua kolej dok mengadu pelajar di kolej mereka suka menentang kerajaan. Yang TNC dok bangga dia tubuhkan beberapa cawangan UMNO. Yang lain pulak cadangkan agar pensyarah yang cenderung kepada pembangkang jangan dinaikkan pangkat. Sebab mereka kata pensyarah macam ni akan mempengaruhi pelajar.

Isu asal dan pokok tentang pengangguran terus diketepikan dan yang tinggal hanya perbincangan pasal UMNO, UMNO dan UMNO. Barulah UF tahu dan dapat saksikan dengan mata kepala UF sendiri, rupanya manusia macam ni pun ada. Amat rugilah negara mempunyai pensyarah, profesor dan TNC yang berfikiran macam ni. UF hairan, takkan Dato' Pa tak faham yang mereka ni dok megampu dia atau dia memang suka macam tu, Wallahu A'lam. Perjumpaan ni tamat hampir jam 12 malam dan UF pulang ke rumah dengan seribu pertanyaan, apa dah jadi dengan dunia akademik di Malaysia yang tercinta ni?

UF masih teringat dan amalkan pesan ustaz UF masa mengaji di Ma'hadul Azhar, Pulau Pinang dulu. Dia pesan kamu nak sokong mana-mana parti pun terpulanglah pada kamu, tetapi bila kamu nak mengaji atau berada dalam kawasan sekolah ni, sangkut ideologi politik kat pagar sekolah sebelum masuk. Itulah yang UF terapkan dalam kelas kepada pelajar-pelajar UF.

Kita bukan mengajar pelajar kita untuk menjadi ahli UMNO atau PAS atau PKR, tetapi mengajar mereka untuk menjadi hamba Allah yang pakar dalam bidang mereka. Yang faham dan amalkan ilmu yang dipelajari yang mampu memberi kebaikan untuk diri mereka sendiri serta kepada masyarakat, negara dan yang paling utama ISLAM itu sendiri.

ERROR 404

The page you were looking for, could not be found. You may have typed the address incorrectly or you may have used an outdated link.

Go to Homepage